Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

UOB bakal daftar 900 kakitangan dalam program penukaran profesional

Seramai 900 kakitangan cawangan-cawangan bank United Overseas Bank (UOB) di Singapura akan menjalani Program Penukaran Profesional (PCP) menjelang tiga hingga 12 bulan akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
UOB bakal daftar 900 kakitangan dalam program penukaran profesional

Seorang kakitangan UOB membantu pelanggannya. (Gambar: Brandon Tanoto)

Diterbitkan : 27 Nov 2017 12:28PM Dikemas Kini : 27 Nov 2017 12:34PM

SINGAPURA: Seramai 900 kakitangan cawangan-cawangan bank United Overseas Bank (UOB) di Singapura akan menjalani Program Penukaran Profesional (PCP) menjelang tiga hingga 12 bulan akan datang.

Langkah UOB ini berikutan pelancaran peta hala tuju untuk industri kewangan pada 20 Oktober. Peta hala tuju tersebut bertujuan membuka 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor tersebut, termasuk bank dan syarikat pengurusan kewangan menjelang tiga tahun akan datang. Tambahan 1,000 lagi pekerjaan dalam sektor teknologi kewangan (fintech) juga akan ditawarkan setiap tahun sehingga 2020.

Semasa melancarkan Peta Perubahan Perusahaan, anggota lembaga Penguasa Kewangan Singapura (MAS) Ong Ye Kung, menggesa bank-bank untuk memastikan pekerja mereka kekal relevan dan untuk melatih semula pekerja yang terjejas oleh gangguan teknologi.

Encik Ong, yang juga Menteri Pendidikan (Pendidikan Tinggi dan Kemahiran), menekankan bank-bank tidak harus mengambil jalan mudah dengan memberhentikan mereka.

Bank pusat juga sudah bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan bagi membantu golongan karyawan untuk menjalani program penukaran profesional untuk mendapat kemahiran baru dan beralih kepada pekerjaan baru.

UOB menyatakan kelompok pertama kakitangannya akan didaftarkan dalam PCP, termasuk para pekerja barisan hadapan seperti pegawai perkhidmatan dan pengurus cawangan.

Latihan akan diadakan melalui kelas-kelas, bengkel dan latihan sambil bekerja.Tujuannya untuk mengukuhkan lagi kemahiran pekerja dalam bidang digital serta kemahiran teknologi lain yang mungkin diperlukan dalam pekerjaan mereka pada masa depan.

Program ini juga akan meliputi bidang seperti pemasaran digital, penglibatan media sosial dan analisis data, serta pengurusan kekayaan dan risiko.

Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) akan membiayai sebahagian daripada yuran program bagi UOB. Bakinya akan ditanggung bank tersebut.

Cik Jenny Wong, ketua sumber manusia UOB, berkata PCP melengkapi program sedia ada bank untuk meningkatkan keupayaan digital para pekerjanya.

"Tahun lepas sahaja, UOB melabur S$20 juta dalam program latihan dan pembangunan untuk pekerja kami," katanya.

"Memandangkan teknologi mempengaruhi kehidupan dan keutamaan pelanggan kami, kami memastikan pekerja juga mempunyai kemahiran yang relevan dan minda yang tangkas untuk masa depan."

PCP dibangunkan bersama oleh MAS, WSG dan Institut Perbankan dan Kewangan Singapura (IBF). Ia adalah sebahagian daripada Inisiatif “Suai-Maju” WSG untuk menyokong para profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen di tengah-tengah penekanan negara untuk beralih kepada era teknologi digital.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan