Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

URA mungkin semak syarat sewa Liv@Changi jika terdapat 'perubahan pada keadaan sekeliling'

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan ia mungkin akan menimbangkan untuk menyemak semula sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas para penyewa di sebuah pusat beli-belah di Changi jika terdapat "perubahan pada keadaan" di sekitar kawasan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
URA mungkin semak syarat sewa Liv@Changi jika terdapat 'perubahan pada keadaan sekeliling'

Pusat beli-belah Liv@Changi di Mariam Way. (Gambar: Aqil Haziq Mahmud/CNA)

Diterbitkan : 14 Apr 2021 06:30PM Dikemas Kini : 14 Apr 2021 06:40PM

SINGAPURA: Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menyatakan ia mungkin akan menimbangkan untuk menyemak semula sekatan-sekatan yang dikenakan ke atas para penyewa di sebuah pusat beli-belah di Changi jika terdapat "perubahan pada keadaan" di sekitar kawasan tersebut.

Sebelum ini dilaporkan bahawa bangunan komersil pegangan kekal setinggi tiga tingkat itu dijual setelah pemaju bangunan itu mengalami kesulitan untuk memikat penyewa disebabkan oleh sekatan-sekatan perancangan dan pandemik COVID-19.

Pusat beli-belah Liv@Changi di Upper Changi Road North diberikan Permit Pendudukan Sementara (TOP) pada Disember 2019. Pada Februari 2020, URA menolak permohonan oleh pemaju bangunan itu untuk mengubah beberapa unit kedai di tingkat satu dan dua di bangunan itu menjadi restoran.

"Kami bersedia menimbangkan untuk menyemak semula syarat perancangan bagi tapak itu jika terdapat perubahan pada keadaan di sekitar kawasan itu," menurut URA pada Rabu (14 Apr) semasa menjawab pertanyaan oleh Mediacorp.

Sungguhpun demikian, ia tidak pula mengulas apakah perubahan-perubahan tersebut.

Berhubung keputusannya untuk menolak permohonan pemaju bangunan itu untuk mengubah beberapa unit menjadi kafe dan restoran, URA sebelum ini menyatakan bahawa ia bagi "menjaga kemudahan penduduk sekitar ".

Agensi itu kemudian memberitahu Mediacorp bahawa pusat beli-belah itu tidak dibenarkan untuk membuka restoran disebabkan oleh maklum balas penduduk mengenai masalah trafik dan tempat letak kenderaan.

Namun, seorang penduduk yang tinggal bersebelahan pusat beli-belah itu baru-baru ini memberitahu Mediacorp bahawa beliau berharap URA akan berhenti daripada menghadkan jenis penyewa yang dibenarkan untuk menyewa unit di bangunan itu, sambil menarik perhatian bahawa pusat beli-belah itu terletak di sebuah "zon perumahan yang berkembang pesat".

URA sekali lagi menegaskan pada Rabu bahawa ia sudah menilai kemudahan-kemudahan di kawasan itu dan keadaan lain seperti trafik dan tempat letak kereta sebelum memutuskan kegunaan dan syarat-syarat tambahan bagi tapak itu.

"Walaupun kemudahan runcit seperti pasar raya dibenarkan, pemaju bangunan itu dimaklumkan pada 2015 bahawa restoran, tempat minuman, pusat kesihatan atau kelab malam tidak dibenarkan beroperasi dalam bangunan itu," kata jurucakap URA.

"Ia bagi melindungi identiti kawasan perumahan itu dan mengambil kira maklum balas pihak akar umbi di kawasan berkenaan bahawa operasi kedai makanan dan minuman (F&B) di bangunan itu hanya akan memburukkan masalah trafik dan ruang tempat letak kereta di kejiranan itu."

URA menegaskan bahawa ia menekankan syarat-syarat yang sama pada Februari 2020 dan April 2021 apabila pemaju bangunan itu memohon untuk mengubah unit-unit kedai menjadi restoran, menyusuli "penilaian baru" terhadap kemudahan yang tersedia di kawasan itu dan pemeriksaan dengan pihak berkepentingan tempatan.

Secara amnya, URA menyatakan penggunaan yang dibenarkan bagi sebuah tapak ditentukan melalui beberapa faktor, temasuk pengezonan guna tanah dan garis panduan kawalan pembangunan bagi tapak itu, kemudahan di kawasan berkenaan dan kesannya terhadap kawasan dan masyarakat di sekelilingnya.

"Syarat-syarat tambahan mungkin boleh dikenakan bagi mengurangkan kesan daripada penggunaan yang diusulkan," kata jurucakap itu.

"Maklum balas dari pihak-pihak berkepentingan berhampiran seperti penduduk, sekolah dan perniagaan serta persatuan akar umbi mungkin diambil kira semasa membuat penilaian."

Bangunan itu kini dijual pada harga S$38 juta, menurut syarikat khidmat hartanah CBRE dalam satu pengumuman pada 16 Mac.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan