Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Virus Wuhan: Presiden Halimah, Menteri dan AP gesa masyarakat tenang namun ambil langkah berwaspada

Langkah-langkah sudah dilaksanakan untuk memastikan keselamatan warga Singapura dalam mengharungi cabaran virus Wuhan, namun setiap orang perlu mainkan peranan masing-masing, pesan Presiden Halimah Yacob pada Jumaat (24 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Virus Wuhan: Presiden Halimah, Menteri dan AP gesa masyarakat tenang namun ambil langkah berwaspada

Jururawat bersiap sedia di ruang menanti di pusat pemeriksaan Tuas (Gambar: Try Sustrisno Foo)

SINGAPURA: Langkah-langkah sudah dilaksanakan untuk memastikan keselamatan warga Singapura dalam mengharungi cabaran virus Wuhan, namun setiap orang perlu mainkan peranan masing-masing, pesan Presiden Halimah Yacob pada Jumaat (24 Jan).

Menulis di laman Facebooknya, Presiden Halimah berkata beliau sedang memantau rapi perkembangan penularan virus korona Wuhan seperti yang dilaporkan di media sejak beberapa hari lalu.

Meskipun Singapura sudahpun mengesahkan kes import pertama virus tersebut, beliau menekankan negara ini lebih bersedia setelah mengalami cabaran penularan SARS pada 2003.

"Kita sudah banyak belajar daripada episod (penularan) SARS pada 2003, dan kini langkah-langkah dilaksanakan demi memastikan keselamatan dan kemaslahatan warga Singapura menghadapi situasi sebegini," tulis Presiden Halimah.

"Sedang kita meraikan Tahun Baru Cina bersama rakan dan taulan sepanjang hujung minggu panjang ini, saya menggesa warga Singapura mengambil langkah-langkah berjaga-jaga sewajarnya dan mengamalkan amalan kebersihan diri setiap masa. Ini termasuk memakai pelitup apabila batuk atau selesema, dan mendapatkan nasihat perubatan jika kurang sihat."

BERSIKAP TENANG, KERJASAMA LINDUNGI DIRI

Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli pula dalam catatannya di Facebook menyuarakan pandangan yang serupa, mengajak masyarakat "bersikap tenang" sambil memastikan "tahap kebersihan diri yang tinggi" agar tidak dijangkiti wabak itu.

Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menarik perhatian tentang usaha-usia yang dilakukan Pemerintah untuk menangani isu ini bersama termasuk menubuhkan pasukan bertindak berbilang kementerian.

Beliau menyeru: "Ayuh kita bekerjasama untuk melindungi diri kita dan membantu mengekang penyakit ini dari menular."

Turut membuat gesaan yang sama adalah Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman.

"Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes import jangkitan virus korona novel di Singapura," tulis beliau awal hari ini, sebelum kes kedua dan ketiga didedahkan MOH.

"Semua orang boleh memainkan peranan untuk bersiap siaga! Kekalkan amalan kebersihan diri yang baik untuk melindungi diri dan keluarga," tambah beliau sambil merujuk kepada laman MOH bagi makluman serta nasihat lanjut.

PETUGAS BARISAN HADAPAN, 'JAGALAH DIRI'

Anggota Parlimen GRC Jalan Besar Dr Yaacob Ibrahim juga menggesa semua penduduk agar "bersikap tenang" sambil sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam itu berpesan kepada mereka yang bekerja di barisan hadapan supaya juga menjaga kesihatan masing-masing.

Tulis Dr Yaacob: "Saya ingin mengingatkan kepada orang-orang yang tersayang yang bekerja keras melindungi kami, agar turut jagalah diri semasa waktu-waktu ini sedang kita merayakan Tahun Baru Cina."

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan