Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustaz Muhammad Azri kini Presiden baru Muhammadiyah S'pura

Setelah 36 tahun Persatuan Muhammadiyah Singapura dipimpin oleh Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob selaku Presiden, jawatan tersebut kini bertukar tangan dan disandang pula oleh Ustaz Muhammad Azri Azman, 34 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Muhammad Azri kini Presiden baru Muhammadiyah S'pura

Ustaz Muhammad Azri (kiri) ambil alih dari Ustaz Shaik Hussain sebagai Presiden Persatuan Muhammadiyah.

SINGAPURA: Setelah 36 tahun Persatuan Muhammadiyah Singapura dipimpin oleh Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob selaku Presiden, jawatan tersebut kini bertukar tangan dan disandang pula oleh Ustaz Muhammad Azri Azman, 34 tahun.

Perubahan kepada kepimpinan lebih muda itu berlaku dalam pemilihan pucuk kepimpinan semasa Mesyuarat Agung Tahunan persatuan tersebut pada 28 April 2019.

Persatuan Muhammadiyah Singapura kini turut diterajui oleh Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat selaku Naib Presiden 1, dan Ustaz Abdur Rahim Abul Nasir selaku Naib Presiden 2. Jawatan Setiausaha Agung pula dipegang oleh Cik Roszanah Abd Salim.

Jawatankuasa pengurusan baru Persatuan Muhammadiyah Singapura itu diberi mandat memimpin selama dua tahun, dari 2019 hingga 2021.

USTAZ AZRI MAHU KEMBANGKAN LAGI USAHA SEDIA ADA, GEMBLENG GOLONGAN PROFESIONAL

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp tentang pelantikannya selaku Presiden baru badan mapan itu, serta apakah fokus beliau, ini jawapan Ustaz Muhammad Azri:

"Tugas saya sebagai pemimpin baru Muhammadiyah adalah untuk mengembangkan lagi usaha yang sedia ada dalam masa yang sama mengajak generasi muda dan golongan profesional untuk menyumbang kepakaran mereka dan berkhidmat kepada masyarakat melalui persatuan ini."

Ustaz Muhammad Azri Azman (Gambar: Persatuan Muhammadiyah)

Ustaz Muhammad Azri (Gambar ihsan: Persatuan Muhammadiyah)

Beliau sendiri pernah menjadi anak didik pusat Tadika Muhammadiyah di awal penubuhannya dan berkelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab dari Tripoli, Libya. Ustaz Azri menekankan bahawa Muhammadiyah di bawah kepimpinan Ustaz Shaik Hussain, 75 tahun, "telah meletakkan asas yang kuat untuk generasi seterusnya ambil alih".

Presiden Muhammadiyah yang baru itu turut menyifatkan tampuk kepimpinan terkini sebagai "agak seimbang dari jumlah golongan muda dan golongan senior".

"Saya mengharapkan pimpinan yang terlantik ini dapat bekerjasama dengan menggunakan kemahiran dan pengalaman mereka untuk menggerakkan dan memacu Muhammadiyah ke hadapan.

"Kami yakin dengan didikan dan panduan yang kami terima daripada pimpinan sebelum ini serta sokongan anggota, karyawan dan masyarakat, kami dapat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang dan meneruskan misi dan visi Muhammadiyah," kongsi Ustaz Azri kepada BERITAmediacorp.

SUMBANGAN BESAR USTAZ SHAIK HUSSAIN HAMPIR 40 TAHUN MENERUSI MUHAMMADIYAH

Diminta ulasannya pula, Ustaz Shaik Hussain, yang merupakan tokoh veteran dalam landskap pertubuhan Melayu/Islam tempatan, "mengharapkan agar kepimpinan baru ini dapat memikul tanggungjawab ini dengan baik dan mampu menghadapi segala macam rintangan". Menurut beliau, "perubahan adalah perkara yang tidak dapat dielakkan" demi memenuhi kehendak dan keperluan semasa.

Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob (Gambar ihsan: Persatuan Muhammadiyah)

Ustaz Shaik Hussain (Gambar ihsan: Persatuan Muhammadiyah)

Jasa Ustaz Shaik Hussain kepada masyarakat Melayu/Islam tempatan sememangnya besar dan mendalam. Antaranya, beliau membangunkan institusi-institusi pendidikan dan kebajikan seperti Tadika Muhammadiyah (MK), Kelas Asas Bimbingan Agama (KABA), Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM), Pusat Kesihatan dan Jagaan Siang Muhammadiyah (MHCC) dan Kolej Islam Muhammadiyah (KIM).

Di bawah kepimpinan beliau juga, pada tahun 1991 Persatuan Muhammadiyah menyahut cabaran menyelamatkan dan mengambil alih Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah yang menghadapi masalah kewangan ketika itu, dan merubahnya sehinggalah menjadi institusi madrasah yang mapan sekarang ini. Kampus baru Madrasah Al-Arabiah setinggi lima tingkat dengan kelengkapan lebih canggih, kini dalam proses pembinaan dan bakal siap tidak lama lagi.

AKAN TERUSKAN SEMANGAT JUANG USTAZ SHAIK HUSSAIN

Bagi Ustaz Azri pula, beliau sememangnya bukan muka baru di Persatuan Muhammadiyah Singapura kerana pernah menjadi Pegawai Eksekutif Kanan dalam badan itu.

Diminta mengulas tentang kepimpinan Ustaz Shaik Hussain, Presiden baru itu memuji ustaz veteran itu sebagai "menunjukkan keinginan dan semangat yang besar" untuk berkhidmat kepada pembangunan masyarakat Islam Singapura.

Ustaz Azri menambah, golongan muda dalam badan itu "sangat terkesan dan sangat teruja dengan sumbangan beliau dan akan berusaha untuk meneruskan semangat juang beliau".

SENARAI PENUH KEPIMPINAN BARU MUHAMMADIYAH

Berikut adalah senarai penuh kepimpinan Muhammadiyah Singapura bagi penggal 2019-2021:

Presiden: Ustaz Muhammad Azri Azman
Naib Presiden 1: Ustaz Muhammad Ishlaahuddin Jumat
Naib Presiden 2: Ustaz Abdur Rahim Abul Nasir

Setiausaha Agung: Cik Roszanah Abd Salim
Penolong Setiausaha Agung 1: Encik Sahabuddin Jasin Amin Sahib
Penolong Setiausaha Agung 2: Ustaz Suffian Eusope

Setiausaha Kewangan: Encik Md Ismail Md Sharif
Penolong Setiausaha Kewangan: Mr Mohd Fuad Jumahat

Anggota Jawatankuasa:
Ustaz Sayid Shufyan Jasin Amin Sahib
Cik Ruhaya Jasin Amin Sahib
Cik Nurjannah Jumahat
Encik Hermanzi Jasmani
Encik Wandi Juma’at

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan