Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Urus niaga flat jualan semula HDB melonjak 127.3% pada suku ketiga selepas tamat 'circuit breaker'

Jumlah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual di pasaran jualan semula pada suku ketiga tahun ini menjulang sehingga mencecah 127.3 peratus selepas tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ditarik balik pada Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Oct 2020 12:33PM Dikemas Kini : 23 Oct 2020 08:49PM

SINGAPURA: Jumlah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang dijual di pasaran jualan semula pada suku ketiga tahun ini menjulang sehingga mencecah 127.3 peratus selepas tempoh 'circuit breaker' atau pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ditarik balik pada Jun.

Perangkaan rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat(23 Okt) menunjukkan bahawa sebanyak 7,787 flat dijual antara Julai hingga September tahun ini, meningkat daripada 3,426 yang dijual pada suku kedua.

Jika dibandingkan dari tahun ke tahun pula, jumlah urus niaga flat jualan semula pada suku ketiga meningkat 24.3 peratus, menurut data HDB.

Harga juga naik 1.5 peratus pada suku ketiga berbanding suku sebelumnya, dengan indeks harga jualan semula - yang memberikan maklumat mengenai naik turun harga secara amnya bagi pasaran jualan semula perumahan awam - meningkat kepada 133.9.

Singapura menguatkuasakan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 7 April untuk membendung penularan virus yang boleh membawa maut itu. Setelah jumlah jangkitan merosot, negara ini dibuka secara bertahap-tahap dengan Fasa 1 bermula pada 2 Jun dan Fasa 2 pada 19 Jun.

Pasaran perumahan awam menyaksikan "kebangkitan yang menakjubkan" setelah mengalami "penjualan terendah dalam sejarah" pada suku kedua tahun ini, di mana kunjungan ke rumah penjual tidak dibenarkan sama sekali semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan itu, kata ketua kajian dan runding cara OrangeTee & Tie, Christine Sun.

"Perubahan pantas dalam pasaran hartanah mungkin dipacu oleh pakej rangsangan ekonomi yang agresif di peringkat global bagi mencergaskan semula ekonomi yang disebabkan oleh pandemik ini," katanya lagi.

"Campur tangan pemerintah yang tegas dan pelbagai skim bantuan kewangan seperti bayaran balik pinjaman yang ditangguhkan mungkin berhasil mencegah berlaku gadai janji yang tidak dapat dilunaskan dan kejatuhan harga flat."

Kenaikan harga "mungkin dikaitkan" dengan banyak flat jualan semula yang lebih baru dijual pada suku kedua.

"Sesetengah penjual mungkin menaikkan harga flat yang ingin dijual disebabkan oleh permintaan yang kian meningkat," dedah Cik Sun.

Sesetengah permintaan juga mungkin daripada pasaran flat Bina Ikut Tempahan (BTO)," tambah beliau.

"Banyak pelancaran BTO turut mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan dan sebilangan pembeli yang gagal terpaksa berpaling ke pasaran jualan semula sebagai alternatif," kata Cik Sun.

HDB akan melancarkan sekitar 9,300 flat BTO di pelbagai estet pada November tahun ini dan Februari 2021.

"Dengan situasi pandemik COVID-19 yang kian berubah-ubah, HDB akan terus memantau keadaan dengan teliti dan akan melakukan penyesuaian yang sewajarnya," menurut HDB.

Penjualan Baki Flat seterusnya dijadual dilancarkan pada November, serentak dengan pelancaran BTO, "kecuali berlaku keadaan yang tidak dijangka".

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan