Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Wadah penghantaran makanan rintis model tanpa bayaran komisen bagi penjaja

Menjelang hujung tahun ini, para pelanggan wadah penghantaran makanan dapat mengakses lebih banyak kedai-kedai penjaja di bawah model pemeroleh bersama yang dirintis oleh wadah tempahan online.

Anggaran Waktu Membaca:
Wadah penghantaran makanan rintis model tanpa bayaran komisen bagi penjaja

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 23 Sep 2021 05:20PM Dikemas Kini : 23 Sep 2021 06:04PM

SINGAPURA: Menjelang hujung tahun ini, para pelanggan wadah penghantaran makanan dapat mengakses lebih banyak kedai-kedai penjaja di bawah model pemeroleh bersama yang dirintis oleh wadah tempahan online.

Dalam satu kenyataan media bersama, Agensi Makanan Singapura (NEA) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) hari ini (23 Sep) mengumumkan bahawa Deliveroo, FoodPanda, Grab dan WhyQ akan menyertai usaha tersebut.

Projek perintis itu meliputi 400 gerai di 14 pusat penjaja, yang termasuk ABC Brickworks Market & Food Centre, Adam Food Centre, Amoy Street Food Centre, Golden Mile Food Court dan Taman Jurong Market and Food Centre.

Di bawah model itu, WhyQ - pemeroleh utama bagi para penjaja - akan memanfaatkan hubungan sedia ada dengan gerai-gerai penjaja untuk mendaftarkan perniagaan-perniagaan tersebut ke dalam wadah Deliveroo, FoodPanda dan Grab, seperti memuat naik menu pada platform-platform tersebut, kata ketua pegawai eksekutif dan pengasas bersama WhyQ Varun Saraf.

Para penjaja tidak akan dikenakan yuran komisen atau pendaftaran.

Bercakap kepada wartawan hari ini, Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara Tan Kiat How berkata bahawa ia merupakan "tempoh sukar" untuk para penjaja.

"Para penjaja kami berdepan masa sukar. Sangat sukar. Dan saya rasa langkah-langkah ini adalah tepat untuk menyokong para penjaja dan terus mengekalkan dan menyokong budaya penjaja," katanya.

Beliau menarik perhatian kepada tiga "titik kesukaran": Yuran komisyen tinggi yang perlu dibayar kepada platform-platform tersebut, kurang sokongan terutama sekali bagi golongan warga emas dan para penjaja yang kurang mahir menggunakan teknologi untuk beralih ke wadah digital dan permintaan tidak menentu daripada pelanggan, terutama sekali bagi para penjaja yang menjual barangan pada harga murah.

BAGAIMANA MODEL PEMEROLEH BERSAMA INI BERFUNGSI?

Melalui salah satu daripada empat aplikasi itu, para pelanggan boleh membuat tempahan dengan mana-mana gerai yang ada di pusat penjaja.

Semua tempahan akan diterima sama ada melalui satu alat atau menerusi kapten penjaja WhyQ yang ditempatkan di setiap pusat penjaja, yang akan menguruskan tempahan daripada setiap wadah tempahan yang berbeza. Bilangan kapten penjaja di setiap pusat penjaja bergantung pada saiz pusat penjaja tersebut, kata Encik Varun.

Sebaik sahaja makanan siap, kapten itu akan mengambil makanan daripada setiap gerai penjaja lalu membawanya ke satu tempat pengagihan di pusat penjaja itu. Kapten itu kemudian akan menyerahkan makanan kepada pekerja penghantaran makanan.

Kapten penjaja itu juga akan mengendalikan bayaran bagi setiap gerai penjaja untuk memastikan bahawa para pegerai menerima bayaran.

Model itu akan memberikan para penjaja yang belum lagi berdaftar dengan mana-mana wadah penghantaran, akses kepada "pangkalan pelanggan yang lebih besar", kata Encik Varun, sambil menambah bahawa ini adalah lebih daripada tiga juta pelanggan secara keseluruhan di kesemua wadah penghantaran.

Bagi wadah-wadah penghantaran makanan, papan pemukanya kekal sama dan terdapat kelonggaran untuk mereka menetapkan yuran dan jarak penghantaran, katanya.

Mereka juga dapat mengakses lebih dariapda 400 pusat penjaja melalui WhyQ, yang mana hampir semua belum berdaftar dengan mana-mana wadah penghantaran, kata Encik Varun.

Para pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menggabungkan pesanan daripada beberapa gerai penjaja dalam satu tempahan, katanya.

"Jadi terdapat lebih banyak pilihan gerai penjaja dan gerai-gerai yang sebelum ini tidak boleh diakses oleh pelanggan kini dapat diakses oleh mereka melalui inisiatif ini," katanya.

Selain itu, Deliveroo, FoodPanda dan Grab akan "memperhebat" tawaran komersil mereka melalui pilihan kadar komisen bertingkat bagi para penjaja menjelang hujung tahun ini, menurut NEA dan IMDA dalam satu kenyataan media bersama.

SOKONGAN DIGITAL BAGI KUMPULAN PENJAJA

NEA sedang menghasilkan satu set amalan terbaik yang akan disatukan dalam Panduan Sokongan Digital bagi Penjaja menjelang hujung tahun ini.

Satu saranan yang diberikan adalah pembentukan kumpulan Sokongan Digital bagi Penjaja di setiap pusat penjaja. Kumpulan itu akan memberi sokongan kepada para penjaja yang kurang mahir dalam penggunaan digital untuk meningkatkan kehadiran mereka secara online.

Ini termasuk membuka akaun Facebook bagi setiap pusat penjaja, memudahkan pembelian secara berkumpulan dalam masyarakat melalui laman Facebook itu dan mengadakan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan untuk menerima tempahan makanan secara pukal.

Kumpulan itu terdiri daripada "individu bersemangat dalam kalangan masyarakat atau penjaja", menurut NEA dan IMDA.

Sementara itu, seorang "pejuang penjaja" digital dalam kumpulan itu harus bersedia untuk memimpin kumpulan itu untuk membangunkan dan mengekalkan kehadiran mereka secara digital di media sosial, melanggani khidmat tempahan online dan memanfaatkan alat bayaran online.

Seorang duta digital Pejabat Digital Singapura akan ditempatkan di setiap pusat penjaja untuk menyelaraskan dan melancarkan inisiatif itu.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan