Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tugas di menara T4 dari kaca mata pegawai kawalan udara

Tahukah anda bahawa Pertunjukan Udara Singapura turut menjejas trafik di Lapangan Terbang Changi?

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Feb 2018 05:33PM Dikemas Kini : 10 Feb 2018 09:41PM

SINGAPURA: Tahukah anda bahawa Pertunjukan Udara Singapura turut menjejas trafik di Lapangan Terbang Changi?

Ia adalah sesuatu yang perlu dipantau rapi oleh para pegawai kawalan udara.

Sedang Lapangan Terbang Changi diluaskan, lebih banyak tenaga manusia diperlukan.

Malah, jumlah pegawai kawalan udara akan bertambah dari 440 sekarang kepada sekitar 600 mulai tahun 2020.

Tugas sebagai pegawai kawalan udara pula bukanlah mudah.

Mediacorp membawakan laporan eksklusif berikut dari kaca mata seorang pegawai kawalan udara di menara baru Terminal 4, yang menyelia operasi trafik udara di sana:

Ini adalah tugas yang benar-benar mencabar dengan paras stres yang tinggi. Kami sentiasa berlumba mengejar masa.

Kami perlu mengendalikan trafik udara dengan cekap. Ia seperti bermain permainan Tetris dan setiap keputusan yang dibuat amat penting.

Hi. Nama saya Yingqi dan saya seorang pegawai kawalan udara.

Saya sudah berkhidmat selama lapan tahun.

Ini adalah Menara Kawalan Udara Terminal 4 dan ia bertanggungjawab ke atas pergerakan trafik di Terminal 4 dan 'south apron', mengatur pergerakan trafik serta bertanggungjawab ke atas kegiatan menunda pesawat di kawasan ini.

Sebaik bertugas, kami perlu menghadiri taklimat sebelum syif dimulakan. Taklimat itu diberikan oleh pengurus syif dan beliau akan memaklumkan kepada kami tentang status ruang udara.

Kami juga akan diberi taklimat tentang ramalan cuaca kerana ini boleh menjejas trafik di lapangan terbang.

Misalnya, apabila taufan melanda lapangan terbang tertentu, mereka terpaksa melengahkan trafik.

Kami perlu sentiasa fokus pada jangka yang lama.

Kami lazimnya bertugas selama sejam setengah sebelum dibenarkan berehat selama 30 minit.

Semasa waktu rehat biasanya saya akan menggunakan telefon atau makan.

Waktu rehat seperti ini penting untuk mempersiapkan diri secara fizikal dan mental bagi kawalan trafik seterusnya.

Dari hari ke hari, kami berdepan dengan keadaan yang luar biasa. Contohnya, kami akan menerima penerbangan yang mendarat kerana memerlukan perubatan kecemasan.

Pada satu ketika saya bertugas, terdapat seekor anjing di lapangan terbang. Kami tidak tahu bagaimana ia sampai ke landasan dan ia berlari-lari di sana. Kami terpaksa mengerahkan kakitangan untuk menangkap anjing tersebut.

Salah satu detik paling mencabar adalah pada musim jerebu pada tahun 2015 kerana para pegawai kawalan trafik udara perlu sentiasa boleh melihat pesawat.

Namun, pada waktu itu jerebu menjejas jarak penglihatan kami dan kami terpaksa bergantung kepada peralatan yang ada.

Ini adalah jenis tugas yang setiap hari serupa namun tidak sama.

Setiap hari kami berdepan sesuatu yang berbeza dan ini adalah tugas yang memerlukan perancangan konsisten dan ia merangsang minda kami.

Anda akan merasa kepuasannya dan anda dapat menghantar para penumpang dan anak kapal ke destinasi mereka.

Itulah kebahagian dan kepuasan yang dirasakan oleh kebanyakan pegawai kawalan udara setiap kali selesai bertugas. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan