Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ustaz Hasbi kekalkan jawatan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERGAS

Ustaz Mohamad Hasbi Hassan kekal sebagai Presiden PERGAS untuk satu lagi penggal dua tahun, setelah menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertubuhan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ustaz Hasbi kekalkan jawatan Presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERGAS

Ustaz Mohamad Hasbi Hassan dilantik sebagai Pengerusi Masyaikh PERGAS. (Gambar: PERGAS)

SINGAPURA: Ustaz Mohamad Hasbi Hassan kekal sebagai Presiden PERGAS untuk satu lagi penggal dua tahun, setelah menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertubuhan itu.

Dalam mesyuarat yang berakhir lewat petang semalam itu (14 Jul), lagi 14 anggota turut dilantik bagi penggal 2019-2021. Ia terdiri daripada 11 anggota yang dilantik semula dan empat muka baru.

Ustaz Hasbi kali pertama menjadi Presiden PERGAS pada tahun 2002. Ini bermakna beliau memegang jawatan tersebut selama 20 tahun, apabila penggal baru ini tamat dua tahun dari sekarang.

Dalam satu perkembangan menarik, AGM tersebut juga menyaksikan lebih ramai asatizah wanita dilantik menganggotai Majlis Tertinggi PERGAS (MTP). Jumlah Ustazah dalam barisan terbaru MTP kini bertambah lagi dua kepada enam orang semuanya. Ini berbanding hanya empat anggota wanita sebelum ini.

Dua muka baru dalam MTP kali ini ialah Ustazah Kalthom Muhammad Isa dan Ustazah Nur Khadijah Ramli. Empat asatizah wanita yang terus kekal dalam MTP ialah Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman, Ustazah Nurul 'Izzah Khamsani, Ustazah Rohana Ithnin, dan Ustazah Sukarti Asmoin yang penggal lalu turut memegang jawatan Naib Presiden PERGAS.

LEBIH RAMAI USTAZAH DALAM MAJLIS TERTINGGI PERGAS “SANGAT BAIK”

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, Ustaz Hasbi menyifatkan jumlah lebih ramai anggota wanita itu - iaitu hampir separuh anggota MTP - adalah satu gabungan yang "sangat baik".

"Sekalipun kali ini lebih ramai MTP daripada kalangan ustazat, mereka ini adalah antara orang-orang yang sudah membuktikan pengorbanan mereka, perjuangan mereka di PERGAS untuk kepentingan masyarakat Islam Singapura khususnya dan masyarakat Islam umumnya. Jadi dengan terpilihnya mereka ini kita mengalu-alukannya, apatah lagi mereka merupakan ustazah yang mempunyai latar belakang pendidikan yang boleh kita akui.

"Ada daripada mereka yang mencapai ke peringkat MA dan menuju kepada PhD. Apatah lagi mereka merupakan antara ustazat yang telah membuktikan pencapaian mereka dalam perjawatan yang ada kepada mereka sebelum ini dan sekarang ini. Jadi pada PERGAS, pelantikan mereka adalah satu perkara yang sangat baik dan gabungan tenaga lelaki dan perempuan yang sangat baik,” ulas Ustaz Hasbi sebagai menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

USTAZ FATHURRAHMAN DAWOED TERIMA UNDI TERTINGGI

PERGAS juga memberitahu BERITAmediacorp Ustaz Fathurrahman Dawoed menerima undian tertinggi daripada keseluruhan 67 undi.

Dalam penggal sebelum ini, terdapat seramai 16 anggota Majlis Tertinggi PERGAS termasuk seorang yang dilantik menjadi anggota MTP (co-opted), iaitu Ustaz Mohammad Bahrul Ulum Buang. Bagaimanapun dalam AGM semalam, Ustaz Mohammad Bahrul Ulum dipilih menerusi undian.

Apabila ditanya pihak kami sama ada PERGAS sekali lagi akan melantik seorang lagi anggota MTP menerusi cara ‘co-opt’, ia menjawab bahawa keputusan belum lagi dibuat.

Mengulas tentang barisan baru Majlis Tertinggi PERGAS itu, Ustaz Hasbi menyifatkan mereka sebagai kumpulan asatizah yang sudah membuktikan kemampuan mereka untuk membawa persatuan ulama itu lebih maju ke hadapan.

"Kalau kita lihat kepada potensi masing-masing, setiap mereka ada kelebihan tersendiri. Dari segi pendidikan, dari segi pengalaman, dari segi pergaulan mereka dengan masyarakat. Jadi potensi-potensi inilah kita nak gembleng untuk memajukan PERGAS di masa yang akan datang.

"PERGAS juga sedang membentuk tenaga-tenaga muda kita untuk kita angkat ke mercu tanda yang lebih tinggi lagi dan mereka adalah antara orang-orang yang sedang dibentuk potensi mereka untuk tujuan peningkatan para asatizah kita," tambah Ustaz Hasbi.

Jawatan bagi kesemua barisan anggota untuk penggal seterusnya itu akan ditetapkan dalam satu majlis Syurah atau mesyuarat yang tarikhnya akan ditentukan kelak.

Berikut adalah senarai barisan Majlis Tertinggi PERGAS yang baru dilantik semalam:

Ustaz Mohamad Hasbi Hassan (presiden)

Ustaz Fathurrahman Bin Hj M. Dawoed

Ustaz Hamzah Bin Mohd Nordin (baru)

Ustaz Izal Bin Mustafa Kamar

Ustaz Mohamed Qusairy Bin Thaha (baru)

Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Bin Buang

Ustaz Muhamad Nuzhan Bin Abdul Halim

Ustaz Muhammad Hasyim Bin Masnin 

Ustaz Muhammad Tarmizi Bin Abdul Wahid

Ustazah Kalthom Binte Muhammad Isa

Ustazah Nadia Hanim Binte Abdul Rahman

Ustazah Nur Khadijah Binte Ramli

Ustazah Nurul 'Izzah Binti Khamsani

Ustazah Rohana Binte Ithnin

Ustazah Sukarti Binte Asmoin

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan