Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

URA dan LTA lancar tender perintis bagi stesen cas kenderaan elektrik di tempat letak kereta awam

Lebih 200 tempat letak kereta awam di merata Singapura bakal mempunyai stesen mengecas kenderaan elektrik menjelang suku ketiga 2022.

Anggaran Waktu Membaca:
URA dan LTA lancar tender perintis bagi stesen cas kenderaan elektrik di tempat letak kereta awam

(Gambar: Reuters/ Lucy Nicholson)

Diterbitkan : 30 Nov 2020 06:35PM Dikemas Kini : 30 Nov 2020 06:38PM

SINGAPURA: Lebih 200 tempat letak kereta awam di merata Singapura bakal mempunyai stesen mengecas kenderaan elektrik menjelang suku ketiga 2022.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (30 Nov) mengumumkan pelancaran tender perintis bagi stesen mengecas kenderaan elektrik di tempat letak kereta awam.

Tender itu termasuk memasang dan mengendalikan lebih 600 stesen mengecas di lebih 200 tempat letak kereta awam di kawasan perumahan dan perusahaan, taman serta kelab masyarakat.

Tender yang berjaya akan perlu memasang stesen mengecas di tempat letak kereta yang diperuntukkan menjelang suku ketiga 2022, kata LTA dan URA dalam satu kenyataan media bersama.

Singapura meningkatkan pemasangan stesen mengecas kereta elektrik, sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menghentikan penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman menjelang 2040.

Awal tahun ini, Pemerintah mengumumkan rancangannya untuk memasang sehingga 28,000 stesen mengecas di tempat letak kereta awam menjelang 2030. Dua pertiga daripadanya akan disediakan di tempat letak kereta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kata Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung bulan lalu.

Jumlah kereta elektrik di Singapura kini berjumlah sekitar 1,190, atau sekitar 0.2 peratus daripada 630,018 kereta yang didaftarkan, menurut angka yang diterbitkan LTA bulan lalu.

Sekarang ini ada sekitar 1,800 tempat mengecas kereta elektrik yang terletak di merata negara, kata URA dan LTA dalam kenyataan media pada Isnin.

Data yang dikumpulkan dari tender berkenaan akan digunakan bagi melakar tender akan datang, yang akan dikeluarkan secara berkelompok dalam beberapa tahun akan datang, kata URA dan LTA.

"Dengan membawa stesen mengecas ke lebih banyak tempat letak kereta awam di negara ini akan memudahkan akses kepada pemandu, menjadikan kenderaan elektrik sebagai pilihan yang lebih menarik," kata Encik Lim Eng Hwee, ketua pegawai eksekutif URA.

Ketua eksekutif LTA, Encik Ng Lang, menambah bahawa penggunaan kenderaan elektrik yang lebih luas akan "memberikan manfaat persekitaran yang besar dan meningkatkan mutu hidup bagi semua rakyat Singapura".

"Ditambah dengan insentif seperti Insentif Penggunaan Awal Kenderaan Elektrik (EV) dan Skim Pelepasan Kenderaan yang baru-baru ini ditingkatkan, akan membantu mendorong lebih banyak pemilik kenderaan memilih kenderaan elektrik," tambahnya.

Tender dibuka sehingga 12 Mac 2021.

Sumber : CNA/SU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan