Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

VTL darat S'pura-M'sia: Tiket bas masih ada bagi 30 hari pertama perjalanan, kata MTI

Tiket bas masih ada bagi 30 hari pertama perjalanan melalui Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) (Darat) antara Singapura dengan Malaysia, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media pada Khamis malam (25 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
VTL darat S'pura-M'sia: Tiket bas masih ada bagi 30 hari pertama perjalanan, kata MTI

Koswe Singapura-Malaysia. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 25 Nov 2021 11:43PM Dikemas Kini : 25 Nov 2021 11:45PM

SINGAPURA: Tiket bas masih ada bagi 30 hari pertama perjalanan melalui Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) (Darat) antara Singapura dengan Malaysia, menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media pada Khamis malam (25 Nov).

Ini berlaku selepas orang ramai mengalami masalah menunggu lama dan masalah mendapatkan tiket apabila tempahan dibuka pada 8.00 pagi tadi.

Satu mesej di laman Transtar Travel - salah satu daripada dua pengendali bas yang dikhususkan untuk menawarkan khidmat perjalanan VTL darat - kemudian menyatakan kesemua tiket bagi 30 hari akan datang sudah habis dijual pada kira-kira 8.20 pagi, kurang setengah jam selepas tempahan dibuka.

Pemeriksaan seterusnya ke laman Transtar kemudiannya menunjukkan ia mengalami trafik yang sangat tinggi serta menjalani "penyenggaraan kecemasan". Mediacorp dapat membeli tiket pada sekitar 1.00 tengah hari, selepas menunggu kira-kira tiga jam di ruang menunggu maya.

Dalam kenyataan pada Khamis malam, MTI menyatakan lebih 90 peratus tiket Transtar Travel ke Singapura dan 70 peratus tiket ke Malaysia masih ada setakat 4.00 petang.

TIKET VTL DARAT, PERMOHONAN VTP

Transtar sudah menjual sekitar 4,400 tiket bas VTL darat bagi tempoh 30 hari akan datang setakat 4.00 petang tadi, kata MTI.

“Kira-kira tiga suku daripada tiket itu adalah untuk perjalanan dari Singapura ke Malaysia, dan baki satu suku adalah bagi perjalanan dari Malaysia ke Singapura,” tambah kementerian itu.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menerima 240 permohonan bagi Pas Penumpang Sudah Divaksin (VTP) untuk VTL darat setakat 3.00 petang, kata MTI.

"Permintaan bagi tiket bas VTL darat dan jumlah permohonan VTP mungkin terus kekal tinggi, dan proses akan terus diperhalusi," menurut MTI lagi.

"Kami mengharapkan pemahaman dan kesabaran pelawat, jika terdapat sebarang kelewatan dalam sistem."

MTI menambah bahawa Singapura dan Malaysia akan "memperluaskan VTL darat secara bertahap-tahap dengan cara yang selamat dan teratur".

"Semua pelawat harus membeli tiket bas mereka dan memastikan mereka mempunyai dokumen yang diperlukan, sebelum mereka menaiki bas VTL yang ditetapkan," tambahnya.

VTL darat antara Malaysia dengan Singapura melalui Koswe akan bermula pada 29 November.

Sebagai sebahagian daripada fasa pertama VTL darat, pelawat perlu menggunakan perkhidmatan bas VTL yang ditetapkan. Pelawat mesti lengkap divaksin terhadap COVID-19 dan merupakan rakyat, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang negara yang mereka masuki.

Terdapat 32 khidmat bas khas bagi VTL darat memasuki setiap negara setiap hari, dengan had kapasiti 45 penumpang setiap perjalanan.

Kuota harian bagi skim VTL darat adalah sekitar 2,880 pelawat kesemuanya, dengan 1,440 penumpang setiap hala. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan