Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usaha bangunkan pemimpin agama tidak berhenti setakat di universiti, kata Dr Maliki

Proses membangunkan para pemimpin agama tidak boleh setakat berhenti selepas mereka lulus dari institusi-institusi Islam terkemuka, menurut Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Proses membangunkan para pemimpin agama tidak boleh setakat berhenti selepas mereka lulus dari universiti atau institusi-institusi Islam terkemuka.

Demikian ditekankan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman semasa berucap di majlis pelancaran buku, "Tradition and Islamic Learning: Singapore Students in the Al-Azhar University."

Kepimpinan keagamaan tambah beliau, memerlukan pemahaman yang mendalam serta kepakaran bukan sahaja dalam ilmu keagamaan tradisional, tetapi juga pemahaman berbilang disiplin bagi menghayati cabaran yang dihadapi masyarakat di sini.

"Sama penting adalah untuk para siswazah memahami cara terbaik untuk menggunakan pengetahuan sedemikian dalam masyarakat kita kerana sekitaran di Singapura unik dan mempunyai cabaran serta pertimbangannya sendiri," kata Dr Maliki lagi.

Dr Maliki juga menambah generasi asatizah atau guru-guru agama pada masa akan datang perlu peka tentang trend serta unsur-unsur yang mempengaruhi minda serta hati masyarakat serta perkembangan budaya pemikiran dan amalan agama secara ekstrim.

Namun beliau yakin golongan pendidik agama dapat terus menjadi pembimbing kepada masyarakat serta negara untuk generasi-generasi seterusnya.

BUKU PENYELIDIKAN KUPAS ISU-ISU BERKAITAN UNIVERSITI AL-AZHAR

Menyentuh pula tentang buku yang dilancarkan tentang penyelidikan mengenai Universiti Al-Azhar serta para penuntutnya, Dr Maliki berkata ia akan membantu masyarakat untuk memahami dengan lebih baik lagi, bagaimana untuk menyokong para pelajar itu mencapai aspirasi mereka.

Buku itu diterbitkan oleh ISEAS- Institut Yusof Ishak bersama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan ditulis oleh Dr Norshahril Saat, Zamil di ISEAS-Institut Yusof Ishak. Ia mengupas beberapa isu seperti kedudukan institusi tersebut dalam dunia moden serta cabaran yang dihadapi para penuntutnya.

Walaupun sudah berusia lebih 1,000 tahun, Universiti Al-Azhar masih dianggap ramai sebagai antara universiti Islam paling berprestij di dunia, melahirkan tokoh-tokoh Islam berpengaruh termasuk Mufti Singapura.

Malah, institusi pengajian tinggi itu kekal sebagai pilihan pertama bagi ramai pelajar Asia Tenggara.

(Gambar: Mediacorp)

Di Singapura sendiri, lebih 40% pelajar yang melanjutkan pengajian Islam di luar negara memilih untuk melakukannya di Universiti Al-Azhar.

"Kita tahu apabila mereka lulus daripada madrasah, mungkin ada pelbagai jangkaan untuk mereka menjadi seorang ustaz atau ustazah. Apakah cabaran-cabaran mereka? Sama ada mereka memenuhi matlamat yang diberikan oleh mungkin golongan ibu bapa, guru-guru di madrasah dan sebagainya. Jadi, kita mahu melihat proses pembelajaran lulusan-lulusan Al-Azhar ini," jelas Dr Norshahril.

Penyelidikan selama dua tahun itu dijalankan setelah beliau menerima Anugerah Sarjana Syed Isa Semait (SISS) pada 2015.

Anugerah itu yang mengiktiraf kepimpinan dan sumbangan besar mantan Mufti Singapura Syed Isa Semait, diberikan kepada calon paling layak di kalangan para penerima Biasiswa Pos Siswazah MUIS (PGS).

Berbekalkan geran $10,000 yang disertakan dengan anugerah itu, Dr Norshahril perlu berulang-alik ke Mesir bagi mengumpulkan data selama setahun, selain menemuramah 37 penuntut Al-Azhar, dahulu dan sekarang.

"Saya mengharapkan bahawa ada pengkaji-pengkaji lain yang mungkin boleh mengambil dapatan daripada kajian saya ini untuk melakukan kajian selanjutnya dan untuk memikir balik beberapa persepsi masyarakat di luar sana tentang pembelajaran di Al-Azhar itu sendiri," kongsi beliau.

Dr Norshahril juga berharap buku ini dapat menjadi sumber rujukan buat para penggubal dasar ketika menentukan sama ada universiti Al-Azhar itu kekal sebagai tempat ideal bagi pendidikan Islam.

37 INDIVIDU TERIMA ANUGERAH POS SISWAZAH MUIS SEJAK 2005

Meneruskan usaha melahirkan pemikir-pemikir Islam tempatan yang bermutu seperti Dr Norshahril, MUIS sejak 2005, sudah memberikan anugerah Biasiswa Pos Siswazah kepada 37 individu yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat sarjana atau doktor falsafah.

Penerima anugerah pos siswazah MUIS (Gambar: Nashita Kamir)

Tahun ini, penerimanya ialah Muhammad Norfarihin Norazman, seorang penuntut Sarjana di Universiti Jordan.

"Insya-Allah rancangan saya selepas menamatkan Sarjana dalam Fiqh dan Usul Fiqh saya akan kembali ke arena Singapura ini untuk menyumbang kembali dalam arena dakwah keilmuan agama dan insya-Allah menyumbang kembali bakti kepada masyarakat Islam Singapura," kongsi Norfarihin dengan penuh harapan.

PROGRAM 'ICON' LATIH PARA ASATIZAH SUPAYA CELIK DIGITAL

Turut diraikan di majlis itu ialah 42 lulusan dari sebuah program pembelajaran bagi Sijil Islam dalam Konteks (ICON). Sejak Januari 2017, para asatizah baru dikehendaki menjalani latihan tersebut sebelum diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Salah seorang peserta program ICON anjuran MUIS (Gambar: BERITAMediacorp/Nashita Kamir)

Selain diajar cara-cara memberi konteks tempatan pada ajaran agama Islam, asatizah juga dilengkapkan dengan kemahiran celik digital.

"Kami dapat memperolehi ilmu bagaimana kita dapat berhubung dengan masyarakat lebih dekat menggunakan media digital, Google Search dan YouTube. Paling penting sekali adalah YouTube, bagaimana kita dapat memberikan dakwah kepada masyarakat melalui YouTube," kongsi Nursyahiirah Ismail yang muncul sebagai antara tiga lulusan cemerlang dalam kohort kedua seramai 42 orang itu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan