Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksinasi COVID-19 dilancar bagi sektor jagaan masyarakat

Operasi vaksinasi COVID-19 beralih kepada dua kumpulan baru pekerja pada Isnin (11 Jan), iaitu mereka yang bertugas di barisan hadapan respons pandemik dan sektor jagaan masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksinasi COVID-19 dilancar bagi sektor jagaan masyarakat

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 12 Jan 2021 09:25AM Dikemas Kini : 12 Jan 2021 09:35AM

SINGAPURA: Operasi vaksinasi COVID-19 beralih kepada dua kumpulan baru pekerja pada Isnin (11 Jan), iaitu mereka yang bertugas di barisan hadapan respons pandemik dan sektor jagaan masyarakat.

Pusingan pertama suntikan vaksin bermula pada 30 Dis 2020 apabila sekitar 40 kakitangan jagaan kesihatan di hospital menerima suntikan vaksin.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin menyatakan bahawa 80 daripada pegawai Home Team yang terlibat dalam operasi jagaan kesihatan barisan hadapan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, satu-satunya vaksin yang kegunaannya diluluskan di sini sejauh ini.

Dalam masa beberapa minggu akan datang, hampir lagi 1,000 pegawai Home Team dari Khidmat Perubatan Kecemasan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Jabatan Penjara Singapura (SPS) akan disuntik vaksin secara bertahap-tahap. Ia dijangka selesai dalam masa enam minggu.

Pegawai Waran 1 Mohamed Shafiee Jamin, 38 tahun, yang juga merupakan pegawai yang pertama dari Home Team untuk menerima suntikan vaksin berkata: "Vaksin ini memberi saya keyakinan dan ketenangan semasa menjalankan tugas saya sebagai kakitangan barisan hadapan SCDF."

MHA menyatakan 1,123 pegawai Home Team sudah dikenal pasti untuk menerima suntikan vaksin dalam pusingan ini.

Dalam kalangan jumlah itu, 1,055 individu atau 94 peratus bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Dua dos vaksin berkenaan perlu disuntik selang tiga minggu dari tarikh suntikan dos pertama.

SEBILANGAN BESAR KAKITANGAN REN CI DISUNTIK VAKSIN

Pada hari yang sama, 50 kakitangan rumah jagaan Ren Ci di Bukit Batok merupakan antara kakitangan pertama dalam sektor jagaan masyarakat menerima suntikan vaksin COVID-19.

Bercakap kepada Mediacorp, ketua pegawai eksekutif Hospital Ren Ci, Encik Joe Hau berkata bahawa 80 peratus daripada kakitangannya bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Dalam kalangan pekerja lain, Encik Hau berkata sekitar 10 peratus memilih untuk sama ada menangguhkan atau tidak mendapatkan suntikan vaksin kerana mereka mengalami alahan serius atau sedang hamil atau menyusukan anak.

Hanya sebilangan kecil kakitangan iaitu sekitar tiga peratus memilih untuk menangguhkan suntikan vaksin.

Profesor Tan Chorh Chuan yang merupakan Ketua Saintis Kesihatan dan anggota Jawatankuasa Pakar mengenai COVID-19 berkata bahawa pusat-pusat penyuntikan vaksin sedang dibangunkan untuk memberikan vaksin kepada para penduduk.

Prof Tan yang menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Hospital Universiti Nasional (NUH)pada Isnin menambah bahawa orang ramai yang lebih selesa dengan poliklinik, klinik GP dan skim Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC), terutama sekali golongan warga emas, boleh mendapatkan suntikan vaksin di tempat-tempat berkenaan.

Hampir 120 kakitangan jagaan kesihatan dari seluruh Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) menerima suntikan vaksin pada Isnin, sedang kumpulan jagaan kesihatan memulakan operasi penyuntikan vaksin.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan