Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha galak majikan inklusif pekerja kurang upaya dipergiat

"Kami dapati pekerja kurang upaya kami sangat teliti dalam pekerjaan yang mereka lakukan dan ini menjadi dorongan kepada rakan-rakan sepasukan yang lain," kata seorang eksekutif kanan UNIQLO. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sepuluh tahun lalu, syarikat jenama pakaian UNIQLO dari Jepun mula bekerjasama dengan Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (MINDS) untuk melatih dan menilai calon-calon pekerja bagi cawangan kedainya di sini.

Pada 2012, UNIQLO mula mengambil pekerja kurang upaya (PWD) pertama mereka.

Setelah menerima maklum balas yang memberangsangkan, UNIQLO terus menggajikan pekerja PWD sehingga melebihi sasaran awalnya.

"Matlamat syarikat kami adalah untuk mengambil sekurang-kurangnya seorang pekerja kurang upaya di setiap kedai. Buat masa ini kami mempunyai 33 pekerja kurang upaya di 26 kedai di merata Singapura," kongsi Eksekutif Kanan bagi Kemampanan UNIQLO, Nur Atiqah Mohamed Abdullah.

Salah seorang daripada mereka ialah Siti Zawiyah Selamat, 29 tahun yang bekerja di cawangan Jurong Point.

Sejak tamat latihannya di MINDS empat tahun lalu, Siti terus bekerja di UNIQLO hingga ke hari ini.

Walaupun kurang daya intelek, kecekapan dan tekad Siti menjadikannya antara pekerja contoh dan disenangi rakan-rakan kerjanya yang lain.

"Saya rasa gembira dapat susun baju. Pekerja lain tak perlu tolong. Saya buat sendiri. Mereka tak marah. Mereka ajar secara baik-baik," jawab Siti apabila ditanya tentang pengalaman kerjanya.

Pekerja PWD di syarikat ini mendapat peluang latihan dan tangga gaji yang sama dengan pekerja lain.

Malah berkat ketekunan dan dedikasinya, Siti juga sudah dinaikkan pangkat dalam masa empat tahun bekerja di sini.

"Kami mendapati yang pekerja kurang upaya kami sangat teliti dalam pekerjaan yang mereka lakukan dan ini menjadi dorongan rakan-rakan sepasukan yang lain," kata Cik Atiqah.

Inisiatif majikan inklusif yang diamalkan Uniqlo itu merupakan antara usaha yang dikelolakan agensi pemerintah SG Enable untuk membantu golongan PWD mendapatkan peluang pekerjaan.

Sebanyak 1,200 peluang latihan dan pekerjaan akan diwujudkan tahun ini.

Bagi mendorong lebih banyak syarikat untuk mengambil, melatih dan membuat penyesuaian bagi pekerja PWD, SG Enable melancarkan satu rangka kerja pentauliahan bagi menanda aras dan mengiktiraf majikan yang bersifat inklusif kepada golongan kurang upaya.

Dinamakan Enabling Mark, rangka kerja di peringkat kebangsaan itu bertujuan memberi insentif kepada pertubuhan untuk membangunkan imej korporat positif dengan pengambilan kerja inklusif, serta mendorong syarikat menggunakan amalan terbaik dalam membangunkantenaga kerja inklusif.

"Enabling Mark boleh menunjukkan bahawa syarikat itu memperkasakan, membawa pembaharuan dan mudah bekerjasama. Ia boleh merangsang pertumbuhan perniagaan anda dengan menarik pelanggan, rakan niaga dan bakat yang peka dengan perihal kemasyarakatan," kata Penolong Ketua Eksekutif SG Enable, Tan Ko We.

UNIQLO merupakan antara syarikat yang sudah memohon bagi pentauliahan tersebut.

Selain usaha ini, lebih banyak dapatan akan diumumkan dalam Pelan Induk Pemerkasaan Ketiga termasuk peluang pekerjaan bagi golongan kurang upaya.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli mendedahkan demikian semasa perbahasan bagi Jawatankuasa Perbekalan kementeriannya awal bulan ini.

"Butiran lanjut akan diberikan pada bulan April nanti tapi jelas sekarang ini juga, kami memberikan sokongan untuk mendapatkan pekerjaan bagi mereka yang kurang upaya," ujar Menteri Masagos.

Beliau juga berkongsi bahawa kementeriannyaakan mewujudkan 4,200 pekerjaan dalam sektor berkaitan dengan sejumlahnya dikhususkan buat golongan PWD.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan