Images
  • zaqy m3 mendaki sense
    Encik Zaqy Mohamad semasa pesta kerjaya anjuran Mendaki SENSE pada 11 Okt 2020 (Gambar: Facebook/Zaqy Mohamad)

Usaha dipergiat bantu pekerja Melayu sertai sektor berkembang maju

SINGAPURA: Lebih banyak usaha dan sokongan akan dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat Melayu maju ke arah yang lebih baik.

Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi MENDAKI memberikan jaminan ini semasa mengulas tentang dapatan banci penduduk 2020.

Encik Zaqy berkata masyarakat Melayu sudah mencatat kemajuan signifikan dari segi kadar pendapatan dan pekerjaan.


Dapatan tersebut menunjukkan bahawa masyarakat Melayu mencatat pertumbuhan terbesar bagi pendapatan bulanan isi rumah daripada pekerjaan untuk setiap anggota isi rumah median berbanding kaum lain.

"Sedang kita lihat lebih ramai yang bekerja dalam sektor dengan pertumbuhan pesat, saya fikir kita boleh buat lebih baik lagi kerana kita juga melihat pertumbuhan pendapatan bagi penduduk Singapura yang meluas. Jadi di sini, kami berharap dapat membawa masuk lebih ramai pekerja Melayu dalam sektor yang berkembang dan MENDAKI juga akan membantu menerusi FA4. Itulah antara tumpuan kami," kata Encik Zaqy.

FA4 atau bidang tumpuan keempat adalah untuk meningkatkan peluang pekerjaan, kemahiran, dan daya bekerja, pekerja Melayu/Islam.

Menjelaskan antara sebab di sebalik kenaikan pada kadar pendapatan dalam kalangan masyarakat Melayu, Encik Zaqy berkongsi bahawa lebih ramai pekerja Melayu kini memegang jawatan PMET (Karyawan, Pengurus, Eksekutif dan Teknisyen).

Peratusan orang Melayu yang memegang jawatan PMET meningkat dari 28 peratus pada 2010 kepada 39 peratus pada 2020.

Ini bermakna hampir dua daripada lima pekerja Melayu dalam golongan PMET dan ini naik sejajar dengan pencapaian akademik lebih baik anak-anak Melayu.

Walau bagaimanapun, Encik Zaqy berkata masih ramai yang bekerja dalam bidang yang terjejas oleh pandemik sekarang.

"Di sini kita perlu melihat di dalam keadaan COVID-19 hari ini, ramai di antara mereka juga sedang bekerja di dalam sektor yang kita katakan lemah hari ini, seperti F&B, runcit, pelancongan dan sebagainya, juga pekerja sambilan dan di sini saya juga berharap dengan fokus kami, MENDAKI dan MMO, kita dapat membawa lebih ramai memasuki sektor-sektor yang lebih berkembang dan pada masa yang sama juga kita perlu menggalakkan wanita-wanita terus bekerja," terang Encik Zaqy.

USAHA GALAK WANITA BEKERJA DIPERGIAT

Walaupun kadar wanita yang bekerja rata-rata meningkat saban tahun dalam dekad sebelum ini, dapatan juga menunjukkan bahawa kadar wanita Melayu yang bekerja pada usia lewat 20-an tahun menurun dan jurangnya dengan masyarakat lain semakin melebar sedang usia mereka semakin meningkat.

Menurut Encik Zaqy dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam, ini lebih ketara dalam kalangan mereka yang sudah mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak.

Oleh itu, usaha juga akan dipertingkatkan untuk menggalak lebih ramai wanita Melayu untuk bekerja kerana menurut Cik Rahayu, ini dapat mengukuhkan lagi pendapatan keluarga mereka.

Antara usaha yang sudah digerakkan termasuk program "Back-to-Work Women" yang diterajui oleh Mendaki SENSE.


Cik Rahayu memberi kemas kini: sekitar 1,300 wanita sudah menyertai program itu dan digalak untuk kembali bekerja.

"Antara perkara-perkara yang dilakukan adalah untuk mengadakan program yang dapat menguatkan sokongan ini seperti memberi peluang, seperti bimbingan kerjaya kepada wanita dan juga memberi mereka peluang mencuba pekerjaan itu, memastikan ia sepadan," kongsi Cik Rahayu.

"Kita juga ada insentif untuk menggalak aturan kerja fleksibel dan keseimbangan antara kehidupan dan kerja dan ini dilakukan dengan memberikan insentif, sumber-sumber kepada majikan untuk mengadakan tempat kerja yang sesuai untuk keluarga, yang membantu wanita untuk capai impian mereka dalam pekerjaan dan juga mungkin menjaga keluarga mereka."

Selain usaha-usaha MMO dan di peringkat nasional, usaha untuk merubah tanggapan dan stereotaip masyarakat juga diperlukan.

"Saya sudah terlibat dalam lebih 140 atau 150 perbincangan tentang pembangunan wanita melibatkan 4,000 hingga 5,000 wanita dan saya rasa banyak bergantung kepada cara pemikiran," kata Cik Rahayu.

"Saya fikir perlu ada perbincangan mengenai hal ini dan mengajak masyarakat untuk memikirkan tentang kemungkinan dan menggalak mereka menjadi lebih baik."

Apabila pendapatan keluarga terjejas kerana tiadanya dua sumber pendapatan (suami dan isteri), Encik Zaqy berkata ini boleh mengehadkan peluang yang tersedia bagi anak-anak mereka.

"Dari segi pengayaan untuk anak-anak mereka, pendedahan dan sebagainya, kita melihat berlainan dengan kaum-kaum yang lain. Jadi misalnya kalau dua orang bekerja, misalnya mereka dapat mempunyai peluang untuk mendapatkan kelas-kelas pengayaan, untuk mendapatkan peluang tuisyen dan sebagainya di mana sebuah keluarga yang mempunyai had pendapatan akan mungkin rasa ada kekangan dengan apa yang mereka boleh berikan kepada anak-anak mereka," kata Encik Zaqy

Encik Zaqy berharap satu anjakan pemikiran akan tercetus dalam masyarakat agar kesedaran dapat dipertingkatkan mengenai risiko-risiko tersebut dari segi kestabilan ekonomi keluarga.  

- BERITAmediacorp/fz

Top