Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Video tular kondo Eight Riversuites: Zainal Sapari usul perlindungan lebih luas bagi pengawal keselamatan

Dua Anggota Parlimen (AP) buruh mengulangi gesaan mereka bagi memperluaskan undang-undang gangguan untuk melindungi para pengawal keselamatan privet. Ini setelah satu video tular hujung minggu lalu menunjukkan seorang pengawal keselamatan kondominium dimaki hamun oleh seorang penghuni.

Anggaran Waktu Membaca:
Video tular kondo Eight Riversuites: Zainal Sapari usul perlindungan lebih luas bagi pengawal keselamatan

Kondominium Eight Riversuites di Whampoa. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 28 Oct 2019 09:50AM Dikemas Kini : 28 Oct 2019 09:52AM

SINGAPURA: Dua Anggota Parlimen (AP) buruh mengulangi gesaan mereka bagi memperluaskan undang-undang gangguan untuk melindungi para pengawal keselamatan privet. Ini setelah satu video tular hujung minggu lalu menunjukkan seorang pengawal keselamatan kondominium dimaki hamun oleh seorang penghuni.

Sementara itu, bank pelaburan berbilang negara JP Morgan mendedahkan pada Ahad (27 Okt) bahawa ia sedang meneliti kes tersebut kerana pekerjanya dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.

Video tersebut sudahpun tersebar di media sosial sejak ia dimuat naik pada pagi Sabtu (26 Okt). Ia menunjukkan seorang penghuni kondominium Eight Riversuites, yang terletak di kawasan Whampoa berdekatan stesen MRT Boon Keng, bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan pada Jumaat malam (25 Okt).

Polis mengesahkan satu aduan polis dibuat berhubung perkara tersebut. Presiden Persatuan Keselamatan Singapura Raj Joshua Thomas memberitahu Mediacorp bahawa pengawal keselamatan terlibat, yang bekerja di bawah KH Security, membuat aduan berkenaan.

Pertengkaran itu tercetus angkara peraturan oleh pihak pengurusan kondominium berkenaan yang mengenakan bayaran S$10 ke atas pengunjung yang meletakkan kereta mereka di premis tersebut selepas jam 11.00 malam.

Tetamu penduduk berkenaan tiba di kondominium tersebut sekitar jam 10.30 malam untuk perayaan Deepavali.

'SAYA BELI HARTANAH INI PADA HARGA S$1.5 JUTA'

Video tersebut menunjukkan seorang pengawal keselamatan bertanya kepada pengunjung berkenaan mengenai bila dia akan meninggalkan kondominium itu. Penghuni kondominium itu sebaliknya menyoal pengawal keselamatan berkenaan sama ada tetamu tidak boleh menziarahinya selepas pukul 11.00 malam pada Deepavali.

Penghuni berkenaan, yang memperkenalkan dirinya sebagai Ramesh pada satu masa dalam video tersebut, mula mengeluarkan kata-kata kesat ketika menekankan bahawa beliau membeli hartanah kondominium itu pada harga S$1.5 juta.

Setelah pengawal keselamatan itu memberitahu Ramesh bahawa beliau akan menyampaikan perkara tersebut kepada pihak pengurusan, dia terus memaki hamun pihak pengurusan.

Di akhir video tersebut, penghuni itu menaiki kereta bersama rakannya dan mereka memasuki tempat letak kereta besmen di kondominium berkenaan.

AP GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari menulis di Facebook bahawa beliau dan rakan AP buruhnya, Encik Patrick Tay, sebelum ini menggesa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) supaya mempertimbangkan untuk menggolongkan semua pengawal keselamatan privet di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan (POHA)

Sekarang ini, hanya mereka yang bekerja di hospital atau institusi awam dianggap sebagai pekerja perkhidmatan awam dan oleh itu dilindungi di bawah POHA.

Sesiapa yang mengancam mahupun menyalahgunakan kuasa dengan menghina mereka boleh dipenjara sehingga setahun, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya. Sebagai perbandingan, mereka yang menggangu orang awam boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda tidak melebihi S$5,000 atau kedua-duanya.

Encik Tay, yang juga AP GRC West Coast, sudahpun melobi untuk satu perubahan dalam Parlimen setahun lalu apabila beliau meminta golongan pekerja pembersihan, pengumpul sampah dan pengawal keselamatan privet dilindungi sebagai pekerja perkhidmatan awam.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Zainal berkata: "Meskipun kita mengharapkan para pengawal keselamatan akan memastikan sekitaran yang selamat dan terjamin, mereka juga mesti dilindungi tanpa mengira sebarang sempadan buatan pada ruang awam atau privet yang dikongsi bersama."

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan