Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang bagi pastikan barangan elektronik dikitar semula akan diperkenal

Pemerintah akan memperkenalkan undang-undang tidak lama lagi untuk memastikan barangan elektronik diguna dan dikitar semula.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Feb 2018 08:06PM Dikemas Kini : 01 Feb 2018 10:47PM

SINGAPURA: Pemerintah akan memperkenalkan undang-undang tidak lama lagi untuk memastikan barangan elektronik diguna dan dikitar semula.

Ini bermakna para pengilang produk-produk tersebut perlu bertanggungjawab bagi mengurangkan sampah elektronik.

Ini didedahkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli dalam sesi perbincangan dengan pihak-pihak industri serta kumpulan-kumpulan pencinta alam sekitar.

Rakyat Singapura membuang 60,000 tan sampah elektronik setiap tahun dan jumlah ini dijangka meningkat.

Oleh kerana pembuangan sampah elektronik mencemarkan alam sekitar, Pemerintah bercadang mengambil pendekatan "Tanggungjawab Pengeluar yang Diperluas (EPR)".

"Ini bermakna kita perlu ada sasaran bagi pihak pengilang asal supaya mengkaji apa yang boleh mereka lakukan untuk mengitar semula sampah elektronik yang dihasilkan," kata Encik Masagos.

"Tetapkan sasaran, sama ada menerusi satu insentif atau satu sistem cukai, bagi memastikan ini sesuatu yang mereka boleh lakukan dengan berkesan," tambah beliau.

EPR bukan konsep baru. Kemudahan kitar semula disediakan di beberapa negara Eropah dengan hampir 80% barangan elektronik dapat dikitar semula.

Beberapa firma di sini seperti Singtel dan Starhub menyediakan pusat pengumpulan barang-barang lama.

Fuji Xerox pula melaksanakan EPR lebih 20 tahun lalu.

Menurut Encik Masagos lagi, pihak-pihak berkepentingan serta kumpulan pencinta alam mengatakan para pengguna mesti mengubah tabiat gaya hidup mereka, bagi mengurangkan pembaziran.

"Kita mendapati ramai orang membuang barang-barang yang masih boleh digunakan sebab mereka ingin membeli barang yang baru. Barang-barang ini masih boleh digunakan, lebih baik beri barang-barang ini kepada mereka yang memerlukan," kata Cik Sari Atiqa Ramli, ketua projek Sustainable Living Lab.

Pemerintah juga mungkin melibatkan pekerja karung guni supaya mereka belajar mengitar semula sampah elektronik dengan betul. 

Sumber : CNA/MM/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan