Images

VTL darat S'pura-M'sia dilancarkan Isnin ini; pelawat mesti naik bas yang ditetapkan

SINGAPURA: Singapura dan Malaysia akan melancarkan laluan darat skim Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) menerusi Koswe pada Isnin depan (29 Nov).

Demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini (24 Nov).

Sebagai sebahagian daripada fasa pertama VTL darat, para pelawat perlu menaiki bas VTL yang ditetapkan. Selain itu, hanya pelawat yang merupakan rakyat, penduduk tetap atau pemegang pas jangka panjang setiap negara, yang dibenarkan bagi skim VTL darat tersebut.

Ini untuk memberi keutamaan kepada mereka yang bekerja di Singapura atau Malaysia untuk bertemu dengan keluarga, tambah PMO.

"Malaysia adalah jiran terdekat Singapura dan kedua-dua negara berkongsi hubungan erat dan muhibbah. Koswe adalah salah satu sempadan darat paling sibuk di dunia sebelum pandemik COVID-19 mengganggu kegiatan rentas sempadan kita," kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

"Pelancaran VTL (Darat) adalah langkah besar dalam usaha menghubungkan semula penduduk dan ekonomi kita dan akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala kita."

Terdapat 32 khidmat bas VTL darat yang ditetapkan untuk memasuki Malaysia dan Singapura setiap hari, dengan kapasiti maksimum 45 penumpang sehala.

Ini bermakna kuota harian bagi skim VTL darat adalah sekitar 2,900 pelawat secara keseluruhannya, dengan 1,400 penumpang bagi sehala.

Khidmat-khidmat yang ditetapkan akan dikendalikan oleh dua syarikat. Transtar Travel akan mengendalikan 32 perjalanan yang ditetapkan setiap hari - 16 dari Malaysia dan 16 dari Singapura antara Pusat Sementara Pertukaran Bas Woodlands di Singapura dan Terminal Bas Larkin Sentral di Johor Bahru.

Handal Indah juga akan mengendalikan 32 perjalanan sehari antara Terminal Bas Larkin Sentral dengan Terminal Queen Street di Singapura.

Tiket-tiket bas akan mula dijual pada pukul 8.00 pagi esok (25 Nov) dan tiket-tiket akan dijual seawal 30 hari sebelum keberangkatan. Para pelawat juga dikehendaki membeli tiket bas sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berangkat.

Para pelawat yang tiba di Singapura menerusi cara lain selain khidmat bas yang ditetapkan akan tertakluk kepada langkah-langkah pengawalan sempadan sedia ada, termasuk menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama tujuh hari, menurut PMO.

Para pelawat yang ingin memasuki Singapura mesti berada di Malaysia, mana-mana negara VTL atau negara atau rantau di bawah Kategori 1 seperti yang diiktiraf oleh Pemerintah Singapura dan/atau Singapura sepanjang 14 hari berturut-turut sebelum tiba di sini.

Para pelawat sedemikian juga mesti diuji negatif bagi ujian sebelum keberangkatan, sama ada ujian pantas antigen (ART) atau rantaian tindak balas polimerase (PCR) COVID-19 yang sah dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura. Ujian-ujian tersebut mesti diambil di sebuah makmal atau pusat yang ditauliahkan atau diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kanak-kanak berusia dua tahun dan ke bawah mengikut kalendar tahunan tidak perlu menjalani ujian-ujian tersebut.

Para pelawat juga mesti lengkap divaksin dan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah mesti ditemani orang dewasa yang lengkap divaksin.

Kesemua pelawat dikehendaki menyerahkan Kad Ketibaan SG dengan Pengisytiharan Kesihatan Elektronik menerusi laman ICA atau menerusi aplikasi telefon bijak Kad Ketibaan SG yang boleh dimuat turun secara percuma.

Setakat petang ini, Malaysia belum mengumumkan perincian lanjut tentang kemasukan bagi pelawat menerusi VTL darat.

DILANJUTKAN SECARA BERTAHAP-TAHAP

VTL darat akan dilancar secara "selamat dan bertahap-tahap", menurut PMO.

Singapura dan Malaysia menyasarkan untuk melanjutkan VTL kepada lebih ramai pelawat termasuk pelawat umum mulai pertengahan Disember, dengan mengambil kira keadaan kesihatan awam, tambah PMO.

Kedua-dua negara juga akan berusaha untuk menyambung semula perjalanan melalui Link Kedua Tuas.

"Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan kian panjang, meluas dan dari berbilang aspek. Hubungan perdagangan dua hala, pelaburan dan pelancongan kita bertenaga dan para penduduk kita mempunyai pertalian rapat antara datu sama lain," menurut PMO.

"COVID-19 menjejas hubungan penduduk kita dan memisahkan keluarga-keluarga di kedua-dua negara berbulan-bulan lamanya."

Menteri Perdagangan dan Perusahan Singapura Gan Kim Yong maklum bahawa pelancaran VTL antara Singapura dengan Malaysia akan membolehkan para pekerja kedua-dua negara untuk pulang ke rumah dan bersua muka semula dengan keluarga mereka setelah beberapa bulan tidak dapat melakukan demikian.

"Kami akan melancarkan VTL (Darat) dengan selamat dan bertahap-tahp agar kita boleh meneruskannya dengan lancar. Kami memohon pemahaman para pekerja yang mungkin tidak dapat membeli tiket bas untuk pulang ke rumah dengan segera disebabkan kapasiti yang terhad pada fasa awal pelancaran," tambah Encik Gan.

"Kita akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk melanjutkan aturan VTL (Darat) kepada lebih ramai pelawat pada minggu-minggu mendatang."

Seperti yang diumumkan sebelum ini, VTL antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) juga akan bermula pada 29 November. 

- CNA/SM/sm

Top