Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ucapan anti-etnik dan anti-agama tidak ada tempat dalam institusi pendidikan S'pura: Dr Maliki

Seorang pensyarah Politeknik Ngee Ann (NP) yang baru-baru ini dipaparkan dalam video tular kerana bersemuka dengan pasangan kekasih berlainan kaum, dikatakan pernah berkongsi pandangan yang menghina Islam di dalam kelasnya pada 2017, menurut seorang anggota alumnus sekolah itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ucapan anti-etnik dan anti-agama tidak ada tempat dalam institusi pendidikan S'pura: Dr Maliki

(Gambar: Ngee Ann Polytechnic dan Dave Ash Park/Facebook)

SINGAPURA: Seorang pensyarah Politeknik Ngee Ann (NP) yang baru-baru ini dipaparkan dalam video tular kerana bersemuka dengan pasangan kekasih berlainan kaum, dikatakan pernah berkongsi pandangan yang menghina Islam di dalam kelasnya pada 2017, menurut seorang anggota alumnus sekolah itu.

Kenyataan yang "mengejutkan dan mengecewakan" itu dikongsi Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman di Facebook pada Khamis malam (10 Jun), sambil menekankan bahawa sebarang komen anti-agama atau anti-etnik tidak boleh diterima sama sekali dalam institusi pendidikan Singapura, lebih-lebih lagi daripada seorang pendidik.

Pensyarah tersebut, dikenal pasti baru-baru ini sebagai Encik Tan Boon Lee, seorang pensyarah kanan Sekolah Kejuruteraan di NP.

Identiti lelaki itu disahkan politeknik tersebut yang turut memberitahu Mediacorp bahawa pihaknya telah menggantung tugas mengajarnya sedang insiden video tular itu disiasat.

Menyusuli pengumuman yang pensyarah itu digantung tugasnya, pada Rabu, seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas pelajar NP menulis di Instagram untuk menceritakan pengalaman buruk yang dilaluinya semasa satu kelas Encik Tan pada 2017.

Wanita tersebut, Cik Nurul Fatimah Iskandar, menceritakan bagaimana pensyarah itu mula berkongsi pandangannya tentang agama Islam di dalam kelas dan meminta pelajar tersebut, yang merupakan satu-satunya pelajar Islam di dalam kelas tersebut, untuk menjawab pandangannya.

"Saya tergamam mendengar kenyataan-kenyataannya yang melulu. Saya baru berusia 17 tahun, baru melangkah keluar dari madrasah untuk memasuki sekitaran sekular baru," kata Cik Nurul Fatimah dalam catatannya yang meraih hampir 26,000 tanda 'Like' sejak dimuat naik semalam.

Dalam catatannya, yang juga melampirkan jadual kelas sebagai bukti yang beliau adalah murid Encik Tan ketika itu, Cik Nurul Fatimah menekankan seseorang yang menyuarakan pandangan Islamofobia tidak patut kembali mengajar golongan belia.

BOLEH DIPECAT JIKA WAJAR, JAMIN DR MALIKI

Pada Khamis, Dr Maliki yang juga Menteri Kedua Pertahanan, menulis:

"Sangat terkejut dan kecewa apabila mendapat tahu perkongsian seorang anggota alumnus Politeknik Ngee Ann (NP) bagaimana pensyarahnya (individu yang sama yang membuat komen berbaur perkauman) telah mengongsikan pandangan peribadi dan menghina Islam di dalam kelas pada 2017," kata Dr Maliki.

Beliau menambah NP dan Kementerian Pendidikan (MOE) mengambil pandangan serius terhadap hal itu. NP katanya sedang menyiasat lanjut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin termasuk "memecat pensyarah itu jika ia wajar".

"MOE dan institusi-institusi pendidikan kami mempunyai sikap sifar tolak ansur terhadap sebarang tingkah laku atau komen yang secara sengaja tidak sensitif dan menghina kaum atau agama mana pun, kata Dr Maliki lagi.

"Semua pendidik kita perlu mematuhi Kod Etika yang ditetapkan oleh institusi mereka, yang menyatakan dengan jelas bahawa mereka mesti menegakkan nilai sekular dan tidak berpihak sepanjang masa."

Dr Maliki menambah sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama terdapat banyak peluang di dalam masyarakat, terutamanya di institusi pendidikan, untuk saling memahami dan mengenali antara satu sama lain demi "menghargai perbezaan dan ruang bersama yang dikongsi untuk memperkukuh perpaduan sosial kita.

"Ucapan anti-etnik dan anti-agama tidak ada tempat dalam institusi pendidikan S'pura," tegas beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan