Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Undang-undang bagi cegah campur tangan asing diluluskan setelah lama berdebat mengenai bidang kuasanya

Para AP juga berbahas mengenai bidang kuasa luas yang diberikan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri melalui Undang-Undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (FICA).

Anggaran Waktu Membaca:
Undang-undang bagi cegah campur tangan asing diluluskan setelah lama berdebat mengenai bidang kuasanya

Dewan Parlimen pada 4 Okt 2021. (Petikan skrin: CNA)

Diterbitkan : 05 Oct 2021 09:21AM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 09:30AM

SINGAPURA: Para Anggota Parlimen (AP) mengajukan pertanyaan mengenai apa jenis komunikasi melalui alat elektronik yang akan dianggap maklumat sulit dan sama ada pertubuhan-pertubuhan, terutama yang bukan untuk meraih keuntungan, boleh menerima dana daripada penderma asing.

Mereka juga berbahas mengenai bidang kuasa luas yang diberikan kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri melalui Undang-Undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (FICA).

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai mengkritik Pemerintah kerana tergesa-gesa meluluskan undang-undang tersebut tanpa mengadakan rundingan meluas dengan orang ramai. Beliau membentangkan petisyen pada awal sesi sidang Parlimen pada Isnin (4 Okt) untuk mengusulkan Rang Undang-Undang itu dibahaskan pada hari lain.

Petisyen itu bagaimanapun tidak berjaya menunda perbahasan, dengan Timbalan Ketua Dewan Zaqy Mohamad mengusulkan petisyen dan rang tersebut dibahaskan secara serentak. Ia akhirnya diluluskan hampir 11 jam kemudian, dengan beberapa pindaan yang diusulkan oleh Parti Pekerja (WP) turut disertakan.

Sebelum pengundian terakhir, Encik Leong sekali lagi cuba untuk menangguhkan Rang Undang-Undang tersebut daripada diluluskan dengan meminta Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin untuk merujukkannya kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan jika beliau berpendapat perundangan itu adalah Rang Undang-Undang hibrid, yang secara prasangka mempengaruhi hak dan kepentingan individu.

Encik Tan bagaimanapun berkata bahawa Undang-Undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (FICA) berkuat kuasa terhadap orang ramai dan bukan setakat untuk seseorang individu dan oleh itu, ia bukan satu rang undang-undang hibrid. Maka itu, beliau tidak boleh merujukkannya kepada Jawatankuasa Pilihan.

Empat penyandang jawatan politik dan 16 AP dari kedua-dua belah Dewan berucap semasa rang tersebut dibahaskan, berakhir dengan Ketua Pembangkang Pritam Singh meminta waktu rehat apabila tiba masanya untuk mengundi selepas 11.00 malam.

Loceng dibunyikan sebanyak dua kali, pada bacaan kedua dan ketiga. Semasa waktu rehat itu, undi setiap AP dikumpul dan dihitung untuk menentukan sama ada usul tersebut mendapat sokongan majoriti mudah daripada para AP yang hadir untuk mengundi.

Undian yang diberikan sama bagi kedua-dua sesi, dengan 75 AP menyokong, 11 AP menolak, dan dua Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Tan Yia Swam dan Shahira Abdullah tidak mengundi.

Kesemua 10 AP WP dan Encik Leong dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) menolak Rang Undang-Undang itu.

16 AP tidak hadir di sesi mengundi tersebut.

Encik Louis Ng, AP GRC Nee Soon, dan AP GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim membangkitkan isu mengenai apa yang disifatkan sebagai maklumat 'sulit' atau 'rahsia'.

Kegiatan online atau operasi sulit di mana ejen asing cuba masuk campur dalam urusan politik Singapura akan dianggap sebagai kesalahan di bawah undang-undang baru itu.

Dr Shahira dan Dr Tan, kedua-duanya NMP, turut mengemukakan pendapat tentang bagaimana Menteri Ehwal Dalam Negeri memiliki bidang kuasa yang cukup luas, sehinggakan beliau boleh mengeluarkan arahan sekalipun hanya berdasarkan kecurigaan seseorang atau sesuatu entiti bertindak bagi pihak ejen asing.

“Bidang kuasa ini sangat luas bagi seseorang individu. Bagaimana boleh kita melindunginya daripada salah guna pada masa akan datang?" tanya Dr Tan. 

Dr Tan dan Encik Ng juga bertanya bagaimana pertubuhan-pertubuhan yang kadangkala bergantung kepada dana asing akan terjejas oleh undang-undang baru itu.

Menurut AP Bukit Panjang Liang Eng Hwa, sesetengah orang mungkin berpendapat undang-undang baru itu akan menjadikan Singapura seolah-olah kurang mesra terhadap orang luar, dengan Dr Shahira turut menyokong pandangan tersebut.

Mengambil kira perbahasan parlimen baru-baru ini mengenai tenaga kerja asing dan perjanjian perdagangan bebas Singapura-India, yang dikenali sebagai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh India-Singapura (CECA), Dr Shahira berkata undang-undang baru ini berpotensi bersifat diskriminasi.

"Ia juga boleh membawa kesan yang tidak disengajakan terhadap nama baik Singapura sebagai sebuah hab perdagangan dan pelaburan," katanya.

JAWAPAN MENTERI SHANMUGAM

Menjawab keprihatinan yang dibangkitkan oleh para AP, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam sekali lagi cuba meredakan kebimbangan ini dan menegaskan bahawa rakyat Singapura boleh membincangkan dasar-dasar pemerintah atau hal-hal politik, termasuk dengan individu atau pertubuhan asing, "selagi ia dilakukan secara terbuka dan telus dan bukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memanipulasi wacana politik kita atau menjejaskan kepentingan awam”.

Beliau turut menekankan bahawa undang-undang itu bukan bertujuan untuk menyekat orang ramai daripada menyuarakan pandangan mereka sendiri mengenai politik tempatan.

Mengenai bagaimana Pemerintah akan menentukan apa yang dianggap sebagai tingkah laku sulit, beliau mengatakan bahawa pihaknya akan melihat pada petanda seperti percubaan untuk menyembunyikan jejak seseorang atau mengaburi identiti seseorang.

Menjawab pertanyaan berkaitan dengan tribunal yang akan menyemak rayuan terhadap arahan yang dikeluarkan berdasarkan undang-undang baru itu, Encik Shanmugam berkata bahawa anggota tribunal akan dipilih berdasarkan bidang kepakaran mereka, dan mereka perlu menjalani pemeriksaan keselamatan memandangkan mereka akan menerima maklumat rahsia.

Para anggota tribunal itu akan diberi perlindungan dan hak istimewa yang sama seperti hakim Mahkamah Tinggi dan mereka juga mesti melindungi kerahsiaan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan