Images
  • construction site sg
    (Gambar: iStock)

Undang-undang lebih ketat kurang bunyi bising di tapak binaan, pengeluaran gas rumah hijau mulai Oktober 2022

SINGAPURA: Kontraktor yang menjalankan kerja-kerja di tapak binaan berdekatan kawasan perumahan dan hospital pada hari-hari yang mereka tidak sepatutnya berbuat demikian mungkin perlu memasang kamera di tapak kerja mereka.

Langkah itu diumumkan ketika pihak berkuasa berusaha mengetatkan penguatkuasaan peraturan henti kerja, yang melarang kerja-kerja dilakukan di tapak binaan yang terletak 150 meter dari sebarang hospital, rumah tumpangan warga emas atau bangunan kediaman, pada hari Ahad dan cuti umum. Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mungkin meluluskan permit bagi kerja-kerja yang tidak mengeluarkan bunyi bising.

Di bawah pindaan terhadap Akta Perlindungan dan Pengurusan Sekitaran yang diluluskan pada Isnin (13 Sep), pesalah mungkin diminta memasang dan mengendalikan sistem pengawasan video elektronik, termasuk kamera litar tertutup di tapak kerja masing-masing. Kos tersebut harus ditanggung sendiri kontraktor.

Pihak berkuasa boleh menetapkan jenis sistem pengawasan yang diperlukan, jumlah dan tempat alat itu dipasang serta tempoh sistem tersebut harus beroperasi.

Bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan dari jarak jauh, rakaman harus disimpan selama satu tempoh tertentu dan pihak berkuasa harus diberi akses kepada rakaman itu.

Menurut Menteri Negara Kemampanan dan Sekitaran Desmond Tan keperluan itu, hanya menjejas sejumlah kecil tapak binaan yang melanggar peraturan berhenti kerja melibatkan sekitar 150 daripada 5,800 tapak binaan setiap tahun, atau tiga peratus daripada keseluruhan tapak binaan aktif.

Beliau menambah, secara purata kos memasang sistem pengawasan video membentuk sehingga 1 peratus daripada keseluruhan kos projek binaan, dengan satu set CCTV berharga sekitar S$5,000. Berdasarkan saiz projek, sehingga empat set CCTV mungkin diperlukan, kata Encik Tan.

Sejak April 2014 hingga Mac tahun ini, NEA mengagihkan geran sebanyak S$8.3 juta secara keseluruhan untuk memberi insentif kepada kontraktor supaya menggunakan kaedah dan peralatan binaan yang lebih kurang bising.

KURANGKAN PENGELUARAN GAS RUMAH HIJAU

Pindaan juga dibuat terhadap Akta Pengurusan dan Perlindungan Sekitaran bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Mulai Oktober tahun depan, model alat penghawa dingin dan peti sejuk yang menggunakan bahan penyejuk dengan potensi tinggi pemanasan global (GWP), secara beransur-ansur tidak akan lagi digunakan.

Sebagai permulaan, bekalan alat penghawa dingin rumah yang menggunakan bahan penyejuk dengan GWP melebihi 750, dan peti sejuk serta penyejuk komersil yang menggunakan bahan penyejuk dengan GWP melebihi 15 tidak dibenarkan di sini.

Ini kerana produk alternatif mesra alam sudah ada di Singapura, menurut NEA.

- CNA/HA/ha

Top