Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian wajib COVID-19 bagi penduduk 2 blok di Ang Mo Kio, Clementi setelah 20 kes dikesan

Para penduduk dua blok HDB di Ang Mo Kio dan Clementi perlu menjalani ujian COVID-19 setelah 20 kes dikesan di sana, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) malam ini (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian wajib COVID-19 bagi penduduk 2 blok di Ang Mo Kio, Clementi setelah 20 kes dikesan

(Gambar: Google Street View)

Diterbitkan : 24 Jul 2021 10:28PM Dikemas Kini : 24 Jul 2021 10:29PM

SINGAPURA: Para penduduk dua blok HDB di Ang Mo Kio dan Clementi perlu menjalani ujian COVID-19 setelah 20 kes dikesan di sana, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) malam ini (24 Jul).

Lapan kes dikesan di empat rumah di Blok 456 Ang Mo Kio Avenue 10, manakala 12 kes dikesan di empat lagi rumah di Blok 340 Clementi Avenue 5.

Kebanyakan kes itu berhubung kait kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong, menurut MOH, sambil menambah bahawa siasatan epidemiologi masih dijalankan.

Bagi mengesan jangkitan dalam masyarakat, MOH akan menjalankan ujian wajib COVID-19 ke atas semua penduduk kedua-dua blok itu serta pemilik dan kakitangan unit-unit komersil di Blok 456 Ang Mo Kio Avenue 10.

"Ujian tidak diwajibkan ke atas mereka yang sudah diuji negatif bagi COVID-19 mulai 20 Julai," menurut MOH.

Bagi mereka yang tinggal atau bekerja di Blok 456 Ang Mo Kio Avenue 10, ujian akan dilaksanakan di astaka Blok 460A Ang Mo Kio Avenue 10 pada 25 dan 26 Julai antara pukul 9.00 pagi dengan 4.00 petang.

Bagi para penduduk Blok 340 Clementi Avenue 5, ujian akan dijalankan di kolong blok pada 25 Julai, pukul 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Para penduduk perlu membawa kad pengenalan untuk pengesahan, menurut MOH. Risalah-risalah juga sudah diedarkan dan makluman menerusi kiriman SMS dihantar untuk memberi lebih maklumat kepada para penduduk.

MOH menggesa para penduduk supaya menepati waktu janji temu dan memantau kesihatan mereka dengan teliti serta berjumpa doktor jika mereka kurang sihat.

MOH juga akan menjalankan ujian COVID-19 secara sukarela bagi mereka yang mengunjungi kedua-dua blok berkenaan antara 9 dengan 23 Julai serta mereka yang bergaul dengan para penduduk berkenaan sepanjang tempoh itu.

Mereka yang mengunjungi blok Ang Mo Kio itu boleh menjalani ujian di pusat pemeriksaan khas daerah dari 25 hingga 27 Julai serta astaka di Blok 460A Ang Mo Kio Avenue 10 pada 26 dan 27 Julai antara pukul 9.00 pagi dengan 4.00 petang.

Mereka yang mengunjungi blok Clementi itu juga boleh menjalani ujian di pusat-pusat pemeriksaan khas daerah pada 25 dan 26 Julai.

Ujian akan dilaksanakan hanya menerusi janji temu, menurut MOH.

"Kami menggalakkan para individu itu untuk tampil ke hadapan untuk mengambil ujan," menurut MOH.

"Mereka yang sedang menanti keputusan ujian dinasihati supaya mengurangkan pergaulan sosial sejauh mungkin," ia menyatakan.

"Mereka juga perlu terus memantau kesihatan mereka dan mendapatkan rawatan perubatan segera jika mereka berasa kurang sihat."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan