Images

Virus korona Baru: MOH sahkan 6 kes baru, 4 jangkitan tempatan pertama

SINGAPURA: Singapura mengesahkan enam lagi kes jangkitan virus korona Baru termasuk empat pesakit pertama melibatkan jangkitan tempatan yang tiada sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Bagaimanapun tiada bukti penularan dalam masyarakat buat masa ini.

Tiga daripada kes itu boleh dikesan mempunyai hubungan dengan kes dari China manakala pesakit keempat mempunyai hubungan rapat dengan salah seorang kes jangkitan tempatan.

Salah seorang daripada mereka adalah seorang pemandu pelancong yang membawa sekumpulan pelancong dari China manakala dua bekerja di kedai yang dikunjungi kumpulan tersebut.

Kes keempat merupakan pembantu rumah salah seorang kes tersebut.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu taklimat hari ini (4 Feb).

Rombongan dari China itu tiba di Singapura dari China pada 22 Januari dan pergi ke Malaysia dari 24 hingga 26 Januari. Mereka memasuki semula Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3.00 pagi 27 Jan dan terbang dari Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 6.00 pagi.

"MOH sudah mulakan usaha-usaha pengesanan bagi mengenal pasti individu-individu yang pernah berhubungan rapat dengan pesakit supaya kita dapat mengawal penularan virus itu daripada terus merebak," kata Menteri Kesihatan Gan Kim Yong.

Dua lagi kes baru yang diumumkan pihak berkuasa hari ini adalah rakyat Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan menaiki penerbangan Scoot, pada 30 Januari.

Ini sekali gus menjadikan jumlah kes jangkitan disahkan di sini kepada 24.

Dua daripada pesakit yang menjangkiti virus itu di Singapura adalah jurujual di kedai menjual produk kesihatan Yong Thai Hang.

Mereka adalah kes ke-19 dan ke-20 yang dilaporkan.

Kumpulan pelancong dari China itu mengunjungi kedai berkenaan, antara beberapa tempat lain, pada 23 Januari.

Kes ke-19, iaitu seorang wanita 28 tahun, dilaporkan mengalami sakit tekak dan demam pada 29 Jan. Beliau ke jabatan kecemasan Hospital Tan Tock Seng pada 30 Jan dan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan X-ray di dada mendapati beliau tidak mengalami radang paru-paru.

Beliau berehat di rumah dari 31 Januari hingga Ahad sebelum dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) pada Isnin.

Pesakit ke-20 pula rakan sekerjanya yang berusia 48 tahun dan tinggal di Hougang Street 61. Beliau mengalami simptom-simptom jangkitan pada 25 Januari dan dimasukkan ke
Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada Isnin.

Pembantu rumah warga Indonesia, berusia 44 tahun adalah kes ke-21. Beliau melaporkan mula merasai simptom-simptom pada Ahad dan tidak meninggalkan rumahnya sehingga dimasukkan ke SGH pada hari berikutnya.

Pemandu pelancong yang membawa kumpulan-kumpulan pelancong ke Yong Thai Hang adalah kes ke-24. Penduduk Singapura berusia 32 tahun itu tidak mempunyai sebarang simptom apabila dibawa ke NCID.

Pesakit ke-22 and ke-23 adalah antara 92 individu yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Jan dan kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang simptom apabila menaiki pesawat ke Singapura.

Mereka dikuarantin apabila tiba di Singapura dan disahkan positif pada Isnin meskipun tidak menunjukkan sebarang gejala. Kedua-kedua kini ditempatkan di bilik-bilik pengasingan di NCID.

18 kes yang disahkan sebelum ini kesemuanya mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan, iaitu pusat penularan virus korona Baru.

Dalam kemas kininya, MOH menyatakan seorang pesakit dibenarkan pulang pada Selasa selepas disahkan negatif virus itu. Banyak lagi kes yang kian beransur pulih dan sekurang-kurangnya dua tidak menunjukkan sebarang simptom. Sebilangan lain memerlukan sokongan oksigen namun tiada yang tenat.

Pesakit yang dibenarkan pulang, seorang lelaki berusia 35 tahun asal Wuhan, adalah kes ke-7 yang dikesan di Singapura.

Pihak berkuasa pada Selasa menyatakan empat kes jangkitan dalam kalangan penduduk tempatan bagaimanapun bukanlah bukti penularan dalam masyarakat.

Ini kerana ia boleh dikesan balik ke pelancong-pelancong dari China dan sebilangan mereka berhubungan rapat dengan mereka.

Encik Gan menjelaskan apabila timbul kes di mana sumber jangkitan tidak dapat dikesan, pihak berkuasa akan meningkatkan tahap kewaspadaan.

Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, individu yang berhubungan rapat dengan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke China akan dihubungi.

Langkah-langkah lain juga diumumkan termasuk meningkatkan kerja-kerja pembersihan di tempat-tempat awam bagi mencegah penularan virus dalam masyarakat.

Pihak berkuasa menggesa agar tempat-tempat yang dikunjungi ramai orang meningkatkan lagi kerja-kerja pembersihan, termasuk cawangan makanan dan minuman, kedai dan hotel.

Makluman kebersihan sudahpun dikeluarkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Sekolah-sekolah juga tidak akan mengadakan perhimpunan beramai-ramai dan waktu rehat akan diadakan pada waktu berbeza-beza, manakala perkhemahan sekolah akan dibatalkan.

Jika penularan dalam masyarakat berlaku, lebih banyak langkah akan dipertimbangkan bagi mengurangkan hubungan antara manusia, menurut pihak berkuasa.

Pada Sabtu lalu(1 Feb), Singapura meluaskan sekatan perjalanan kepada semua pelancong dengan sejarah perjalanan ke China. Mereka juga tidak dibenarkan untuk melakukan persinggahan di Singapura.

Virus korona Baru itu menyebabkan lebih 400 orang maut dan lebih 20,000 dijangkiti di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak virus itu kecemasan global.

Pada Isnin lalu pula, Hong Kong melaporkan kes kematian pertama akibat virus korona di bandar itu, dan yang kedua di luar China. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona 2019-nCoV: https://t.me/BERITAmediacorp

- BERITAmediacorp/IM/ha

Top