Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Upacara penghormatan terakhir Aloysius Pang penuh sayu, perasaan hiba

Sejam sebelum upacara penghormatan terakhir bagi Korporal Kelas Pertama (CFC) Aloysius Pang dibuka kepada orang ramai hari ini (26 Jan), sekitar 10 orang peminat sudah mula beratur, menanti giliran untuk memberi penghormatan terakhir kepada pelakon kesayangan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Upacara penghormatan terakhir Aloysius Pang penuh sayu, perasaan hiba

Orang ramai menunggu giliran ingin beri penghormatan terakhir kepada CFC Pang. (Gambar: Matthew Mohan)

Diterbitkan : 26 Jan 2019 01:32PM Dikemas Kini : 26 Jan 2019 01:36PM

SINGAPURA: Sejam sebelum upacara penghormatan terakhir bagi Korporal Kelas Pertama (CFC) Aloysius Pang dibuka kepada orang ramai hari ini (26 Jan), sekitar 10 orang peminat sudah mula beratur, menanti giliran untuk memberi penghormatan terakhir kepada pelakon kesayangan mereka.

Seorang wanita berusia 49 tahun merupakan yang pertama dalam barisan. Cik Angeline tidak dapat menahan sebak.

"Aloysius seorang anak muda yang sangat berbakat. Saya menonton program-programnya dan saya tidak percaya kini beliau sudah tiada."

CFC Pang meninggal dunia pada Rabu (23 Jan), empat hari selepas beliau cedera parah semasa mengikuti latihan kerahan di New Zealand. Mendiang tersepit di hujung laras meriam dalam kabin kenderaan tentera. Akibatnya, organ dalam tubuhnya cedera teruk.

Ramai yang bersedih dengan pemergian pelakon berusia 28 tahun itu, termasuk rakan-rakan artis dan peminatnya yang tidak menjangkakan mendiang akan meninggal dunia pada usia yang masih muda.

Di 82A Macpherson Lane, satu upacara penghormatan terakhir diadakan hanya bagi keluarga dan saudara-mara mendiang. Muzik penuh sayu dimainkan ketika kenalan-kenalan Aloysius berkumpul.

Antara mereka yang hadir di upacara itu termasuk para anggota Batalion Artileri Singapura ke-268, yang mana CFC Pang berkhidmat sebagai seorang teknisyen pensenjataan.

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong tiba di tempat itu pada sekitar 9.30 pagi. Beliau memberi penghormatan terakhirnya dan bertemu dengan keluarga dan rakan-rakan mendiang. Anggota Parlimen Macpherson Tin Pei Ling, yang mengunjungi keluarga mendiang pada lewat semalam (25 Jan), turut hadir buat kali kedua.

Dua skrin besar LCD diletakkan di sisi CFC Pang. Video-video yang merakam detik-detik istimewa bersama rakan-rakan dan keluarganya dimainkan pada skrin tersebut.

Ruang dewan dipenuhi dengan lingkaran bunga, termasuk bunga kiriman pengarah Hollywood Ang Lee, Ketua Eksekutif Fly Entertainment Irene Ang dan penyanyi Malaysia, Joyce Chu.

Upacara penghormatan terakhir itu dibuka kepada orang ramai mulai tengah hari tadi (26 Jan) sehingga esok (27 Jan), jam 12.00 tengah hari. Upacara persemadian kemudian akan diadakan di Krematorium Mandai pada 27 Jan. 

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan