Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vivian Balakrishnan akan sampaikan Kenyataan Menteri S'pura-M'sia di Parlimen

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai hubungan antara Singapura dengan Malaysia pada Isnin depan (14 Jan) apabila Parlimen bersidang buat pertama kali pada tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2019 04:39PM Dikemas Kini : 12 Jan 2019 12:00AM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan akan menyampaikan kenyataan menteri mengenai hubungan antara Singapura dengan Malaysia pada Isnin depan (14 Jan) apabila Parlimen bersidang buat pertama kali pada tahun ini.

Kedua-dua negara terlibat dalam pertikaian berhubung ruang udara dan maritim.

Dalam mesyuarat yang diadakan pada awal minggu ini, Malaysia bersetuju untuk menggantung dengan serta merta kawasan larangan tetap di Pasir Gudang. Singapura juga akan menggantung pelaksanaan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Alatan (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.

Berhubung isu maritim pula, sebanyak lima kapal milik kerajaan Malaysia dikesan di perairan Singapura menyusuli mesyuarat positif antara menteri luar dari kedua-dua negara.

Sembilan Anggota Parlimen (AP) sudahpun mengemukakan pertanyaan mengenai perkara tersebut. 

AP Cheng Li Hui mengemukakan soalan mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh Pemerintah jika kapal-kapal Malaysia terus mencerobohi perairan Singapura, dan apakah langkah seterusnya yang boleh diambil jika isu itu tidak boleh dihuraikan secara dua hala.

AP Lee Bee Wah bertanya jika Singapura akan merujukkan isu sempadan laut kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya ia dapat dihuraikan secara muktamad.

Para AP lain pula bertanya mengenai perkembangan terkini berhubung pencerobohan oleh kapal-kapal Malaysia di perairan Singapura.

Mengenai isu ruang udara pula, AP Pritam Singh mengemukakan soalan mengenai sama ada terdapat rancangan luar jangka sekiranya Malaysia memutuskan untuk menubuhkan kawasan larangan kekal bagi operasi-operasi tentera di Pasir Gudang. Ini bagi menjaga keselamatan pesawat-pesawat yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Seletar.

Isu-su lain dalam agenda Parlimen termasuk peralatan pergigian yang tidak dibersihkan sepenuhnya di Hospital Tan Tock Seng, serta soalan-soalan mengenai kebersihanan makanan ekoran beberapa kes keracunan makanan yang berlaku sejak kebelakangan ini. 

Selain itu, pertanyaan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi untuk membenarkan seorang lelaki homoseksual rakyat Singapura untuk mengambil anak kandungnya yang dilahirkan menerusi seorang ibu tumpang di Amerika Syarikat sebagai anak angkat.

Beberapa rang undang-undang juga akan diperkenalkan, termasuk Rang Undang-Undang (Pindaan) Tembakau (Kawalan Pengiklanan dan Penjualan). 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan