Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tuntut pilihan raya kecil: Anggota SDP kalah dalam tuntutan mahkamah terhadap Pemerintah

Anggota Parti Demokratik Singapura (SDP) Wong Souk Yee kalah dalam tuntutan mahkamahnya terhadap Pemerintah atas keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee.

Anggaran Waktu Membaca:
Tuntut pilihan raya kecil: Anggota SDP kalah dalam tuntutan mahkamah terhadap Pemerintah

AP GRC Marsiling-Yew Tee Alex Yam, Lawrence Wong dan Ong Teng Koon bersama Puan Halimah Yacob. (Gambar: Justin Ong)

Diterbitkan : 09 Apr 2018 10:35PM Dikemas Kini : 09 Apr 2018 10:37PM

SINGAPURA: Anggota Parti Demokratik Singapura (SDP) Wong Souk Yee kalah dalam tuntutan mahkamahnya terhadap Pemerintah atas keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee.

Pembantu bendahari SDP itu diarahkan untuk membayar kos lebih S$10,700.

SDP dan Dr Wong memfailkan tuntutan mahkamah pada September 2017 bagi menolak keputusan Pemerintah untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil dalam GRC Marsiling-Yew Tee selepas Puan Halimah Yacob, yang pada waktu itu Anggota Parlimen, meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden.

Puan Halimah menang tanpa bertanding dalam pilihan raya itu.

Dr Wong menggesa supaya Mahkamah Tinggi mengarahkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk menasihati Puan Halimah supaya mengeluarkan writ pilihan raya bagi GRC tersebut. Jika tidak, ketiga-tiga AP yang lain disuruh meletakkan jawatan supaya pilihan raya dapat diadakan. Dr Wong berhujah demikian sambil merujuk kepada Akta Perlembagaan dan Pilihan Raya Parlimen. Beliau diwakili Encik Peter Low.

Dalam keputusannya hari ini (9 Apr), Hakim Mahkamah Tinggi Chua Lee Ming mengatakan bahawa pilihan raya kecil hanya akan diadakan apabila semua kerusi GRC itu dikosongkan. Beliau berkata tidak ada dasar perundangan untuk menyuruh tiga AP yang lain untuk meletak jawatan.

Beliau juga mengatakan bahawa, tidak seperti hujah Dr Wong, para pengundi tidak kehilangan hak perwakilan mereka di Parlimen. Mereka masih diwakili meskipun terdapat kurang satu AP, kata Hakim Chua.

Berucap kepada media selepas perbicaraan selesai dijalankan, Pengerusi SDP Paul Tambyah berkata: "Bukan kami yang membangunkan sistem GRC, jadi jika seorang wakil kumpulan minoriti meletak jawatan, ia tanggungjawab Pemerintah untuk mencari seseorang untuk mengambil alih tugas itu... kami akan meneliti keputusan penghakiman dan kami akan memutuskan tidak lama lagi (sama ada untuk mengemukakan rayuan)."

Tiga AP lain dalam GRC tersebut - Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, Encik Alex Yam dan Encik Ong Teng Koon - berkata mereka bergilir-gilir mengambil alih tugas Puan Halimah dalam sesi bertemu rakyat di kawasan Marsiling.

Kedudukan SDP ialah Pemerintah harus memastikan "Jawatan yang ditinggalkan seorang AP perlu digantikan dengan satu lagi AP melalui pilihan raya kecil".

Parti itu mengatakan peletakan jawatan Puan Halimah bermakna GRC itu kurang satu wakil minoriti AP dan mereka tidak akan membuat perwakilan yang utuh di Parlimen sehingga pilihan raya selanjutnya, jika pilihan raya kecil tidak diadakan.

Dalam perbicaraan tertutup di Mahkamah Tinggi pada November, SDP menarik semula tuntutannya selepas Pejabat Peguam menolak rayuan mereka. Dr Wong kemudian menjadi plaintif tunggal dalam tuntutan itu.

Dr Wong, seorang penduduk di GRC itu, menyatakan dalam afidavitnya bahawa beliau akan ikut bertanding sekiranya pilihan raya kecil diadakan.

Timbalan Peguam Negara Hri Kumar Nair menolak kes Dr Wong dan mengatakan hujahnya "pada asasnya bermasalah". Pilihan raya hanya akan diadakan sekiranya semua anggota parlimen di GRC itu meletak jawatan, kata beliau. Encik Hri Kumar menambah bahawa Mahkamah Tinggi tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan ketiga-tiga AP yang dilantik untuk meletakkan jawatan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan