Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ujian COVID-19 ditawarkan kepada lebih 45,000 penjaja, pekerja pembersihan & penghantaran makanan

Pemerintah akan menawarkan ujian COVID-19 sekali saja kepada lebih 45,000 pekerja yang bertugas di 110 pasar dan pusat penjaja dan lebih 1,120 kedai kopi, serta kakitangan penghantaran makanan yang beroperasi di sekitar tempat-tempat makan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ujian COVID-19 ditawarkan kepada lebih 45,000 penjaja, pekerja pembersihan & penghantaran makanan

Gambar fail sebuah pusat penjaja (Gambar: Rachel Phua)

Diterbitkan : 16 Oct 2020 12:10AM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 12:14AM

SINGAPURA: Pemerintah akan menawarkan ujian COVID-19 sekali saja kepada lebih 45,000 pekerja yang bertugas di 110 pasar dan pusat penjaja dan lebih 1,120 kedai kopi, serta kakitangan penghantaran makanan yang beroperasi di sekitar tempat-tempat makan ini.

Ujian bermula pada Khamis (15 Okt) di GRC Ang Mo Kio, SMC Kebun Baru dan Yio Chu Kang, yang melibatkan lebih 2,200 orang yang bekerja di dan sekitar 11 pusat penjaja dan pasar, serta 82 kedai kopi.

Ia akan "diperluaskan secara bertahap-tahap ke pelbagai kawasan merata Singapura", menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Enterprise Singapore (ESG).

Perincian ujian itu diumumkan oleh agensi-agensi tersebut dalam satu kenyataan bersama pada Khamis.

Pada Ogos, Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pihaknya merancang untuk menawarkan ujian COVID-19 kepada kumpulan-kumpulan masyarakat seperti pemandu teksi, pekerja penghantaran makanan, dan juga pegerai di pusat penjaja, pasar dan kedai kopi, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperluaskan rejim ujian COVID-19.

"Ujian-ujian ini akan ditawarkan kepada kumpulan-kumpulan ini untuk memberikan gambaran yang lebih baik mengenai kelaziman jangkitan dalam kalangan penduduk dan memudahkan pencegahan awal kes-kes tersembunyi dalam masyarakat," menurut kenyataan awal kementerian tersebut sebelum ini.

Pada Khamis, NEA, SFA dan ESG menyatakan bahawa ujian sudah diperluaskan untuk merangkumi lebih ramai pekerja dan juga kakitangan penghantaran makanan "disebabkan oleh kekerapan interaksi mereka dengan orang ramai".

UJIAN PERINTIS DI MARINE PARADE

Agensi-agensi itu menambah bahawa pelaksanaan ujian yang lebih meluas itu dijalankan menyusuli "kejayaan ujian perintis" ujian COVID-19 yang dilancarkan di Marine Parade.

Dari 19 hingga 20 Sep, ujian swab COVID-19 secara sukarela dijalankan ke atas mereka yang bekerja di tiga pusat penjaja dan pasar dan tujuh kedai kopi di Marine Parade, serta kakitangan penghantaran makanan yang beroperasi di kawasan itu, menurut agensi-agensi tersebut.

"Lebih 750 pemilik gerai, pembantu gerai, pekerja pembersihan dan kakitangan penghantaran makanan menjalani ujian tersebut. Tiada kes positif COVID-19 yang dikesan," tambah agensi-agensi itu.

UJIAN LEBIH MELUAS

Ujian yang lebih meluas akan dijalankan di lebih banyak kawasan dari Khamis hingga Jumaat di 11 pusat pemeriksaan berhampiran pusat penjaja dan pasar:

(Sumber: NEA)

(Sumber: NEA)

"Di luar bandar Ang Mo Kio, NEA sedang berbincang dengan majlis-majlis bandaran, serta persatuan penjaja dan persatuan peniaga di pusat penjaja dan pasar di kawasan lain Singapura untuk mengenal pasti lokasi, tarikh dan masa yang sesuai untuk menjalankan operasi ujian," menurut agensi-agensi berkenaan.

Ketiga-tiga agensi itu menambah: "Rancangan seterusnya adalah untuk meliputi baki pusat penjaja dan pasar, serta lebih daripada 1,120 kedai kopi, sebelum hujung tahun ini."

"Walaupun penyertaan dalam ujian ini adalah secara sukarela, kumpulan masyarakat yang dikenal pasti sangat digalakkan supaya tampil menjalani ujian untuk melindungi diri mereka sendiri dan orang tersayang dengan lebih baik lagi," tambah NEA, SFA dan ESG.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan