Images
  • Mufti Khutbah Main
    Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram semasa menyampaikan Khutbah Aidiladha. (Gambar-Gambar: Taufiq Zalizan/BERITAmediacorp) 

Umat Islam S’pura digesa bina daya tahan keimanan; Mufti ajak masyarakat terus tingkatkan diri

SINGAPURA: Umat Islam di Singapura diseru supaya membina daya tahan keimanan mereka.

Ini kerana keimanan adalah pemangkin dan pencetus, sama ada bagi mengharungi sebarang kesulitan dan cabaran dalam kehidupan mahupun demi mencapai kejayaan.

Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram menyeru demikian semasa menyampaikan Khutbah Aidiladha bertajuk, "Daya Tahan Keimanan Pemangkin Kejayaan Dunia Dan Akhirat".

Dalam khutbahnya itu, Dr Fatris menarik perhatian bahawa daya tahan keimanan bukan setakat dicerminkan melalui bentuk amalan tertentu ataupun bergantung kepada harapan dan doa semata-mata.

Sebaliknya menurut beliau, ia melahirkan sikap pengorbanan dan disiplin di dalam diri seseorang agar dapat sentiasa mencari huraian serta mengukir kejayaan dalam kehidupan mereka.

UJIAN DIJADIKAN PELUANG

Daya tahan keimanan mempunyai tiga ciri utama, kata Mufti.

Yang pertama, ujian dijadikan peluang untuk umat Islam menjadi seorang insan dan mukmin yang lebih baik.

Ia bukan sahaja dianggap sebagai peluang untuk masyarakat melatihkan diri bagi mencari huraian yang kreatif, malah ia juga memberi mereka peluang untuk menggilap potensi yang sebenarnya ada pada diri mereka sendiri.


Mufti menekankan bahawa ujian boleh melahirkan kebaikan sekiranya seseorang itu bersikap positif dan mempunyai daya tahan yang kuat. Sebagai contoh, Mufti merujuk kepada golongan yang berniaga kecil-kecilan demi mencari rezeki selepas diberhentikan kerja.

"Kerana didorong semangat ingin maju, mereka mencari jalan kreatif untuk melariskan barangan atau khidmatnya sehinggalah akhirnya, perniagaannya mula berhasil.

"Cuba kita renungkan, walaupun pembuangan kerja biasanya adalah satu musibah, namun ada yang dapat meraih kebaikan dan membangun potensi diri," katanya.

BERIKAN YANG TERBAIK DALAM KEHIDUPAN

Ciri kedua adalah "orang yang beriman akan selalu memberikan yang terbaik dalam apa jua bidang kehidupan". Ini tidak kira sama ada dalam bidang pelajaran, pekerjaan, kehidupan berkeluarga mahupun sebagai jiran tetangga.


Dalam khutbahnya, Dr Fatris menasihatkan masyarakat supaya menjadi kukuh dan cemerlang dalam semua sudut kehidupan seperti kerohanian, ekonomi, sosial dan intelektual.

Beliau menekankan bahawa adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk terus mempertingkatkan diri.

"Jangan pernah merasa selesa mahupun cukup dengan kemahiran dan ilmu yang ada. Peningkatan ini ke arah kebaikan adalah ibadah. Ia adalah usaha suci.

"Tanamkan azam bahawa dengan kemahiran yang baru bukan sahaja saya akan memanfaatkan diri tetapi keluarga dan masyarakat," katanya.

MUHASABAH DAN RENUNGKAN; JANGAN TERIMA BULAT-BULAT

Menurut Dr Fatris, ciri ketiga adalah orang yang beriman adalah mereka yang sering bermuhasabah dan berfikir dan tidak hanya menerima sesuatu tanpa penilaian.

Ia juga bermakna ‘menyibukkan diri’ dengan perkara-perkara yang bermanfaat, yang membawa kebaikan dan kesejahteraan dan menjaga kebajikan diri dan masyarakat.

Mufti dalam khutbahnya turut menarik perhatian bahawa jika daya tahan seseorang itu lemah, maka lebih mudah mereka akan dipengaruhi dengan mesej-mesej yang mengelirukan, menyeleweng dan meracuni fikiran ke arah kebencian dan kemusnahan.

"Hampir setiap kita memiliki alat yang menyampaikan jutaan maklumat - alat yang begitu hebat kuasanya dan begitu mudah digunakan, tetapi boleh memusnahkan umat dan masyarakat jika dimiliki oleh jiwa yang lemah daya tahannya. Jiwa yang mudah termakan dengan diayah serta agenda pihak-pihak yang ingin perpecahan dan kemusnahan."

Maka itu, Dr Fatris menasihatkan umat Islam supaya sentiasa bersikap kritikal, lebih-lebih lagi dalam zaman media sosial.


Mengakhiri khutbahnya, Mufti menggesa umat Islam supaya meneruskan segala usaha yang baik dan memperbaiki segala kekurangan pada diri sendiri.

Turut mengerjakan solat Aidiladha di Masjid Ar-Raudhah adalah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS Mohd Fahmi Aliman.

Dalam pada itu, Presiden Singapura Halimah Yacob dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee menunaikan solat Aidiladha di Masjid Jamae Chulia bersama dengan Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad, serta Presiden MUIS Haji Mohd Alami Musa dan Ketua Eksekutif MUIS Esa Masood.

- BERITAmediacorp/ai

Top