Images
  • masagos (1)
    Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli bersama kanak-kanak di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Learning Vision pada 25 Nov. (Gambar: Masagos Zulkifli\Facebook)

Turunkan yuran asuhan usaha berterusan Pemerintah pastikan permulaan baik bagi kanak-kanak, kata Masagos

SINGAPURA: Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli mengumumkan pelantikan 324 pusat jagaan kanak-kanak di bawah penggal baru Skim Pengendali Rakan Kongsi (POP) dari Januari 2021 hingga Disember 2025.

Lebih 27,000 kanak-kanak rakyat Singapura bakal meraih manfaat, sedang jumlah pusat jagaan kanak-kanak POP meningkat sebanyak 30 peratus.

Perkara itu diumumkan semasa lawatan Encik Masagos ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Learning Vision di Interlocal Pasir Panjang pada Rabu (25 Nov).

Pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang dilantik di bawah POP akan menerima sokongan tambahan untuk meningkatkan akses dan mutu, di samping menjadikan khidmat jagaan kanak-kanak dan bayi lebih dimampui.

Untuk menjadikan pendidikan prasekolah lebih dimampui, had yuran bagi kanak-kanak rakyat Singapura akan dikurangkan, di bawah penggal baru POP.

Ini bermakna yuran jagaan kanak-kanak untuk sepanjang hari di pusat-pusat POP akan dihadkan kepada S$760 (sebelum GST) berbanding S$800 sebulan sekarang.

"Keluarga-keluarga akan membayar yuran yang lebih rendah selepas subsidi prasekolah. Misalnya, di pusat jagaan kanak-kanak POP yang mengenakan bayaran S$856 sebulan (termasuk GST), keluarga yang bergaji S$8,000 sebulan buat masa ini membayar S$366 sebulan unutk yuran jagaan anak-anak mereka, selepas diberikan Subsidi Asas dan Subsidi Tambahan. Tetapi di bawah penggal baru ini, mereka akan membayar $323 sebulan, sekali gus menjimatkan lebih S$500 setiap tahun," jelas Encik Masagos.

Pembiayaan Pemerintah juga akan membantu pusat-pusat berkenaan meningkatkan mutu dan daya tarikannya, selain mengekalkan tenaga pendidik.

Sedang kapasiti prasekolah yang dibiayai pemerintah dipertingkatkan sepanjang penggal baru itu, pihak berkuasa berharap dapat mengurangkan lagi had yuran. Semua ini, kata Encik Masagos, adalah sebahagian daripada usaha berterusan Pemerintah untuk memberikan setiap kanak-kanak permulaan yang baik dalam kehidupan. 

- BERITAMediacorp/AY

Top