Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Usah panik, bekalan pasar raya lebih tinggi dari tahun lalu: CEO NTUC Fairprice

Orang ramai tidak perlu cemas dan tergesa-gesa membeli barangan keperluan kerana gedung-gedung dan wadah online Fairprice sudah bersedia untuk melayani pelanggan dengan bekalan mencukupi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Seah Kian Peng pada Jumaat (14 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Usah panik, bekalan pasar raya lebih tinggi dari tahun lalu: CEO NTUC Fairprice

Gambar kiriman pembaca BERITA pada 14 Mei 2021 menunjukkan orang ramai berkerumun di sebuah cawangan NTUC FairPrice (Gambar ihsan: Pembaca BERITA)

Diterbitkan : 14 May 2021 04:19PM Dikemas Kini : 14 May 2021 09:30PM

SINGAPURA: Orang ramai tidak perlu cemas dan tergesa-gesa membeli barangan keperluan kerana gedung-gedung dan wadah online Fairprice sudah bersedia untuk melayani pelanggan dengan bekalan mencukupi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Seah Kian Peng pada Jumaat (14 Mei).

Encik Seah, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade, memberi jaminan tersebut dalam satu catatan di Facebook setelah pasukan bertindak berbilang kementerian (MTF) COVID-19 hari ini mengumumkan langkah-langkah lebih ketat untuk membendung penularan koronavirus.

Beberapa pembaca BERITAmediacorp mengirimkan gambar menunjukkan orang ramai beratur panjang di beberapa cawangan pasar raya di sini, dikatakan menunjukkan keadaan orang ramai yang berpusu-pusu membeli barangan keperluan susuli pengumuman MTF.

Mengesahkan keadaan itu, Encik Seah berkata lonjakan jumlah pembelian bukan saja dicatat di kedai fizikal namun juga secara online.

"Kami menyaksikan lebih banyak trafik dan pembelian lebih besar di kedai-kedai Fairprice kami dan wadah online sejak pengumuman (langkah diperketat COVID-19) pada tengah hari. semua gedung dan kakitangan kami bersedia untuk melayan pelanggan," tulis Encik Seah.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa bukan sahaja kami lebih bersiap sedia berbanding tahun lalu, inventori dan bekalan simpanan kami juga lebih tinggi dari sebelum ini."

Lantaran itu, beliau ingin "tekankan pesanan kami semasa permulaan DORSCON Jingga (tahun lalu)", iaitu orang ramai tidak perlu terburu-buru keluar untuk membeli barangan keperluan, kerana kedai-kedai akan "kekal dibuka".

"Yang lebih penting adalah bagi semua orang untuk jaga diri dan keselamatan," tambah beliau.

Pelanggan beratur panjang di luar satu cawangan pasar raya NTUC FairPrice di Jurong Point pada 14 Mei 2021 (Gambar ihsan: Chan Eng Hoo)

Pelanggan beratur panjang di luar satu cawangan pasar raya NTUC FairPrice di Jurong Point pada 14 Mei 2021 (Gambar ihsan: Chan Eng Hoo)

Februari tahun lalu, keadaan hampir serupa dilaporkan di pasar-pasar raya merata negara apabila tahap Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit (DORSCON) dinaikkan kepada Jingga susuli lonjakan kes COVID-19 di peringkat global.

Tindakan sebilangan orang yang berpusu-pusu membeli bekalan berlebihan pada waktu itu menyebabkan rak-rak di beberapa pasar raya kosong seketika.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan