Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Vaksinasi COVID-19 bermula bagi kakitangan SAF

Program vaksinasi COVID-19 sudah bermula bagi para kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dengan terdapat rancangan untuk memberikan suntikan vaksin kepada kebanyakan anggota tentera yang aktif menjelang pertengahan tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Jan 2021 01:33PM Dikemas Kini : 22 Jan 2021 01:59AM

SINGAPURA: Program vaksinasi COVID-19 sudah bermula bagi para kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), dengan terdapat rancangan untuk memberikan suntikan vaksin kepada kebanyakan anggota tentera yang aktif menjelang pertengahan tahun ini, kata Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu catatan Facebook pada Khamis (21 Jan).

Para anggota aktif termasuk para anggota perkhidmatan negara tetap dan sepenuh masa, tetapi bukan anggota kerahan perkhidmatan negara.

Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Negara Kanan Pertahanan Zaqy Mohamad ialah sebahagian daripada kumpulan pertama kakitangan SAF yang menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada 14 Jan.

Mereka akan menerima suntikan dos kedua 21 hari kemudian.

Fasa permulaan program vaksinasi bagi pegawai perubatan SAF dan kakitangan barisan hadapan COVID-19 dijangka selesai dalam masa enam minggu, termasuk suntikan dos kedua.

"Dr Ng berkongsi terdapat rancangan untuk kebanyakan anggota tentera aktif SAF diberi suntikan vaksin menjelang pertengahan tahun ini," menurut SAF.

"Kesemua kakitangan SAF yang aktif dan layak secara perubatan untuk menerima suntikan vaksin akan dapat menerima vaksinasi."

MINDEF menambah bahawa vaksinasi meluas dalam SAF akan melindungi para anggota perkhidmatannya, menyokong kesediaan operasinya dan membolehkan lebih banyak latihan dan kegiatan pembangunan keupayaan tentera disambung semula.

MINDEF menukil Dr Ng sebagai berkata suntikan itu "berjalan lancar dan tiada rasa sakit".

"Kami mahu melakukan vaksinasi ini dengan selamat dan dengan pengalaman yang saya ada, mereka sudah merancang proses-prosesnya dengan baik," kata Dr Ng.

Dalam satu catatan Facebook yang berasingan pada Khamis, Dr Ng berkata bahawa "vaksinasi bagi mencapai kekebalan kelompok akan memberi jaminan" kepada para askar dalam unit-unit kritikal untuk beroperasi secara selamat dan berkesan.

"Apabila ia dicapai, kami boleh menyambung semula latihan dan operasi sepenuhnya," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan