Images
  • mindef mai
    Jenazah pelakon dan anggota kerahan Aloysius Pang dibawa pulang ke Singapura dari New Zealand pada 25 Januari 2018. (Gambar: MINDEF)

Upacara persemadian istiadat tentera akan diadakan bagi mendiang Aloysius Pang

SINGAPURA: Jenazah pelakon dan anggota kerahan Aloysius Pang sudah dibawa pulang ke Singapura dari New Zealand.

Pesawat yang membawa jenazah Korporal Pang, 28 tahun, berlepas dari Lapangan Terbang Auckland pada awal pagi tadi (25 Jan) dan tiba di sini sekitar 5.45 petang.

Ini selepas pihak berkuasa New Zealand bersetuju tidak menjalankan bedah siasat ke atas mayat Pang, atas permintaan keluarganya.

Menulis di laman Facebooknya, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen berkata sebuah pesawat jenis KC-135 dikerahkan ke New Zealand untuk membawa pulang jenazah Pang.

Menurut agensi pengurusan mendiang, orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang malam ini di Macpherson Lane.

Majlis privet untuk pihak keluarga akan diadakan esok pagi (26 Jan).


Mendiang Korporal Kelas Pertama (Kerahan) Pang membuat penampilan dalam drama-drama televisyen dan merupakan seorang teknisyen senjata bersama Batalion Meriam Singapura ke-268.

Mendiang meninggal dunia di New Zealand pada Rabu (23 Jan) setelah empat hari dirawat di Hospital Waikato.

Mendiang mengalami kecederaan pada beberapa organnya semasa melakukan kerja-kerja penyenggaraan ke atas sebuah kenderaan tentera pada Sabtu (19 Jan).

Mendiang dihubungkan kepada sistem sokongan hidup selepas menjalani tiga pembedahan di hospital New Zealand.

Ketika kejadian, mendiang sedang menyertai satu latihan tentera di Kawasan Latihan Waiouru di New Zealand.

Semasa satu sidang media semalam, Panglima Tentera SAF, Mejar-Jeneral (MG) Goh Si Hou, mendedahkan bahawa Pang dihimpit antara laras meriam Howitzer dengan kenderaan berperisai apabila laras meriam itu diturunkan, dan mendiang tidak dapat mengeluarkan dirinya.

Mendiang Korporal Pang akan diberikan penghormatan dalam upacara persemadian istiadat tentera. Upacara persemadian akan berlangsung di Krematorium Mandai pada Ahad ini (27 Jan).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan terus menghulurkan bantuan dan sokongan kepada keluarga mendiang Pang. 

- CNA/AA/ai

Top