Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Video rap "menyinggung perasaan": Subhas Nair dikeluarkan daripada dokumentari muzikal CNA

Penyanyi rap Subhas Nair tidak lagi akan ditampilkan dalam dokumentari muzikal bertajuk ROAR, yang bakal ditayangkan di Channel NewsAsia (CNA) tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Video rap "menyinggung perasaan": Subhas Nair dikeluarkan daripada dokumentari muzikal CNA

Petikan gambar dari video yang tersebar online.

Diterbitkan : 31 Jul 2019 05:05PM Dikemas Kini : 31 Jul 2019 05:09PM

SINGAPURA: Penyanyi rap Subhas Nair tidak lagi akan ditampilkan dalam dokumentari muzikal bertajuk ROAR, yang bakal ditayangkan di Channel NewsAsia (CNA) tidak lama lagi.

Ini disebabkan pelibatannya dalam video muzik yang "menyinggung perasaan" kerana menyasarkan rakyat Singapura berbangsa Cina.

Video itu sedang disiasat polis, menurut Mediacorp hari ini (31 Jul).

Video rap sepanjang tiga minit itu menampilkan Subhas dan saudara perempuannya, Preeti Nair, seorang personaliti YouTube yang lebih dikenali sebagai Preetipls.

Kedua-dua individu itu dilihat menyanyikan lagu rap yang disulami kata-kata kesat serta menggunakan isyarat lucah yang disasarkan kepada rakyat Singapura berbangsa Cina.

Menurut Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugan, video tersebut bertujuan "mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat minoriti terhadap masyarakat Cina".

Video itu dimuat naik ke laman Facebook, Yotube dan sebahagiannya ke Instagram.

Pihak berkuasa Singapura semalam (30 Jul) mengarahkan agar video tersebut segera diturunkan.

Bercakap kepada para wartawan semalam, Encik Shanmugam berkata: "Apabila anda menggunakan kata-kata kesat, bahasa yang lucah, menyerang kaum lain, paparkannya kepada awam, kami perlu menghentikannya dan menegaskan bahawa ia tidak boleh diterima."

Di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan Singapura, "mengeluarkan kata-kata kesat dengan niat untuk menyinggung sensitiviti agama atau kaum seseorang" adalah satu kesalahan.

Dalam kenyataannya, Mediacorp menyatakan bahawa ia "menolak sekeras-kerasnya kandungan menyinggung perasaan sebegitu yang mengancam keharmonian kaum dan tidak akan dikaitkan dengan individu-individu yang sengaja menghasilkan kandungan sedemikian. Oleh itu, Mediacorp tidak akan menampilkan Encik Nair dalam dokumentari muzikalnya yang akan datang dan menurunkan semua rencana berkaitan pelibatannya dalam program itu".

Dokumentari ROAR itu sepatutnya menampilkan empat pemuzik Singapura yang menulis lagu sempena Hari Kebangsaan. Ini termasuk Subhas, 27 tahun.

Dokumentari yang turut menampilkan lagi tiga penyanyi dan ahli muzik, iaitu Benjamin Kheng, Aisyah Aziz dan Wang Weiliang, akan diteruskan dengan tarikh siaran yang sudah ditetapkan iaitu pada 3 dan 4 Ogos.

Muzik video rap menyinggung perasaan itu dirakamkan Subhas sebagai respons terhadap iklan NETS menggalak pembayaran menerusi E-Pay, yang mencetuskan kontroversi.

Iklan itu mencetuskan kemarahan online kerana pelakon Cina Dennis Chew tampil sebagai empat watak, termasuk sebagai seorang wanita Melayu dan lelaki kaum India.

Untuk menonjolkan watak-watak tersebut, kulit Chew diwarnakan lebih gelap.

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan