Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Visa pelancong Arab Saudi: Faham undang-undang dan peraturan

Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) melihat visa pelancong yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai peluang baru yang boleh dimanfaatkan anggotanya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS) melihat visa pelancong yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi sebagai peluang baru yang boleh dimanfaatkan anggotanya.

Presiden AMTAS Ustaz Tengku Mohd Fouzy berkata bahawa ini memandangkan visa pelancong dibuka kepada semua orang, lantas mewujudkan peluang untuk menawarkan pakej pelancongan kepada semua orang ke Arab Saudi walaupun mereka bukan Muslim.

Satu sidang media diadakan kedutaan Arab Saudi hari ini (1 Okt) untuk menjelaskan butiran visa pelancong baru itu.

Selama lebih sejam, hampir 40 anggota AMTAS mengambil peluang untuk bertanyakan soalan kepada Duta Besar Saudi di Singapura, Encik Saad Saleh Al-Saleh, tentang perihal visa pelancong yang diperkenalkan baru-baru ini.

Antara topik yang dibincangkan adalah mengenai kekeliruan berhubung visa untuk menunaikan umrah dan haji dengan visa pelancongan.

Mentelah lagi, perubahan itu bermakna masyarakat Islam dapat menunaikan ibadah umrah secara sendirian di bawah visa pelancongan.

APAKAH KESAN TERHADAP EJEN-EJEN PELANCONGAN?

"Daripada segi adakah ia menjejas perniagaan agensi pelancongan di Singapura, kita harus lihat daripada dua sudut. Sudut pertama tidak mustahil ia akan menjejas kerana kemungkinan adapun yang sudah mula mengorak langkah untuk mengambil perjalanan secara sendiri.

"Tetapi kalau kita lihat dari sudut positifnya bahawa ia juga membawa kepada kegiatan umrah ataupun pelancongan di Arab Saudi kepada ejen-ejen Singapura yang lebih merancakkan," Kata Ustaz TM Fouzy.

Apabila ditanya apakah yang harus dipertimbangkan sebelum seseorang itu membuat permohonan visa pelancongan, ini nasihat Ustaz TM Fouzy.

"Apabila seseorang itu ingin mengerjakan ibadah umrah, dia memerlukan bimbingan lebih-lebih lagi kita di Singapura yang jarang ke Tanah Suci dan bimbingan itu kalau kita tidak mendapatkan dengan baik seperti yang disediakan ejen-ejen pelancongan Singapura, mungkin ibadah mereka itu tidak sempurna," ujar beliau.

Terminal baru Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi, 19 September 2018. (Gambar: Reuters/Stephen Kalin)

Terminal baru Lapangan Terbang Jeddah, Arab Saudi, 19 September 2018. (Gambar: Reuters/Stephen Kalin)

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak pergi ke Arab Saudi dengan sendiri tetapi mempertimbangkan perkhidmatan yang disediakan agensi pelancongan bagi mereka faham undang-undang dan peraturan visa pelancong.

Selain itu, menurut beberapa lagi ejen pelancongan, mereka yang ingin pergi ke Arab Saudi dengan sendiri, harus mendapatkan kepastian dari segi penempahan kediaman dan pengangkutan di Tanah Suci.

Ini kerana sudah berlaku beberapa kes yang mana mereka yang membuat tempahan tidak mendapat tempat tinggal apabila tiba di sana.

Terdapat juga halangan bahasa dan pasaran pelancongan di sana yang masih baru.

Justeru, orang ramai dinasihatkan menggunakan agensi pelancongan supaya perjalanan mereka lancar tanpa sebarang masalah.

Pada Jumaat (30 Sep), Suruhanjaya Pelancongan dan Warisan Kebangsaan Arab Saudi (SCTH) mengumumkan buat pertama kali, kerajaan itu melancarkan visa pelancongan yang akan dikeluarkan melalui Konsulat dan Kedutaan Besar Arab Saudi di seluruh dunia.

Rakyat dari 49 negara di seluruh dunia termasuk China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Denmark, Itali, Jerman, Singapura, Brunei dan Malaysia layak memohon visa pelancong secara online.

Lapangan terbang di kawasan peranginan Abha, barat daya Arab Saudi, 13 Jun 2019. (Gambar: AFP/Fayez Nureldine) 

Lapangan terbang di kawasan peranginan Abha, barat daya Arab Saudi, 13 Jun 2019. (Gambar: AFP/Fayez Nureldine) 

Langkah itu adalah satu daripada agenda utama program reformasi Wawasan 2030 Putera Mahkota Mohammed bin Salman sebagai persediaan untuk ekonomi terbesar rantau Arab itu berdepan zaman selepas era minyak dan menarik syarikat asing untuk melabur dalam sektor tersebut yang diharapkan dapat menyumbang 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) menjelang 2030.

Sehingga kini, pelancong asing yang memasuki Arab Saudi terhad kepada pekerja pemastautin dan tanggungan mereka, pengembara perniagaan dan jemaah Muslim yang diberi visa khas untuk melawat Makkah dan Madinah.

Rancangan kerajaan Arab Saudi itu untuk membuka pintunya kepada pelancong bukan Muslim dan mencapai 30 juta kedatangan pelancong setiap tahun menjelang 2030. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan