Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tuduhan pegawainya 'tidak sensitif', tidak benar dan tidak berasas, kata Polis

Polis hari ini (30 Jan) menyatakan tuduhan yang mendakwa seorang pegawainya enggan melayan seorang wanita yang ingin membuat laporan mengenai kes gangguan seksual adalah "palsu dan tidak berasas".

Anggaran Waktu Membaca:
Tuduhan pegawainya 'tidak sensitif', tidak benar dan tidak berasas, kata Polis
Diterbitkan : 30 Jan 2018 05:00PM Dikemas Kini : 30 Jan 2018 05:01PM

SINGAPURA: Polis hari ini (30 Jan) menyatakan tuduhan yang mendakwa seorang pegawainya enggan melayan seorang wanita yang ingin membuat laporan mengenai kes gangguan seksual adalah "palsu dan tidak berasas".

Menerusi catatan Facebooknya, pihak polis memberikan penjelasan terhadap satu catatan viral online oleh seorang netizen Kuroe Kun yang mendakwa bahawa seorang rakan wanitanya tidak dilayan seorang pegawai polis lelaki apabila beliau cuba membuat laporan kerana diganggu secara seksual.

Kun turut mendakwa dalam catatannya Khamis lalu (25 Jan) bahawa pegawai polis berkenaan menyalahkan rakannya kerana diganggu dengan berkata "itu salah kamu".

Menurut polis, pihaknya sudah mengenal pasti pegawai polis tersebut sebagai Pegawai Siasatan (IO) dari Divisyen Polis Clementi. Menyusuli siasatannya, polis menyatakan ia mendapati tuduhan tersebut "tidak benar dan tidak berasas". Pegawai tersebut juga "menjalankan tugasnya secara profesional".

Ia menambah pegawai polis tersebut tidak membuat sebarang kenyataan yang tidak sensitif atau enggan melayan rakan wanita Kun. Bahkan, rakan wanita Kun yang memberitahu pegawai polis tersebut bahawa beliau memerlukan lebih masa untuk pertimbangkan membuat laporan, menurut pihak polis.

Ekoran catatan Kun yang kini sudah diturunkan, polis meminta rakan Kun untuk tampil membuat aduan.

Bagaimanapun, polis menyatakan wanita tersebut "enggan bekerjasama dan belum lagi membuat laporan polis" meskipun sudah dihubungi berulang kali.

"Polis memandang serius terhadap semua aduan dan tuduhan terhadap pegawai kami. Aduan-aduan ini akan disiasat dengan teliti dan jika didapati benar, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas pegawai tersebut.

"Namun begitu kami juga tidak membenarkan tuduhan yang tidak berasas dibuat terhadap pihak polis. Jika tuduhan tersebut didapati tidak benar, dan dilakukan dengan niat jahat, tindakan sewajarnya akan diambil," tegasnya.

Orang ramai juga, tambah polis, harus bersikap bertanggungjawab apabila memuat naik maklumat secara online dan jangan membuat sebarang spekulasi atau menyebar maklumat yang belum terbukti kesahihannya.  

Sumber : CNA/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan