Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang penahanan penjenayah tanpa perbicaraan dilanjutkan lagi 5 tahun

Undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan ke atas penjenayah yang disyaki, kini dilanjutkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Feb 2018 07:13PM Dikemas Kini : 07 Feb 2018 09:36PM

SINGAPURA: Undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan ke atas penjenayah yang disyaki, kini dilanjutkan.

Ini kali ke-14 Akta Undang-undang Jenayah itu dilanjutkan dan akan berkuatkuasa pada Oktober tahun depan.

Langkah itu diambil selepas perbahasan hangat di parlimen semalam (6 Feb).

Undang-undang tersebut sudahpun memastikan ketenteraman awam di Singapura selama ini sejak ia diperkenalkan lebih 60 tahun dahulu.

Ia digunakan untuk membanteras kegiatan kongsi gelap serta kumpulan-kumpulan jenayah seperti pengedaran dadah dan pinjaman wang haram.

Mula diperkenalkan pada 1995, Akta Undang-undang Jenayah (Peruntukan Sementara) membolehkan penahanan penjenayah yang disyaki tanpa perbicaraan demi keselamatan awam.

Menurut Kementerian Ehwal Dalam (MHA), akta tersebut digunakan "dengan bijak", hanya bagi kes-kes di mana pendakwaan di mahkamah tidak dapat dilakukan.

Akta itu berkuatkuasa selama lima tahun kecuali jika diperbaharui. Menurut pihak polis, akta tersebut berhasil mengawal kegiatan kumpulan kongsi gelap.

Malah, seorang bekas anggota kongsi gelap yang ditemui Mediacorp turut berkongsi bahawa penahanan yang dikenakan ke atasnya, membuka matanya untuk kembali ke jalan yang benar.

Dia berusia 18 tahun ketika ditahan selama empat tahun kerana terlibat dalam kegiatan-kegiatan jenayah seperti merusuh.

Dia kemudian berjaya melanjutkan pelajarannya sehingga ke menara gading.

Menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri, bilangan tahanan Undang-undang Jenayah kian berkurangan dari 329 pada 2009 kepada 109 pada 2016.

Kebanyakan mereka yang ditahan adalah kerana terlibat dalam kegiatan kongsi gelap.

Akta yang dipinda itu kini termasuk senarai kegiatan-kegiatan jenayah yang boleh dikenakan perintah penahanan atau penyeliaan.

Ini termasuk pelibatan dalam kumpulan kongsi gelap, pemerdagangan manusia dan pembunuhan.

Akta yang dipinda itu juga menjelaskan keputusan yang diambil Menteri MHA adalah muktamad.  

Sumber : CNA/MM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan