Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Versi baru app myENV dilancar

Versi baru aplikasi myENV, yang menyediakan maklumat bersepadu mengenai sekitaran, khidmat air dan keselamatan makanan Singapura, dilancarkan pada Rabu (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Versi baru aplikasi myENV, yang menyediakan maklumat bersepadu mengenai sekitaran, khidmat air dan keselamatan makanan Singapura, dilancarkan pada Rabu (31 Mac).

Aplikasi itu menggabungkan maklumat daripada badan-badan berkanun di bawah Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) - Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), agensi air kebangsaan (PUB) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) - untuk menyediakan "kandungan masa nyata menggunakan satu wadah yang sama", menurut ketiga-tiga agensi itu dalam satu kenyataan media bersama.

Aplikasi baru itu menyediakan pelbagai maklumat dan khidmat meliputi cuaca, mutu udara, kelompok denggi, paras air dalam longkang dan terusan semasa hujan lebat, amaran banjir kilat, keselamatan makanan dan banyak lagi.

Para pengguna aplikasi boleh menetapkan lokasi yang diperibadikan seperti rumah sendiri, pejabat atau pusat jagaan kanak-kanak untuk mengetahui tentang isu-isu sekitaran di tempat-tempat tersebut. Aplikasi itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri 'push notification' (pemberitahuan awal) mengenai tindakan menarik balik makanan, penggantungan dan penurunan taraf sijil tempat makan.

"Dengan aplikasi bersepadu ini, para pengguna kini boleh mendapatkan jawapan bagi pertanyaan berkaitan NEA, PUB dan SFA dengan mudah melalui robot sembang atau 'chatbot', 'Ask Jamie@myENV'," menurut pihak berkuasa.

Maklum balas tentang isu-isu melibatkan sekitaran, air dan keselamatan makanan juga boleh dihantar melalui aplikasi tersebut, menurut kenyataan bersama itu.

APLIKASI BARU BOLEH DIMUAT TURUN DARI APPLE STORE, GOOGLE PLAY

Aplikasi baru itu boleh dimuat turun dari Apple App Store dan Google Play Store mulai Rabu. Para pengguna yang sudah memuat turun aplikasi berkenaan sebelum ini akan diminta untuk melakukan kemas kini bagi versi baru aplikasi tersebut.

Memandangkan aplikasi itu kini ditawarkan sebagai versi beta, pihak berkuasa menyatakan ia ingin mendapatkan maklum balas awam melalui komen-komen di Apple App Store atau Google Play Store tentang bagaimana aplikasi itu boleh dipertingkatkan selanjutnya. Ciri-ciri baru yang lain akan dilancarkan secara bertahap-tahap.

Menteri Negara Kemampanan dan Sekitaran Desmond Tan berkata aplikasi myENV yang baru itu menyediakan maklumat "diyakini, pada masa nyata dan tepat" dari tiga badan berkanun dalam satu wadah.

"Ia memudahkan para individu untuk lebih bertanggungjawab terhadap sekitaran dengan menyediakan maklum balas dengan mudah dan berkesan.

"Dengan aplikasi bersepadu ini, kami berharap ia akan menawarkan pengalaman yang lebih tertumpu kepada penduduk dan dapat mendampingi masyarakat dengan lebih baik," kata Encik Tan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan