Images
  • twelve cupcakes
    (Gambar: Facebook/Twelve Cupcakes)

Twelve Cupcakes didenda S$119,500 kerana bayar gaji kurang kepada pekerja asing

SINGAPURA: Rangkaian kek cawan tempatan, Twelve Cupcakes, didenda S$119,500 pada Selasa (12 Jan) kerana membayar gaji yang kurang daripada yang dijanjikan kepada tujuh pekerja selama dua tahun berjumlah S$114,000.

Jenama tempatan itu, yang diasaskan oleh bekas DJ Daniel Ong dan Jaime Teo pada 2011 dan kemudian dibeli oleh syarikat teh berpangkalan di India, Dhunseri Group, mengaku bersalah pada Disember terhadap 15 tuduhan di bawah Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing.

Sebanyak 14 tuduhan serupa dipertimbangkan.

Hakim bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa kesalahan itu sukar dikesan.

Kes yang berlaku di Twelve Cupcakes berlarutan buat tempoh yang agak panjang, membolehkan syarikat tersebut memperoleh keuntungan yang banyak.

Namun, beliau juga akur bahawa syarikat tersebut telah membayar balik gaji pekerja yang tertunggak.

Kesalahan-kesalahan itu berlaku antara Disember 2016 hingga November 2018 di bawah pemilik baru, terhadap tujuh pekerja asing yang dijanjikan gaji tetap antara S$2,200 hingga S$2,600.

Namun, mereka dibayar antara S$200 hingga S$1,200 lebih rendah daripada gaji yang dipersetujui.

Di bawah Peraturan Pengambilan Tenaga Kerja Asing (Pas Kerja) 2012, majikan mesti membayar tidak kurang daripada gaji bulanan tetap yang dijanjikan kepada pekerja asing untuk bulan tersebut, dan pembayaran mesti dibuat selewat-lewatnya tujuh hari selepas hujung tempoh gaji.

Syarikat itu mengambil langkah lanjut untuk menyembunyikan kesalahannya dengan memasukkan gaji yang dipersetujui ke dalam akaun pekerja dan kemudian meminta mereka mengembalikan perbezaan wang tersebut untuk mengelak dikesan.

Kesalahan itu terbongkar apabila Kementerian Tenaga Manusia menerima maklumat mengenai pelanggaran undang-undang buruh dan melakukan siasatan pada Disember 2018.

Pihak pembelaan mendakwa bahawa pemilik baru itu hanya menyambung amalan yang dimulakan pihak pengurusan sebelumnya.

Ong dan Teo, isterinya ketika itu, didakwa di mahkamah dengan kesalahan serupa beberapa minggu lalu setelah seorang wakil Twelve Cupcakes mengaku bersalah.

Kes pasangan itu bagaimanapun belum selesai.

Sekiranya didapati bersalah melanggar syarat pas kerja, Ong dan Teo boleh dipenjara hingga setahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya bagi setiap dakwaan. 

- CNA/TQ/tq

Top