Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang terhadap ucapan berbaur perkauman tidak larang perbincangan kaum, kata Shanmugam

Undang-undang Singapura terhadap ucapan berbaur perkauman tidak melarang ulasan dan perkongsian pendapat atau pengalaman mengenai kaum, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (5 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang terhadap ucapan berbaur perkauman tidak larang perbincangan kaum, kata Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Diterbitkan : 05 Jul 2021 10:44PM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 10:49PM

SINGAPURA: Undang-undang Singapura terhadap ucapan berbaur perkauman tidak melarang ulasan dan perkongsian pendapat atau pengalaman mengenai kaum, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Isnin (5 Jul).

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Parlimen oleh Anggota Parlimen Raeesah Khan (WP-Sengkang), yang bertanya bagaimana Pemerintah memastikan undang-undang terhadap ucapan berbaur perkauman tidak menyekat kebebasan melahirkan "ungkapan yang membantah ketidakadilan, rasa tidak puas terhadap keadaan sosial atau tidak bersetuju".

Cik Khan memberi konteks pertanyaannya dengan merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa berhubung Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (CERD), yang ditandatangi Singapura.

Ia mengesyorkan agar langkah-langkah untuk memantau dan mengatasi ucapan berbaur perkauman tidak harus dijadikan alasan untuk mengekang ungkapan tersebut.

"Undang-undang tidak menyekat ucapan mengenai kaum yang tidak menjadi ucapan kebencian, atau ucapan menghina kaum. Ia juga tidak melarang sebarang ulasan dan perkongsian pendapat atau pengalaman mengenai kaum,” kata Encik Shanmugam dalam satu jawapan bertulis.

"Para anggota (Dewan) tahu bahawa isu berkaitan kaum, banyak perbincangan, ulasan, perkongsian pengalaman, dan banyak lagi, berlaku secara berkala."

Bagaimanapun, Encik Shanmugam berkata di bawah Kanun Keseksaan, Pemerintah, mengambil pendekatan tegas terhadap ucapan yang menyinggung perasaan semua kaum untuk memberi perlindungan lebih besar kepada kaum minoriti dan memastikan selamat bagi mereka untuk memberi pandangan dan pengalaman mereka.

Encik Shanmugam juga meminta Cik Raeesah menjelaskan pertanyaannya, dengan mengatakan bahawa adalah tidak jelas sama ada Cik Raeesah membayangkan bahawa "setiap kali seseorang mengaku melakukan bantahan terhadap ketidakadilan, menyatakan rasa tidak puas hati tentang keadaan sosial, atau bercakap menentang sesuatu", maka orang tersebut harus terlepas dari undang-undang terhadap ucapan kebencian dan dibenarkan membuat ucapan berbaur kebencian atau menyinggung perasaan.

Dalam keadaan di mana ucapan yang menyinggung perasaan oleh semua orang diterima atau dibenarkan, dan masyarakat majoriti dan minoriti terlibat dalam ucapan tersebut, Encik Shanmugam berkata boleh dijangkakan bahawa lebih banyak ucapan seperti itu akan ditujukan kepada masyarakat minoriti.

"Dan masyarakat minoriti kemudian akan menjadi sasaran ucapan sedemikian. Ironinya ia akan mengurangkan ruang selamat untuk perbincangan mengenai isu-isu tersebut, dan meningkatkan keprihatinan masyarakat minoriti berhubung keselamatan mereka,” katanya.

Encik Shanmugam berkata ini telah terjadi di negara-negara lain, sambil menambah bahawa Pemerintah perlu berhati-hati terhadap sebarang perubahan yang sejauh ini berjalan dengan "cukup baik" walaupun tidak sempurna di Singapura, dan menggantikannya dengan dasar yang tidak berkesan di tempat lain.

"Undang-undang diletakkan di bawah pemeriksaan rapi di Parlimen, dan pelaksanaan undang-undang dilakukan melalui mahkamah," katanya.

Encik Shanmugam menambah, jawatankuasa CERD berpendapat bahawa perlindungan daripada ucapan kebencian berbaur perkauman tidak menyekat kebebasan bersuara.

Cadangan jawatankuasa itu juga menekankan bahawa undang-undang terhadap diskriminasi kaum "sangat diperlukan" untuk menangani ucapan kebencian secara berkesan, katanya.

"Pandangan jawatankuasa CERD ini sama dengan pendekatan kami," tambah beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan