Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Umar Zakaria dinobatkan Artis Jaz Terbaik New Zealand 2018

“Setiap individu mempunyai gaya, emosi dan corak minda yang berlainan. Malangnya, hal sedemikian seakan-akan tidak penting atau tidak wujud apabila terlalu ‘taksub’ untuk memenuhi segala tuntutan atau harapan orang lain. 

Anggaran Waktu Membaca:
Umar Zakaria dinobatkan Artis Jaz Terbaik New Zealand 2018

Umar Zakaria. (Gambar: Alexandra James)

BERITAmediacorp: Pemuzik Jaz kelahiran Singapura, Umar Zakaria, baru-baru ini dinobatkan sebagai Artis Jaz Terbaik 2018 di New Zealand.

Bekas murid Sekolah Rendah Queenstown itu yang merupakan seorang pemain dabal bes, mendapat pengiktirafan berprestij apabila dianugerahkan sebagai Artis Jaz Terbaik Tui Recorded Music NZ 2018 sempena Perayaan Jaz Wellington (Wellington Jazz Festival) pada Jun lalu.

Album ‘Fearless Music’ yang dicipta oleh anak watan Singapura itu berjaya menewaskan para pemuzik Jaz berwibawa yang lain di New Zealand. Lebih manis lagi, daripada 10 buah lagu dalam album jaz tersebut, lima daripadanya ada unsur Melayu seperti Masri dan Zapin.

Dalam laporan Scoop Culture di New Zealand, Ketua Pegawai Eksekutif Recorded Music NZ, Encik Damian Vaughan menyatakan bahawa Fearless Music adalah satu album luar biasa.

Umar (tengah) bersama Encik Damian Vaughan, CEO Recorded Music New Zealand (kiri) dan Cik Shelagh Magadza, pengarah Perayaan Jaz Wellington (kanan). 

Lantas kemenangan Umar tambah beliau selaku Artis Jaz Terbaik adalah sangat layak diterimanya.

Malah, beliau berjaya menewaskan pensyarah universiti beliau, Profesor Madya Paul Dyne yang juga merupakan antara peserta akhir (finalist) bagi kategori tersebut.

KONSERT TRIO UMAR DI S’PURA

Jika anda mahu mengenali lebih dekat komposer jaz Melayu yang kini warga New Zealand itu, jejaka berusia 25 tahun itu kini berada di Singapura. Malah beliau bakal mengadakan satu konsert 90 minit di Singapura pada esok, Ahad, 19 Ogos.

Diberi nama ‘Umar Zakaria Trio Feat. Syafiqah Adha & Riduan Zalani’, konsert tersebut akan berlangsung di Aliwal Arts Centre dari jam 8.00 malam hingga 9.30 malam.

Antara lagu yang akan mereka mempersembahkan adalah lagu-lagu Melayu tradisional seperti Joget Jambu Merah, Jong Jong Inai dan Ayam Didik.

Umar memaklumkan kepada BERITAMediacorp bahawa enam lagu yang diciptanya sendiri dan lagu berjudul ‘Ombak’ oleh Syafiqah Adha turut akan didendangkan kepada para penonton. Dalam pada itu, Syafiqah Adha akan bermain accordion dan pakar gendang, Riduan Zalani, pula akan bermain rebana.

Sesi latihan bersama Syafiqah Adha dan Riduan Zalani.

Menurut Umar, niatnya mengadakan konsert tersebut adalah supaya dapat mendampingi dan mengenali lebih ramai masyarakat Melayu Singapura, sekaligus ia adalah peluang untuknya menimba ilmu daripada para pemuzik Melayu yang berbakat di Singapura.

Secara amnya, beliau ingin memupuk rasa kecintaan terhadap muzik tradisional di dalam sanubari ramai, terutamanya generasi muda.

Anda yang berminat boleh dapatkan tiket ‘Umar Zakaria Trio Feat. Syafiqah Adha & Riduan Zalani’ secara langsung di pintu masuk, pada hari konsert tersebut.

Tiket dijual pada harga $20 sahaja.

Malahan bulan lalu, beliau sudahpun membuat persembahan di Singapura, iaitu beraksi dalam konsert di Esplanade dipanggil Aya Sekine & The Jazz Party.

KALAHKAN GURU MUZIK SENDIRI

Apabila BERITAMediacorp bertanya Umar mengenai perasaannya dinobatkan sebagai Artis Jaz Terbaik New Zealand 2018, malah berjaya mengalahkan pensyarahnya yang mempunyai pengalaman lebih 35 tahun dalam pendidikan Jaz, beliau menjawab bahawa ia sesuatu perasaan yang sukar diungkapkan.

“Sebenarnya, saya cukup bersyukur apabila album saya dicalonkan dalam kategori tersebut dan langsung tidak menjangkakan yang saya mempunyai peluang untuk muncul juara kerana peserta-peserta lain adalah para pemuzik berwibawa dan cukup hebat.

“Justeru, anugerah tersebut adalah pengiktirafan yang paling manis dan bermakna, lebih-lebih lagi kerana saya pernah acap kali diberitahu saya belum cukup bagus dan menghadapi banyak kegagalan untuk mendapatkan biasiswa-biasiswa yang tertentu,” cerita Umar kepada BERITAmediacorp sambil tersenyum.

MESEJ DISEBALIK ‘FEARLESS MUSIC’

‘Fearless Music’, album sulung Umar yang mencatat sejarah baginya itu dirakam bersama para pemuzik Jaz terbaik New Zealand. Antaranya seperti pemain saksofon, Roger Manins, pemain piano, Leonardo Coghini dan pemain dram, Luther Hunt.

Umar mendedahkan kepada pihak kami bahawa salah satu daripada 10 lagu dalam album tersebut dikarang semasa beliau masih menuntut di New Zealand School of Music pada tahun 2012. Menurutnya, beliau tidak mengarang kesemua lagu serentak dan mengambil masa empat tahun untuk menyelesaikannya.

Umar turut mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa album sulungnya itu bukan saja istimewa kerana merupakan album pertamanya tetapi, kerana ia adalah luahan isi hatinya.

Umar berkongsi bahawa beliau sebelum ini banyak memohon untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang muzik, tetapi menghadapi kegagalan. Malah, beliau juga menyertai uji bakat untuk ke beberapa institusi berpristij seperti Juilliard, Manhattan School of Music dan Eastman School of Music, malangnya gagal juga.

Meskipun begitu, Umar berkata semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya malah sebaliknya, membakar azamnya.

BERMUZIK DENGAN PENUH KEIKHLASAN

Menurut Umar, seorang siswazah muzik yang pada 2016 menggenggam ijazah Sarjana dalam muzik Jaz dari institusi berprestij New England Conservatory di Boston, Amerika Syarikat, niatnya di sebalik mengeluarkan album tersebut adalah untuk menggalak orang supaya bermain muzik dengan penuh keihklasan dan berani bermain dengan cara tersendiri.

(Gambar: Stephen A'Court)

Selain itu, beliau mengharapkan album tersebut boleh dijadikan contoh kepada orang ramai di luar, terutamanya generasi muda supaya tidak membenarkan tanggapan luaran mempengaruhi keputusan mereka untuk melakukan sesuatu.

“Setiap individu mempunyai gaya, emosi dan corak minda yang berlainan. Malangnya, hal sedemikian seakan-akan tidak penting atau tidak wujud apabila terlalu ‘taksub’ untuk memenuhi segala tuntutan atau harapan orang lain.

“Adalah penting untuk kita mempunyai keyakinan dan jujur terhadap diri sendiri. Dengan itu, barulah kita dapat benar-benar menonjolkan kebolehan dan bakat kita sebenar. Yang penting, jangan putus asa,” ujar Umar kepada BERITAmediacorp. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan