Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang bagi kesan, cegah campur tangan anasir asing dalam urusan politik S'pura dibentang di Parlimen

Lebih dua tahun selepas Pemerintah pertama kali mengusulkan undang-undang untuk membanteras kempen pengaruh asing, Rang Undang-Undang yang mengusulkan pindaan untuk melindungi kedaulatan politik Singapura daripada anasir asing dibentangkan di Parlimen pada Isnin (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang bagi kesan, cegah campur tangan anasir asing dalam urusan politik S'pura dibentang di Parlimen

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 03:24PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 03:28PM

SINGAPURA: Lebih dua tahun selepas Pemerintah pertama kali mengusulkan undang-undang untuk membanteras kempen pengaruh asing, Rang Undang-Undang yang mengusulkan pindaan untuk melindungi kedaulatan politik Singapura daripada anasir asing dibentangkan di Parlimen pada Isnin (13 Sep).

Rang Undang-Undang (Langkah Tindak Balas) Campur Tangan Asing atau FICA akan memberikan Pemerintah kuasa yang lebih besar untuk mengesan dan bertindak balas terhadap campur tangan dalam urusan Singapura yang berniat jahat dan dilakukan menerusi wadah online atau melalui proksi seperti ahli politik, pertubuhan dan individu yang "penting dari segi politik".

Undang-undang itu akan "membantu memastikan rakyat Singapura dapat mempertahankan kebebasan untuk membuat pilihan tentang bagaimana kita patut memerintah negara kita dan menjalani kehidupan kita", menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataannya.

Rang Undang-Undang tersebut, yang dibentangkan oleh Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, akan dibahaskan oleh para Anggota Parlimen di sidang Parlimen seterusnya.

Ia dibentangkan lebih dua tahun selepas Encik Edwin Tong, yang ketika itu adalah Menteri Negara Kanan Undang-Undang, berkata pada Februari 2019 bahawa Pemerintah akan menimbangkan undang-udnang baru untuk menangkis campur tangan asing, kerana negara ini "sangat terdedah" kepada percubaan sedemikian yang menghasut kesangsian dan menjejas proses demokrasi.

Sebulan kemudian, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata undang-undang bagi menangani campur tangan asing dalam urusan politik Singapura akan diperkukuhkan dan disemak.

Undang-undang yang diusulkan melibatkan serampang dua mata yang bertujuan untuk melindungi kedaulatan politik Singapura. 

KEMPEN SEBAR MAKLUMAT YANG BERNIAT JAHAT

Cabang pertama adalah memberi Pemerintah kuasa untuk mengesan dan bertindak balas terhadap kempen penyebaran maklumat yang berniat jahat - iaitu operasi yang diselaraskan oleh "anasir asing yang berniat jahat" yang campur tangan dalam politik Singapura dan menimbulkan ketegangan sosial.

Akta yang diusulkan itu akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengeluarkan arahan kepada wadah media sosial, laman web dan khidmat online lain supaya menyiasat dan bertindak balas terhadap campur tangan asing.

Kuasa yang diberikan melalui arahan-arahan itu termasuk menghalang laman atau akaun media sosial yang terlibat dalam kempen berniat jahat seperti itu, menghalang penyebaran aplikasi mudah alih di Singapura, dan melumpuhkan sumber pendanaan bagi kandungan tersebut.

MHA bagaimanapun menegaskan bahawa ia tidak diguna pakai terhadap warga Singapura yang menyuarakan pandangan mereka sendiri mengenai hal-hal politik, kecuali jika mereka adalah ejen bagi anasir asing.

"(Peruntukan ini) juga tidak dilaksanakan terhadap individu asing atau penerbitan asing yang melaporkan atau mengulas ehwal politik Singapura dengan cara yang terbuka, telus dan boleh dikaitkan, bahkan walaupun jika komen mereka mungkin bersifat kritikan terhadap Singapura atau Pemerintah," jelas MHA.

INDIVIDU PENTING DARI SEGI POLITIK

Cabang kedua Rang Undang-Undang tersebut bertujuan untuk bertindak balas terhadap campur tangan asing menerusi proksi di sini, seperti menerusi ahli politik, parti politik, atau "individu (lain) yang penting dari segi politik".

Jika diluluskan, undang-undang baru itu akan mencapai tujuan tersebut dengan memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menentukan individu dan pertubuhan yang mungkin menjadi sasaran operasi pengaruh asing. Ini bermakna mereka akan diarahkan supaya mendedahkan sumber pendanaan mereka dengan kerap dan memberikan maklumat khusus kepada pihak berkuasa untuk mengesan operasi tersebut.

Oleh itu, FICA akan merangkumi Akta Derma Politik sedia ada, yang dijangka akan dimansuhkan. Peruntukannya akan dialihkan ke undang-undang baru yang diusulkan itu, dengan bidang kuasanya diperluaskan untuk melarang sukarelawan atau ahli gabungan asing.

Kuasa di bawah kedua-dua cabang rang undang-undang itu akan diserahkan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri.

ARAHAN HALANG AKSES

Sebagai contoh, menteri itu boleh mengeluarkan arahan untuk menyekat akses kepada kandungan online jika beliau mengesyaki ia dilakukan atas nama pelaku asing sebagai sebahagian daripada kempen berniat jahat dan adalah demi kepentingan awam untuk menyekat kandungan tersebut daripada diterbitkan di Singapura.

Rang Undang-Undang tersebut juga membolehkan rayuan terhadap tindakan Pemerintah menentukan sesetengah individu yang penting dari segi politik serta arahan yang dikeluarkan berdasarkan undang-undang yang diusulkan.

Khususnya, Tribunal Semakan, yang dipengerusikan oleh seorang hakim dari Mahkamah Tinggi dan dua individu lain yang bukan dari Pemerintah, boleh melakukan semakan kehakiman terhadap arahan FICA.

Rayuan seperti itu tidak akan didengar di mahkamah terbuka kerana ia boleh melibatkan maklumat sensitif dengan implikasi terhadap keselamatan negara, jelas MHA.

MENGAPA FICA DIPERLUKAN?

Dalam kenyataannya, MHA menyatakan bahawa Singapura tidak terlepas daripada ancaman campur tangan asing, terutama sekali kerana ia adalah sebuah masyarakat yang terbuka, rencam dan mempunyai hubungan digital yang tinggi.

"Campur tangan asing menimbulkan ancaman serius terhadap kedaulatan politik dan keselamatan negara kita," tegasnya.

"Sepanjang kempen menyerbarkan maklumat berniat jahat, anasir asing yang berniat jahat boleh cuba untuk mengelirukan rakyat Singapura dalam isu politik, menimbulkan perselisihan dan ketidakharmonian dengan membangkitkan isu kontroversial seperti kaum dan agama, atau cuba untuk melemahkan keyakinan dan kepercayaan terhadap institusi-institusi awam."

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan