Images
  • Suriati
    Usahawan Singapura di Norway, Suriati Supani. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Usahawan wanita Melayu S’pura ini miliki 4 perniagaan di Norway

BERITAmediacorp: Ramai daripada anda pasti tidak menyangka, bahawa di negara Norway, ada sebuah agensi pelancongan yang dimiliki seorang wanita Melayu Singapura. Lebih tepat lagi, ia ditubuhkan sekitar enam tahun lalu oleh anak jati Temasek bernama Suriati Supani.

Syarikat pelancongan bernama Scandiplanet itu, mempunyai pengkhususan mengajak para pelancong jatuh cinta dengan fenomena alam yang begitu menakjubkan. Apa lagi kalau bukan Northern Lights atau cahaya Aurora.

BERITAmediacorp difahamkan, sejak lima tahun lalu, Scandiplanet sudah mengendalikan perjalanan bagi hampir 400 pelancong yang ‘mengejar’ Aurora. Sebahagian besarnya, rakyat Singapura.

Cik Suriati juga sudah bergelar penulis dan menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘An Ultimate Guide to Meet Aurora’ (Panduan Terbaik Bertemu Aurora) yang dijual di laman Amazon.

Beliau kini berada di Singapura untuk melancarkan buku itu di sini, selain berkongsi tentang fenomena itu dengan warga setempat yang berminat untuk menyaksikannya. Acara perkongsian yang dipanggil ‘Ask Me Anything About The Northern Lights’ (Tanya Saya Apa Sahaja Mengenai Northern Lights) bakal diadakan di Sewcial Pantry di Pahang Street pada Ahad ini (10 Nov).


Usahawan Singapura di Norway, Suriati Supani. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Malah, jika anda ingin tahu, setelah 10 tahun menetap di Norway, kini Cik Suriati memiliki bukan satu, tetapi empat perniagaan di negara yang terletak lebih 10,000 kilometer daripada Singapura itu.

Selain Scandiplanet, beliau juga mengendalikan program-program pemerkasaan, khususnya bagi wanita menerusi program berpidato (public speaking), Pitch From The Heart. 


(Gambar: Scandiplanet)

Usaha niaganya yang ketiga ialah penganjuran acara - iaitu menganjurkan persidangan tahunan wanita antarabangsa, Her Story Norway, yang bakal diadakan buat julung-julung kalinya Januari tahun depan. Perniagaan beliau yang keempat ialah penjualan pakaian dalam wanita.

Begitulah ringkasan tentang wanita Melayu itu yang suatu ketika pernah bekerja dengan Yayasan MENDAKI sebagai Pengurus Pembangunan Masyarakat yang membantu keluarga-keluarga susah, tetapi kini mengukir nama sebagai usahawan.


(Gambar: Suriati Supani)

BAGAIMANA AGENSI PELANCONGAN SCANDIPLANET TERCETUS?

Pengalaman pertama menyaksikan warna-warni cahaya Aurora menari-nari menerangi kegelapan malam hampir sedekad lalu, menjadi titik-tolak perubahan besar dalam kehidupan Cik Suriati, yang bermastautin di Norway setelah bernikah dengan seorang warga negara itu.

Cahaya Aurora atau ‘Northern Lights’ tersebut seolah-olah mencetus inspirasi baginya bahawa keberadaan beliau di Norway bukan sia-sia dan beliau boleh melakukan sesuatu yang lebih besar. Malah, itulah yang menjadi pembakar semangat kepada beliau untuk menceburi bidang perniagaan.


(Gambar: Scandiplanet)

Semasa ditemui BERITAmediacorp, Cik Suriati berkata beliau meninggalkan kerjaya di Singapura dan berhijrah ke Norway mengikut suaminya, Roger Hamzah Bamrud, pada tahun 2009. Beliau berjaya mendapatkan pekerjaan sambilan di sebuah tadika di sana.


Petikan gambar laman Scandiplanet.

Namun, Cik Suriati berasa beliau perlu melakukan sesuatu yang lebih mencabar dan bermakna. Lantaran itu, lebih 300 resume atau surat permohonan pekerjaan dihantar. Bagaimanapun tidak satu pun ‘melekat’. Ini menyebabkan beliau berasa hilang keyakinan diri dan seolah-olah hilang arah tujuan.

Tetapi, menyaksikan cahaya Aurora buat pertama kalinya pada 2010 di Feiring, Norway, bandar di mana Cik Suriati menetap, menjadi satu titik tolak bagi beliau.

“Ketika itu saya sudah mula berasa murung. Jadi bila saya lihat cahaya Aurora itu tiba-tiba sahaja terdetik dalam hati saya betapa bertuahnya saya dapat menyaksikan fenomena ini. Dari situ saya sedar bahawa ada sebabnya saya di sana. Itulah kali pertama terjalinnya ikatan antara si Aurora dan Suriati,” cerita beliau, merujuk kepada dirinya dan cahaya Aurora Bourealis di Norway itu.

Pada 2013, beliau mendaftarkan dan mengasaskan syarikat Scandiplanet agar cintanya kepada si Aurora dapat dikongsi dengan lebih ramai orang. Syarikat itu mengendalikan perjalanan-perjalanan khusus untuk mengejar cahaya Aurora.


(Gambar: Scandiplanet)

Sejak itu, beliau yang bertindak selaku Pengarah Urusan Scandiplanet, mula menerima permintaan daripada pelancong dari pelbagai negara, termasuk dari Singapura dan Malaysia.

ADA YANG TITIS AIRMATA TENGOK AURORA MENARI-NARI

Maklum balas yang diterimanya begitu memberangsangkan. Ternyata pengalaman di Norway itu begitu istimewa sehingga ada yang menitiskan airmata kerana bukan mudah untuk dapat melihat cahaya Aurora, kata Cik Suriati yang kini fasih berbahasa Norway.

“Kebanyakannya rasa ia agak unik. Setentunya cahaya Aurora ini pengalamannya memang sesuatu yang sangat unik. Dia tak sama macam kita pergi tengok Great Wall of China. Tak sama. Kerana kalau kita pergi sana memang setentunya ia ada di sana. Tapi cahaya Aurora ini dia agak unik. Tak semestinya anda akan nampak,” tambah beliau.

(Gambar: Scandiplanet)

Scandiplanet menawarkan sehingga lima pakej berbeza mengikut kemampuan kewangan para pelancong. Harganya antara 5,680NOK (S$860) dengan 15,000NOK (S$2,270). Ia juga menawarkan pakej yang boleh disesuaikan mengikut perancangan pelancong dan harganya mungkin lebih tinggi atau rendah bergantung kepada tempoh pakej yang ingin ditempah.

TIPS UNTUK PASTIKAN DAPAT KEJAR AURORA

Pengalaman lima tahun mengendalikan Scandiplanet itu kini diabadikan dalam sebuah buku panduan yang memuatkan tips-tips berguna untuk para pelancong mengejar cahaya Aurora.


(Gambar: Scandiplanet)

“Buku ini adalah kompilasi pelajaran yang saya sudah dapat dari pengalaman saya sendiri, dari pengalaman klien-klien saya dan juga dari kerjasama saya dengan rakan-rakan kerja. Saya dapat lakarkan banyak tips macam mana untuk memaksimumkan lagi peluang untuk kita dapat menengok cahaya Aurora.

"Matlamat saya adalah, sesiapa yang telah baca buku itu banyak mungkin ada tercetus dalam hati saya mesti nak pergi tengok sendiri. Tengok dengan mata kepala sendiri,” ujar Cik Suriati, 45 tahun.

Buku setebal 80 muka surat itu bakal dijual pada Ahad nanti pada harga S$10 setiap satu. 


Buku yang diterbitkan oleh Cik Suriati. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

MAHU PERKASA WANITA

Cik Suriati menyifatkan tiga lagi perniaagannya yang lain sebagai ‘peluang-peluang datang bergolek'. Dalam gelak tawanya, beliau mendedahkan dirinya sebenarnya pada mulanya tidak begitu berani untuk memulakan sesuatu yang baru.


Namun, selepas tertubuhnya Scandiplanet, perniagaan-perniagaan lain bermula secara kebetulan apabila disuarakan atau disarankan oleh rakan-rakannya dalam perbualan mereka.

Program berpidato, persidangan wanita antarabangsa dan juga perniagaan pakaian dalam wanita itu adalah cara beliau membantu memperkasa kaum wanita.


(Gambar: Suriati Supani)

Perniagaan pakaian dalam wanita dikendalikannya setelah mengambil alih dari seorang rakan yang berpindah ke luar negara. Cik Suriati menjual pakaian dalam yang diperbuat daripada sutera.

Penganjuran persidangan antarabangsa pula adalah satu usaha niaga penganjuran acara yang baru beliau tubuhkan tahun ini. Ia akan menonjolkan seramai mungkin wanita untuk mereka berkongsi cabaran-cabaran yang sudah diharungi dan meraikan kejayaan mereka.


Usahawan Singapura di Norway, Suriati Supani. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Dipanggil Her Story Norway, ia akan diadakan pada 26 Januari 2020, di Norway sendiri. Matlamatnya adalah untuk mengadakan persidangan itu di 1,000 lokasi di merata dunia, dengan setiap satu acara menampilkan 50 panel wanita.

“Matlamat saya adalah, bila sesiapa saja yang bilang saya ‘saya rasa saya nak berniaga’. Saya ingin jadi perangsang. Saya pun tumpang bersemangat. Bila saya daftar perniagaan saya ini saya letak niat dalam hati saya. Yang ini bukan sahaja perniagaan untuk saya mencari wang. Ini adalah satu perniagaan dengan secara tak langsung saya ingin memberi perangsang kepada ramai untuk ceburi bidang usahawan,” kata Cik Suriati. 

- BERITAmediacorp/nk

Top