Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian wajib COVID-19 bagi 38 penghuni dormitori NTU setelah sisa virus ditemui pada sampel air kumbahan

Semua 38 mahasiswa yang tinggal di sebuah blok dormitori di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) perlu menjalani ujian wajib COVID-19 pada Isnin (23 Ogos) selepas sisa virus ditemui dalam sampel air kumbahan yang dikumpul di blok itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian wajib COVID-19 bagi 38 penghuni dormitori NTU setelah sisa virus ditemui pada sampel air kumbahan

(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 23 Aug 2021 10:45PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 10:47PM

SINGAPURA: Semua 38 mahasiswa yang tinggal di sebuah blok dormitori di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) perlu menjalani ujian wajib COVID-19 pada Isnin (23 Ogos) selepas sisa virus ditemui dalam sampel air kumbahan yang dikumpul di blok itu.

Mereka juga perlu menjalani pengasingan diri sama ada di bilik dormitori masing-masing atau di alamat kediaman di Singapura, dan mengurangkan kontak dengan orang lain.

Dalam surat pekeliling kepada pelajar NTU pada Isnin, NTU menyatakan semua penghuni yang mendaftar masuk ke Blok 61 di Dewan 13 perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum pukul 7.00 malam tadi. Mediacorp mengesahkan bahawa pekeliling itu adalah tulen.

Sebuah stesen ujian swab dibangunkan di sebuah dewan serbaguna bersebelahan Blok 61 bagi memudahkan operasi ujian pantas antigen, yang dibuka antara pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam, menurut NTU.

Mahasiswa yang terjejas tidak perlu membuat janji temu untuk menjalani ujian. Mereka hanya perlu membawa kad pelajar NTU dan kad pengenalan diri ke tempat ujian swab itu.

NTU menyatakan bahawa kesemua mahasiswa yang terjejas akan diberikan sokongan sewajarnya menerusi sekolah masing-masing.

Pelajar dan kakitangan yang tidak menetap di blok yang terjejas harus mengelakkan daripada mengunjungi atau memasuki premis tersebut, menurut NTU.

Mereka juga harus memantau kesihatan masing-masing dan segera mendapatkan rawatan perubatan jika tidak berasa sihat, dan hindari daripada datang ke kampus sehingga mereka sudah sembuh.

Semua mahasiswa dan kakitangan NTU juga harus mematuhi langkah pengurusan selamat sedia ada NTU, menurut universiti itu.

Ini termasuk memakai pelitup pada setiap masa, mematuhi jarak selamat dan menggunakan aplikasi TraceTogether atau token bagi pendaftaran masuk dan keluar SafeEntry.

"Jangan kongsi maklumat tidak disahkan dengan orang lain kerana ini akan menimbulkan keadaan cemas yang tidak diingini," menurut NTU.

"Keutamaan universiti ialah keselamatan dan kesihatan mahasiswa serta kakitangan kami," tambahnya.

Kementerian Pendidikan dan NTU enggan memberi komen apabila dihubungi.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan