Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustaz Jalaluddin: MUIS, AMTAS hantar rombongan ke Arab Saudi, tinjau prosedur kerjakan umrah

Sebuah rombongan dari Singapura akan berangkat ke Arab Saudi untuk meninjau prosedur dan sistem mengerjakan umrah dalam keadaan norma baru nanti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah rombongan dari Singapura akan berangkat ke Arab Saudi untuk meninjau prosedur dan sistem mengerjakan umrah dalam keadaan norma baru nanti.

Rombongan tersebut akan dianggota para pegawai dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) dan agensi-agensi umrah tempatan.

Demikian dedah Naib Presiden AMTAS Ustaz Jalaluddin Hassan secara eksklusif kepada BERITAmediacorp hari ini (5 Okt).

Perkembangan ini berlaku menyusuli pengumuman Scoot baru-baru ini bahawa syarikat penerbangan itu akan memulakan perjalanan Singapura-Jeddah tiga kali seminggu bermula 21 Oktober ini, termasuk bagi tujuan umrah.

Agensi-agensi pelancongan Islam tempatan kini juga mula mengambil langkah mahu meninjau kemungkinan menyambung semula perjalanan umrah.

Ustaz Jalaluddin memberitahu kami bahawa rombongan kumpulan kerja itu dijangka berangkat selewat-lewatnya 23 Oktober ini untuk membuat tinjauan dan mengumpul maklumat.

PENCERAHAN TENTANG PENGGUNAAN VISA

Selain meninjau prosedur, ukur tara dan peraturan mengerjakan umrah semasa pandemik ini, rombongan itu juga mahu tahu tentang apa yang perlu dilakukan jika jemaah terkena COVID-19, selain pencerahan tentang visa berlainan untuk umrah.

"Tujuan utama kami adalah untuk mengenal pasti fungsi visa umrah dan visa ziarah yang ditawarkan kepada kita pada waktu ini kerana ada dua visa," kata beliau.

Buat masa ini, kerajaan Saudi menetapkan bahawa setiap jemaah hanya boleh membuat umrah sekali sahaja setiap 15 hari.

"Adakah apabila jemaah datang ke sana dapat terus menunaikan ibadah umrah ataupun perlu menunggu jika mereka menggunakan visa ziarah yang biasanya kita gunakan sebagai alternatif bagi wanita yang tidak ada mahram?

"Adakah setelah mereka masuk mereka perlu menunggu sehingga 10-15 hari untuk menunaikan ibadah umrah kerana kuotanya berbeza dengan kuota umrah?" kongsi Ustaz Jalaluddin tentang maklumat yang perlukan penjelasan.

Selain syarikat Jalaluddin Travel Services sendiri, antara agensi lain yang sudah melahirkan minat menyertai rombongan tersebut termasuklah Shahidah Travel & Tours.

Shahidah merupakan antara segelintir syarikat yang sudahpun mengiklankan keberangkatan umrah untuk bulan November dan Disember. Ia juga sebelum mengiklankan umrah bulan Oktober, namun ini nampaknya tidak menjadi kenyataan.

SCOOT BOLEH BAWA LEBIH 300 JEMAAH SETIAP PENERBANGAN

Sementara itu BERITAmediacorp juga dimaklumkan, bahawa setiap pesawat Scoot nanti boleh membawa lebih 300 penumpang umrah. Tempahan penerbangan Singapura-Jeddah itu juga sudahpun dibuka.

Bagaimanapun agensi-agensi umrah nampaknya akan mengambil pendekatan lebih sederhana jika umrah November atau Disember dapat dianjurkan.

"Study group yang dianjurkan oleh AMTAS dan MUIS adalah untuk memastikan keberangkatan jemaah Singapura ke tanah suci berjalan lancar dalam keadaan norma baru.

"Kita akan tumpukan kepada kumpulan yang kecil. Kumpulan yang kecil untuk kita bawa dahulu. Seperti mana yang kita maklum bahawa bas pun yang 50 orang hanya boleh diisi dengan 25 orang," kata Ustaz Jalaluddin.

Beliau juga menjangkakan bahawa kos umrah akan meningkat antara 20% hingga 30% jika ia disambung semula.

Berdasarkan peraturan sekarang, para jemaah yang berangkat dari Arab Saudi perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari setiba mereka ke Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan