Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Video lelaki hamburkan komen berbaur perkauman terhadap pasangan berlainan kaum 'membimbangkan', tegas Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata pada Ahad (6 Jun) bahawa beliau "tidak lagi begitu pasti" sama ada Singapura sedang "menuju ke arah yang betul" mengenai sikap toleransi antara kaum setelah satu video yang tular di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Video lelaki hamburkan komen berbaur perkauman terhadap pasangan berlainan kaum 'membimbangkan', tegas Shanmugam

(Gambar: Facebook/Dave Parkash)

Diterbitkan : 06 Jun 2021 08:50PM Dikemas Kini : 06 Jun 2021 09:08PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata pada Ahad (6 Jun) bahawa beliau "tidak lagi begitu pasti" sama ada Singapura sedang "menuju ke arah yang betul" mengenai sikap toleransi antara kaum setelah satu video yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki menghamburkan kata-kata yang berbaur perkauman terhadap satu pasangan yang berlainan kaum.

Semasa mengongsi video di Facebook yang dimuat naik oleh Encik Dave Parkash, Encik Shanmugam berkata: "Saya pernah percaya bahawa Singapura bergerak ke arah yang betul berhubung sikap saling bertolak ansur terhadap kaum lain dan juga keharmonian kaum. Berdasarkan kejadian yang berlaku baru-baru ini, saya tidak lagi begitu pasti."

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang memakai baju polo berwarna merah boleh didengar memberitahu Encik Parkash dan teman wanitanya supaya menjalin hubungan cinta dengan pasangan "dari kaum mereka sendiri".

Lelaki berbaju merah itu yang mengakui bahawa dia adalah "rakyat Singapura yang berbangsa Cina", kemudian menambah: "Saya tidak menentang anda secara peribadi, namun saya rasa ia adalah sesuatu yang berbaur perkauman apabila seseorang yang berbangsa India cuba mengambil kesempatan daripada wanita berbangsa Cina."

Apabila Encik Parkash menuduhnya bersikap rasis, lelaki berbaju merah itu mengakuinya. Dalam video itu, Encik Parkash menjelaskan bahawa beliau berketurunan "kacukan India dan Filipina" manakala teman wanitanya pula "kacukan Cina dari Singapura dan Thailand".

Polis mengesahkan bahawa aduan telah dibuat berhubung kes tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam catatan Facebooknya itu, Encik Shanmugam turut mendedahkan bahawa video itu dihantar kepadanya dan beliau tidak mempunyai "fakta lengkap, hanya setakat apa yang disaksikan dalam video itu".

"Jika ia benar - maka ia adalah sesuatu yang membimbangkan. Nampaknya seolah-olah semakin ramai yang menganggapnya sebagai sesuatu yang boleh diterima - iaitu menghamburkan kata-kata yang berbaur perkauman secara terbuka. Dan ada yang cuba untuk memberikan penjelasan setiap kali sesuatu seperti itu berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, ia adalah sesuatu yang "tidak boleh diterima sama sekali" dan "sangat membimbangkan".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan