Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tsunami Indonesia: Pemimpin S'pura utus takziah

Para pemimpin Singapura mengutuskan ucapan takziah kepada Indonesia selepas satu tsunami membadai kawasan-kawasan pantai di sekitar Selat Sunda antara pulau-pulau Sumatera dengan Indonesia pada Sabtu malam (22 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Dec 2018 08:51AM Dikemas Kini : 24 Dec 2018 09:11PM

SINGAPURA: Para pemimpin Singapura mengutuskan ucapan takziah kepada Indonesia selepas satu tsunami membadai kawasan-kawasan pantai di sekitar Selat Sunda antara pulau-pulau Sumatera dengan Indonesia pada Sabtu malam (22 Dis).

Sekurang-kurangnya 200 orang terkorban dan beratus-ratus lagi cedera, menurut pihak berkuasa Indonesia.

Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis surat bagi menyampaikan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo.

Dalam suratnya kepada Presiden Indonesia, Puan Halimah menulis bahawa beliau "sangat bersedih" mendengar tentang insiden itu.

"Terimalah ucapan takziah ikhlas dari saya atas tsunami yang melanda wilayah-wilayah Banten dan Lampung pada 22 Dis 2018," tulis Puan Halimah.

"Saya amat sedih apabila mendapat tahu tentang nyawa-nyawa terkorban, kecederaan dan kemusnahan," katanya. "Rakyat Singapura berdiri teguh bersama mereka yang terjejas oleh tragedi ini."

"Ingatan kami bersama para penduduk Indonesia dalam masa-masa sukar ini. Saya harap anda tidak teragak-teragak untuk memaklumkan kami sekiranya Singapura boleh menghulurkan sebarang bantuan."

Turut menulis kepada Presiden Joko Widodo bagi pihak pemerintah Singapura, PM Lee menyampaikan ucapan takziah "sedalam-dalamnya" kepada keluarga dan orang tersayang kepada mangsa yang terjejas oleh "tragedi malang" itu.

"Saya yakin rakyat Indonesia akan mengatasi bencana ini dengan teguh dan bersatu-padu," katanya. "Singapura bersedia menyokong usaha-usaha bantuan yang dijalankan, jika diperlukan Indonesia."

Dalam kenyataannya pada Ahad (23 Dis), Kementerian Ehwal Luar mengesahkan bahawa tiada laporan tentang rakyat Singapura yang terjejas oleh tsunami tersebut, buat masa ini.

"Oleh kerana masih ada perkembangan pada situasi di lapangan, Kedutaan Singapura di Jakarta dan Konsulat-Jeneral Singapura di Medan juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan di samping memantau keadaan dengan teliti," menurut MFA.

Ia turut menasihati rakyat Singapura di kawasan-kawasan terjejas supaya terus mengikuti perkembangan berita tempatan dan mengikut arahan pihak berkuasa.

"Rakyat Singapura turut dinasihati supaya terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan anda supaya mereka tahu anda selamat," menurut MFA.

TIADA LAPORAN PENERBANGAN TERJEJAS AKIBAT LETUSAN SEJAUH INI: MSS

Secara berasingan, Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) menyatakan bahawa tiada laporan tentang penerbangan yang terjejas akibat letusan gunung berapi Anak Krakatau di Indonesia setakat ini.

Namun, sebarang peningkatan aktiviti gunung berapi atau perubahan arah angin boleh menjejas operasi penerbangan di rantau ini, menurut MSS.

Terletak sekitar 850 kilometer dari selatan Singapura, gunung berapi itu yang bertambah aktif sejak Jun dipercayai adalah punca tsunami dahsyat yang melanda.

Aktiviti gunung berapi dari Anak Krakatau mungkin menyebabkan gelongsoran tanah di bawah permukaan air sehingga mencetuskan gelombang besar yang menyebabkan tsunami, kata jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho pada Ahad (23 Dis).

Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Ahad (23 Dis), MSS menyatakan bahawa model penyebaran atmosferanya menunjukkan bahawa abu dari gunung berapi berkenaan dijangka akan ditiup ke arah barat daya, menghala Lautan Hindi, jauh dari Singapura.

"Sejauh ini tiada laporan tentang penerbangan yang terjejas akibat letusan itu," tambah MSS. "Namun, sebarang peningkatan aktiviti gunung berapi yang signifikan dan perubahan arah angin boleh menyebabkan debu letusan tersebut ditiup ke arah Singapura atau menjejas operasi penerbangan di rantau ini."

Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Singapura di Jakarta, Konsulat-Jeneral Singapura di Medan atau Pejabat Petugas Kementerian Ehwal Luar di:

Kedutaan Singapura di Jakarta
Tel: +62-(21) 2995-0400 / +62-811 863-348
Emel: singemb_jkt [at] mfa.sg

Konsulat-Jeneral Singapura di Medan
Tel: +62-61-8050 1500
Emel: sporeconsulatemedan [at] mfa.sg

Pejabat Petugas Kementerian Ehwal Luar (24 jam)
Tel: +65 6379 8800/8855
Emel: mfa_duty_officer [at] mfa.gov.sg 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan