Images
  • ART quick test centre
    Orang ramai di pusat ujian pantas lakukan ujian ART COVID-19 sambil diawasi. (Gambar: Reuters/Edgar Su)

Ujian ART diselia ditawarkan di 25 pusat ujian bermula esok

SINGAPURA: Orang ramai akan dapat menjalankan ujian pantas antigen (ART) COVID-19 di bawah penyeliaan di mana-mana 25 pusat ujian pantas di merata negara mulai esok (1 Okt).

Ujian swab itu akan dilakukan secara kendiri dan diselia oleh penyedia ujian COVID-19 yang diluluskan, menurut Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dalam kenyataan media hari ini.

Keputusannya sah selama 24 jam dan boleh digunakan untuk memenuhi syarat ujian, seperti hasil ujian pra-acara.

Mereka yang belum divaksin juga boleh menggunakan keputusan ART untuk menjamu selera di cawangan-cawangan F&B, tambah HPB.

Setiap ujian berharga S$15 dan pembayaran mesti dibuat tanpa tunai atau 'cashless'.

Mereka yang ingin mengunjungi pusat ujian pantas itu dinasihatkan untuk membuat temu janji terlebih dahulu.

HPB menyatakan bahawa ujian ART "dibiaya sendiri" itu akan saling melengkapi ujian kendiri secara berkala.

Mereka yang mempunyai simptom pernafasan akut pula sepatutnya mengunjungi klinik rawatan asas untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dan menjalani ujian pengesahan reaksi rantaian polimerase (PCR).

HPB juga menyatakan bahawa lapan pusat ujian daerah dan tiga pusat ujian pantas khas dibuka bagi tempahan hujung minggu sejak 25 September.

Ini untuk mempermudahkan ujian segera apabila beberapa klinik Swab dan Hantar Pulang (SASH) ditutup pada hujung minggu dan untuk memberi khidmat kepada mereka yang mengalami gejala pernafasan akut dan mahu mendapatkan ujian pengesahan PCR secara percuma.

Tempahan bagi janji temu wajib dilakukan terlebih dahulu sebelum ke pusat-pusat khas itu pada hujung minggu untuk mengelakkan kesesakan.

Pautan untuk membuat tempahan bagi janji temu dibuka setiap minggu bermula Jumaat pukul 6.00 petang hingga Ahad pukul 3.00 petang untuk ujian yang akan dilakukan pada hujung minggu yang sama.

Lokasi pusat ujian pantas

  1. 321 Clementi Avenue 5 (Kolong blok)
  2. Ang Mo Kio Pavilion MPH
  3. Ang Mo Kio Pavilion
  4. Bedok Town Square
  5. Dewan Sukan Bishan (Tempat letak kereta tingkat besmen)
  6. Blok 312 Jurong East Street 32 (Kolong blok)
  7. Dewan Acara HDB Circuit Road
  8. Pavilion HDB Geylang Serai
  9. Hougang Town Centre
  10. Dewan Acara Jurong West
  11. Dewan Sukan Jurong West (Tempat letak kereta tingkat besmen)
  12. Kreta Ayer People’s Theatre
  13. Terminal Bas Little India (Tekka Lane)
  14. Marine Parade Pavilion
  15. Pusat Warisan MOE
  16. Pusat Makanan Old Airport Road, Tingkat 2
  17. Dewan Sukan Pasir Ris (Tempat letak kereta tingkat besmen)
  18. People’s Park Tingkat 4 (Kolong blok)
  19. Punggol Town Square
  20. Redhill Lane
  21. Sims Drive Pavilion
  22. Tampines Central Pavilion
  23. Toa Payoh Pavilion
  24. Pusat Pertukaran Bas Sementara Woodlands
  25. Pusat Pertukaran Bas Yishun  

Lokasi pusat ditetapkan bagi ujian hujung minggu

Pusat ujian daerah ditetapkan

  1. Bekas Sekolah Menengah Bedok North
  2. Bekas Sekolah Menengah Bishan Park
  3. Bekas Sekolah Rendah Coral
  4. Bekas Sekolah Rendah Da Qiao
  5. Bekas Maktab Rendah Innova
  6. Bekas Maktab Rendah Serangoon
  7. Bekas Sekolah Menengah Shuqun
  8. Bekas Pusat Pertukaran Bas Sementara Yishun

Pusat ujian pantas ditetapkan

  1. Bedok Town Square
  2. Dewan Sukan Bishan (Tempat letak kereta tingkat besmen)
  3. Pusat Warisan MOE 

- CNA/TQ/tq

Top