Uber tawar diskaun bagi pengguna terjejas penutupan stesen MRT Ahad ini
Syarikat kereta sewa Uber akan menawarkan diskaun bagi para pengguna khidmatnya Ahad ini (10 Dis) ekoran penutupan 19 stesen di Laluan Timur-Barat dan Utara-Selatan (EWNSL).
SINGAPURA: Syarikat kereta sewa Uber akan menawarkan diskaun bagi para pengguna khidmatnya Ahad ini (10 Dis) ekoran penutupan 19 stesen di Laluan Timur-Barat dan Utara-Selatan (EWNSL).
Penutupan tersebut dilakukan bagi memberi lebih banyak masa untuk kerja-kerja penyenggaraan dan kejuruteraan SMRT.
Di samping itu, stesen-stesen tersebut juga akan ditutup lebih awal bagi tiga minggu mendatang mulai malam ini (8 Dis). Langkah berkenaan dilaksanakan menyusuli masalah-masalah perisian yang menyebabkan perlanggaran dua kereta api di stesen Joo Koon bulan lalu.
Uber menyatakan bahawa para pengguna yang sudah berdaftar sebelum ini boleh memanfaatkan kod "MRT3OFF" bagi penjimatan S$3 untuk dua perjalanan Uberpool pada hari Ahad ini manakala para pengguna baru boleh menikmati diskaun S$8 dengan kod "MRT8OFF" bagi perjalanan Uberpool atau UberX pada hari yang sama.
Kedua-dua kod berkenaan hanya boleh digunakan di kawasan di mana stesen-stesen MRT ditutup iaitu dari Tuas West, Bukit Gombak hingga Outram. Kod-kod itu juga sah dari 6.00 pagi hingga 12.00 malam.
Bagaimanapun, Uber tidak menyatakan sama ada tawaran tersebut akan dilanjutkan hingga Ahad depan, 17 Disember, iaitu apabila 19 stesen tersebut akan ditutup juga.
Sementara itu, Grab, pesaing Uber, sudahpun menghantar makluman kepada para pengguna semalam (7 Dis) untuk mempromosikan khidmatnya tetapi ia tidak menawarkan sebarang diskaun.
November lalu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan bahawa dari 8 hingga 31 Disember, 17 stesen EWL dari Tiong Bahru ke Tuas Link serta stesen Bukit Batok dan Bukit Gombak di NSL akan ditutup lebih awal pada setiap hari Jumaat dan Sabtu (jam 11.00 malam). Stesen-stesen itu juga akan dibuka lebih lewat pada setiap hari Sabtu dan Ahad (jam 8.00 pagi berbanding 5.30 pagi).
Sekitar 20,000 hingga 30,000 pengguna dijangka akan terjejas oleh masa perkhidmatan yang lebih singkat itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.