Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Troli NTUC FairPrice dibiarkan terbengkalai di Rivervale Crescent

Deretan sekitar 20 troli pasar raya NTUC FairPrice yang terbengkalai sejak bulan Julai 2016 diabadikan di laman Google street view.

Anggaran Waktu Membaca:
Troli NTUC FairPrice dibiarkan terbengkalai di Rivervale Crescent

Troli terbengkalai berdekatan blok 164B Rivervale Crescent. (Gambar: Cindy Co)

Diterbitkan : 24 Jan 2021 04:35PM Dikemas Kini : 24 Jan 2021 04:42PM

SINGAPURA: Deretan sekitar 20 troli pasar raya NTUC FairPrice yang terbengkalai sejak bulan Julai 2016 diabadikan di laman Google street view, menggambarkan masalah yang membelenggu kejiranan Rivervale Crescent, Sengkang sejak sekian lama.

Di pusat beli belah Rivervale Mall di Sengkang, terdapat sebuah pasar raya NTUC FairPrice dan troli-troli yang dibiarkan terbengkalai di kawasan kejiranan itu adalah perkara lazim yang berlaku setiap hari, menurut para penduduk.

Ia boleh dilihat di tepi-tepi jalan raya, di kolong blok, di sepanjang koridor tingkat tertentu flat HDB malah di luar rumah, kata John Quek, seorang penduduk kejiranan itu kepada Mediacorp, sambil menambah masalah itu sudah wujud sejak lebih lima tahun lalu.

Baru-baru ini, beliau memuat naik gambar yang menunjukkan deretan troli di tepi sebatang jalan raya utama ke laman Facebook Complaint Singapore.

"Troli-troli itu diletakkan sejauh satu kilometer di Rivervale Crescent dari Rivervale Mall. Kasihan kakitangan NTUC terpaksa menolak semuanya kembali (ke pasar raya)," menurut catatan beliau.

Petikan gambar di blok 182 Rivervale Crescent yang dimuat naik ke Google Maps oleh Anton V.

Petikan gambar di blok 182 Rivervale Crescent yang dimuat naik ke Google Maps oleh Anton V.

Meskipun Encik Quek sudah menetap di Sengkang selama hampir 25 tahun, beliau mendapati troli-troli yang terbiar sedemikian rupa hanya menjadi masalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini setelah semakin ramai orang pindah masuk ke Sengkang.

Meskipun beliau sudah menulis kepada NTUC FairPrice dan melaporkan isu itu menerusi aplikasi OneService, beliau masih belum menerima sebarang respons daripada kedua-dua pihak, katanya.

"Saya melaporkan kepada NTUC dan menerusi aplikasi OneService kerana saya geram sebab tidak ada troli apabila ke NTUC," luah beliau.

Bagi mereka yang meninggalkan troli sebarangan, itu mungkin "tabiat" mereka, kata ENcik Quek.

"Hanya seorang sahaja yang perlu mengorbankan deposit S$1 dan yang lain-lain akan ikut membiarkan sahaja troli mereka namun masih boleh mendapatkan semula wang S$1."

Apabila Mediacorp mengunjungi kawasan Rivervale Crescent pada Selasa (19 Jan), terdapat beberapa lokasi di mana troli dilihat terbiar, dengan sebahagiannya sebanyak 12 troli di tepi jalan.

Kebanyakannya dijumpai di kawasan berhampiran Rivervale Mall, yang terletak sekitar 10 minit dari blok berdekatan jika berjalan kaki.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap NTUC FairPrice berkata kakitangannya terpaksa mencari sekitar 20 troli daripada kawasan itu setiap hari.

Walaupun sebahagian penduduk yang ditemui berkata mereka tidak kisah dengan isu itu, sebahagian yang lain berasa para pengguna mesti bertanggungjawab menolak semula troli ke pasar raya.

Dua deretan troli NTUC FairPrice di blok 182 Rivervale Crescent. (Gambar: Cindy Co)

Dua deretan troli NTUC FairPrice di blok 182 Rivervale Crescent. (Gambar: Cindy Co)

Setiap hari, sekitar empat hingga lima troli boleh dilihat di luar, kata Encik Chua, seorang pesara 67 tahun, yang tinggal di Blok 185.

Pada sebelah malam, beliau akan melihat penduduk menolak troli ke rumah mereka selepas berbelanja.

Berkongsi perasaannya mengenai isu itu, Encik Chua berkata: "Okay, bukan hal saya. Ia tidak menghalang laluan saya. Jika tidak saya akan membuat aduan."

Lazimnya, mereka yang meletak troli sebarangan adalah warga tua, kata Encik Lee Ten Teck, 58 tahun, yang tinggal di Rivervale Crescent.

"Kerana orang tua perlu jalan jauh, jadi mereka tolak troli ke sini."

"Jika kakitangan NTUC tidak datang, anda akan lihat deretan troli sehingga menghadang jalan," kata beliau.

Walaupun Encik Lee tidak kisah jika ia setakat beberapa troli, ia mungkin menghadang laluan bagi basikal, motosikal dan pengguna kerusi roda, jika jumlah troli terlalu banyak, kata beliau.

Kadangkala, ada yang meninggalkan troli di kolong blok dan tukang bersih blok terpaksa menolaknya ke kawasan rumput.

Seorang lagi penduduk, Jacob Joseph berkata beliau tidak kisah jika pengguna menolak troli hingga ke rumah mereka tetapi mereka mesti memulangkannya.

"Apabila mereka hanya membiarkan troli itu di bawah, itu tidak bertanggungjawab," kata lelaki berusia 24 tahun yang bertugas dalam industri penerbangan. "Jika anda bawa balik troli, anda perlu pulangkan."

Beliau menambah para penduduk sebenarnya tidak perlu menolak kembali hingga ke depan pasar raya kerana ada tempat memulangkan troli betul-betul di luar Rivervale Mall.

Troli terbengkalai di Rivervale Crescent pada 5 Januari 2021. (Gambar: John Quek)

Troli terbengkalai di Rivervale Crescent pada 5 Januari 2021. (Gambar: John Quek)

Seorang tukang bersih, Sng Swee Huat, 74 tahun yang menyapu jalan raya setiap Selasa, Khamis dan Sabtu berkata beliau seringkali melihat kakitangan NTUC FairPrice menolak troli kembali ke pasar raya sekitar selepas tengah hari.

Beberapa orang biasanya akan mengumpulkan troli di kawasan itu dan menolaknya ke pasar raya bersama-sama.

Menurut NTUC FairPrice, isu troli terbengkalai itu tiada kesudahannya - bukan setakat di Rivervale Crescent - meski terdapat usaha berterusan untuk mendidik masyarakat.

NTUC menambah, hanya dalam tahun lalu, ia menerima 3,300 aduan mengenai troli yang tidak dipulangkan dan dibiarkan terbengkalai," kata seorang jurucakap rangkaian pasar raya terbesar di Singapura itu.

Beliau menambah troli pasar raya disediakan sebagai "khidmat nilai tambahan" untuk kemudahan pelanggan dan menggesa semua pengguna supaya bertanggungjawab dan memulangkannya selepas ia digunakan.

Orang rami yang menjumpai troli NTUC terbiar boleh membuat aduan menerusi aplikasi OneService, menghubungi talian khidmat pelanggan NTUC FairPrice atau mengirimkan emel, kata jurucakap itu lagi.

"Pendidikan awam dan sikap tanggungjawab sosial adalah kunci usaha menangani isu ini dan kami berharap anggota masyarakat akan terus memainkan peranan mereka dan bekerjasama untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang baik budi dan penyayang."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan