Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Uber rasmikan model tambang ikut permintaan bagi teksi ComfortDelGro

Uber hari ini (18 Jan) merasmikan khidmat baru, UberFLASH di mana tambang teksi ditentukan dengan memadankan bekalan pemandu teksi kepada permintaan para penumpang pada satu masa.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jan 2018 04:15PM Dikemas Kini : 18 Jan 2018 11:14PM

SINGAPURA: Uber hari ini (18 Jan) merasmikan khidmat baru, UberFLASH di mana tambang teksi ditentukan dengan memadankan bekalan pemandu teksi kepada permintaan para penumpang pada satu masa.

Dalam kenyataan medianya, penyedia khidmat sewa kereta itu menyatakan para penumpang boleh melihat tambang UberFlash sebelum menempah teksi, dan tambang itu secara purata lima hingga 10 peratus lebih murah berbanding khidmat uberX.

Mulai 6.00 pagi esok (19 Jan), para penumpang boleh membuat tempahan menggunakan ciri UberFlash. Tambang S$3 dikenakan sebaik sahaja pemandu memulakan perjalanan dan tambang bagi setiap kilometer adalah S$0.45 sementara tambang mengikut masa adalah S$0.20 bagi setiap minit. Tambang lain seperti kos menunggu adalah S$0.20 setiap minit selepas tempoh tiga minit dan yuran pembatalan adalah S$6 selepas tempoh lima minit. Model tambang ini serupa dengan yang ditawarkan Uber.

Sebagai perbandingan, tambang permulaan bagi ComfortDelGro, adalah antara S$3.20 bagi kenderaan jenis Hyundai Sonata dan S$3.90 bagi kenderaan jenis Toyota Prius, Hyundai Ioniq dan teksi limosin. Menurut Uber, dengan adanya model tambang ikut permintaan, para penyedia khidmat teksi boleh mengetahui berapa tinggi kadar tambang digandakan. Misalnya, pada waktu tertentu, para pelanggan boleh melihat tambang naik sebanyak 1.8 atau 2.5 kali. Oleh itu, tambang yang biasanya S$10 akan menjadi S$18 bagi perjalanan yang sama.

"UberFlash merupakan hasil kerjasama pertama antara syarikat ComfortDelGro dan Uber," kata Cik Ang Wei Neng, ketua eksekutif ComfortDelGro. Beliau menambah, ciri baru itu akan "saling menguntungkan" bagi para penumpang dan pemandu teksi.

Pada Disember 2017, kedua-dua syarikat itu mengumumkan perjanjian strategik di mana syarikat ComfortDelGro memperoleh 51 peratus saham Lion City Holdings, anak syarikat milik Uber di Singapura. Perjanjian itu bernilai S$642 juta dan ia merupakan kerjasama terbesar bagi syarikat tempatan itu. Dua syarikat itu turut mengumumkan bulan lalu bahawa perjanjian tersebut tertakluk kepada sama ada pihak berkuasa memberi kelulusan.

Berikutan itu, Suruhanjaya Persaingan Singapura (CCS) mengumpul maklum balas orang ramai tentang kerjasama tersebut setelah ia diumumkan. Tempoh maklum balas itu ditutup pada 8 Januari.

Seorang jurucakap Uber berkata syarikat-syarikat berkenaan sudah membuat permohonan untuk melancarkan perkhidmatan baru itu. Namun, proses menentukan sama ada kerjasama dua pihak itu diluluskan masih dijalankan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan