Images
  • 846 848 sims avenue hdb block near geylang serai market
    (Petikan skrin: Google Maps)

Ujian wajib COVID-19 bagi penduduk 4 blok HDB dekat Pasar Geylang Serai

SINGAPURA: Semua penduduk di empat blok HDB berdekatan Pasar Geylang Serai perlu menjalani ujian wajib COVID-19 setelah fragmen virus tersebut dikesan pada sampel air sisa yang dikumpulkan daripada blok-blok tersebut, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Khamis (22 Jul).

MOH sedang menyiasat "kemungkinan berlaku penularan COVID-19" di Blk 842, 844, 846 dan 848 Sims Avenue, menurut kementerian itu sambil menegaskan bahawa ujian wajib itu perlu dilakukan "untuk dengan segera mengesan sebarang kes jangkitan dalam masyarakat".

Selain penduduk, pemilik dan kakitangan unit-unit komersil di keempat-empat blok tersebut juga perlu menjalani ujian wajib itu, menurut kenyataan media MOH.

Ujian tersebut bagaimanapun tidak diwajibkan bagi mereka yang diuji negatif sejak 17 Julai.

"Sekiranya terdapat kes positif COVID-19, MOH akan mengasingkan kes tersebut, mengenal pasti semua kontak rapat, menguji dan mengenakan kuarantin ke atas mereka demi melindungi masyarakat daripada penularan lanjut," jelas MOH.

Ujian akan dijalankan di kawasan astaka 3 Geylang Serai pada Khamis dan Jumaat, dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Para pengunjung dan mereka yang pernah berinteraksi dengan penduduk di keempat-empat blok itu antara 6 Jul dengan 20 Jul digalakkan supaya tampil untuk menjalani ujian tersebut secara sukarela. Ini boleh dilakukan dengan janji temu hanya di kawasan astaka Geylang Serai pada Khamis atau Jumaat, atau di pusat ujian daerah yang dikhususkan antara Khamis hingga Sabtu.

Menurut kementerian itu, ujian wajib itu diumumkan setelah fragmen COVID-19 dikesan pada sampel air sisa yang dikumpulkan daripada keempat-empat blok tersebut.

"Siasatan epidemiologi sedang dijalankan untuk menentukan hubung kait dan sumber penularannya," menurut MOH.

MOH sebelum ini menyatakan pihaknya sedang menyiasat kes COVID-19 yang melibatkan pasar dan pusat penjaja yang berkemungkinan "merebak" disebabkan oleh para penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong untuk mengambil bekalan mereka.

Kes COVID-19 dikesan di sekurang-kurangnya 35 pasar dan pusat penjaja, termasuk Pasar Geylang Serai.

- CNA/TQ/tq

Top